SEBUAH akhbar arus perdana dalam ulasannya mengenai aliran baru pengundi yang meminati pembangkang, secara langsung menyalahkan orang-orang Umno (kecuali Dr. Mahathir) apabila orang Melayu pada umumnya mulai menolak Umno dalam pilihan raya lalu. Akhbar itu membidas orang-orang Umno seluruhnya menyebabkan orang Melayu kini mula melihat kepada PAS.
Sedikit pun lidah pengarang
akhbar itu tidak menyabitkan nama Dr. Mahathir atas kedurjanaan yang menimpa
Umno. Tetapi apakah Dr. Mahathir tidak ada kena-mengena dengan suasana Umno
yang hampir reput itu? Akhbar berpura-pura tidak mahu menyalahkan Dr. Mahathir,
sedang pada hakikatnya dengan membidas ahli-ahli Umno, ia sama juga seperti
membidas Dr. Mahathir sendiri.
Itulah rupa dan sikap yang
sering ditunjukkan oleh media arus perdana tempatan. Ia lebih banyak menjadi
‘tukang kipas’ atau ‘tukang ampu’ kepada kerajaan. Sepatutnya media itu sendiri
berperanan lebih awal memperbetulkan Umno dan kerajaan.
Di kalangan wartawan dan pengarang,
sesetengah mereka adalah ahli Umno. Menyalahkan ahli-ahli Umno atas kedurjanaan
yang menimpa parti itu dalam pilihan raya lalu samalah seperti menyalahkan diri
mereka. Sebab mereka pun ahli Umno juga. Pernahkah mereka menyoal diri mereka,
apa mereka buat selama ini untuk menyedarkan Umno supaya tidak jadi seperti
sekarang?
Wartawan-wartawan itu
berpeluang membaca berbagai-bagai laporan asli, berpeluang melawat ke luar
negara dan melihat bagaimana parti pemerintah di negara lain bekerja dan
menyusun jentera parti mereka. Para wartawan yang juga ahli Umno itu mempunyai
peluang yang besar untuk menyedarkan Umno dan pemimpinnya agar jangan angkuh
dan sombong. Mereka boleh buat rencana pengarang setiap hari. Mereka boleh
tegur kesilapan dan kelemahan Umno dan pemimpinnya demi kebaikan Umno.
Malangnya para wartawan yang
cerdik, pandai membaca Inggeris dan luas pergaulan di peringkat antarabangsa
itu sama sahaja dengan ahli-ahli Umno yang sesetengahnya tidak luas pergaulan,
tidak tahu cakap atau baca Inggeris, dan lebih banyak ‘mengangguk’ apa jua yang
diputuskan oleh pemimpin mereka.
Kadang-kadang wartawan yang
tidak masuk Umno, tetapi bekerja dengan akhbar tukang kipas Umno, zahirnya
lebih kuat Umnonya daripada ahli Umno yang membayar yuran. Belum sempat Dr.
Mahathir bercakap atas sesuatu isu, mereka sudah mengulas secara panjang lebar.
Ibarat kata orang, ‘lebih sudu dari kuah’.
Peranan media dalam membentuk
masyarakat sebenarnya agak besar. Cuba fikirkan, sumber bacaan ahli-ahli Umno
yang ramai ialah akhbar. Tetapi akhbar sendiri buat apa untuk membantu ahli
Umno jadi orang Umno yang elok? Tidakkah akhbar dan TV tiga suku sendiri
menyebabkan ahli Umno sanggup jadi Umno celup? Padahal akhbar ada tanggungjawab
untuk mendinamikkan Umno dan memperbetulkan arah kepimpinannya.
Akhirnya, akhbar dan TV dilihat
tidak lebih sekadar ‘tukang kipas’ atau ‘tukang ampu’ kepada kerajaan. Imej
negatif itu tersemat begitu lama dalam mindset
masyarakat umum. Dalam keadaan itu apa jua yang dihamburkan oleh media, mudah
ditolak oleh rakyat. Mereka sudah hilang keyakinan terhadap ketulenan berita
yang dipaparkan. Mesej media sudah jadi stereotaip, iaitu ‘mengampu kerajaan, membantai pembangkang’.
Tuan Guru MB Terengganu, yang
juga Ahli Parlimen Marang, lewat ucapannya ketika Perbahasan Belanjawan 2000 di
Dewan Rakyat, turut menyebut secara jelas bagaimana media berperanan
mengalahkan BN, khususnya di Pantai Timur. Katanya:
“Media massa yang diperalatkan
oleh BN untuk siaran khusus untuk Pantai Timur sangat menguntungkan Barisan
Alternatif, sehinggakan rakyat dapat menilai pihak mana yang benar. BN disapu
hampir licin di dua negeri Pantai Timur – Kelantan dan Terengganu, di mana
Kelantan dapat dipertahankan dan Terengganu pula dapat ditawan. Kerusi Parlimen
tinggal Gua Musang saja, yang sangat jauh di pedalaman dan kurang mendapat
siaran RTM dan TV3. Media massa yang diperalatkan untuk satu pihak tidak dapat
menghalang kesedaran rakyat Pantai Timur bagi memilih Barisan Alternatif”.
Hakikat itu tambah jelas jika
diambil kira dua kerusi DUN yang dimenangi BN di Kelantan juga berada dalam
kawasan Parlimen Gua Musang. Manakala tiga daripada empat kerusi DUN yang
menyaksikan kemenangan BN di Terengganu dikategorikan sebagai kawasan yang agak
terpencil, iaitu Ajil, Telemong (dalam Parlimen Hulu Terengganu) dan sebahagian
Kemasek (Kemaman). Manakala beberapa DUN yang menyaksikan kemenangan tipis PAS
seperti DUN Bukit Besi, Air Putih, dan Hulu Besut, juga merangkumi kawasan agak
pedalaman.
Di DUN Seberang Takir pula PAS
terpaksa akur dengan kehebatan BN ‘menguasai’ undi-undi pos daripada kem
tentera yang terdapat di situ. Pengundi pos tidak boleh dianggap pengundi yang
benar-benar bebas menzahirkan sikap dan pendirian politik mereka. Dan tidak
mustahil juga kehidupan mereka di dalam kem itu tidak memungkinkan mereka terdedah
secara bebas kepada segala maklumat. Maka bolehlah disimpulkan bahawa dalam
konteks penyampaian maklumat, keadaan pengundi pos itu hampir sama
‘terpencilnya’ dengan keadaan pengundi di beberapa kawasan lain yang agak terpencil
itu. Barangkali!
Sebab itu secara keseluruhannya
PAS memperolehi kemenangan di setiap kawasan Parlimen dengan majoriti agak
besar dicatatkan di DUN-DUN sekitar pusat bandar. Sebagai contoh, DUN Jerteh
mencatatkan majoriti terbesar bagi Parlimen Besut. Di Dungun, DUN Sura yang
melibatkan pusat bandar mencatatkan majoriti tertinggi. Begitu juga dengan DUN
Rhu Rendang dan Alur Limbat yang paling hampir dengan perbandaran Marang.
Manakala DUN Kuala Berang yang memuatkan pusat bandar Hulu Terengganu itu turut
dimenangi PAS dengan majoriti hampir dua ribu.
Manakala kesemua DUN yang
mengelilingi bandar Kuala Terengganu, seperti Tepuh, Bukit Tunggal, Ladang,
Teluk Pasu, Manir, Wakaf Mempelam dan Batu Burok, mencatatkan majoriti yang
sangat membanggakan.
Fenomena ini memperkuatkan lagi
pandangan bahawa semakin tinggi kadar ‘celik maklumat’ di kalangan rakyat,
semakin tinggi pula kadar penolakan mereka terhadap Umno/BN. Apabila sumber
maklumat utama masyarakat datangnya daripada akhbar-akhbar dan TV ‘tukang kipas’
itu, maka secara logiknya kadar penolakan yang tinggi terhadap BN di kalangan
para pembaca/penonton itu sudah tentu ada kaitan langsung dengan kadar fitnah
dan propaganda yang disiarkan oleh media-media berkenaan.
Saban hari sejak tempoh pilihan
raya bermula, iaitu sebaik sahaja Parlimen dibubarkan, ada-ada sahaja paparan
berita berunsur fitnah yang dihighlight di dalam akhbar dan TV. Bahkan,
sebahagiannya telah pun dimulakan terlebih awal. Tidak syak lagi, sasaran
paling utama ialah PAS dan pemerintahannya di Kelantan.
Rakyat tentu masih ingat
bagaimana pernah dihebohkan tentang kadar kemiskinan yang sangat tinggi di
Kelantan. Disiarkan gambar-gambar yang menunjukkan masih ada rakyat Kelantan
yang tinggal dalam bangsal dan pondok buruk. Masih ada rakyat yang hidup dalam
keadaan yang sangat dhaif dan terpaksa memohon bantuan daripada para menteri BN
yang ada di negeri itu. Semua paparan itu tiada lain tujuannya kecuali untuk
menggambarkan kelemahan dan kegagalan PAS memerintah kerajaan.
Namun, Allah telah menjanjikan
bahawa kebenaran tetap kebenaran, dan ia pasti akan zahir juga lambat-laun.
Oleh kerana paparan tersebut sangat tidak cermat dan terlalu didorong hasrat
memfitnah, maka kerja itu telah backfired BN. Mujur juga akhbar Harakah di waktu itu masih panjang
langkahnya. Pendedahan yang dibuat oleh Harakah
menyebabkan rakyat serta-merta naik meluat dengan akhbar dan TV.
Rakyat Kelantan yang dipaparkan
sebagai sangat miskin dan hidup di pondok itu, rupa-rupanya agak mewah
hidupnya, dengan rumah kayu dan separa batu besar. Manakala pondok yang didakwa
didiami oleh makcik berkenaan hanyalah sekadar bangsal menjual buah-buahan,
tempat beliau mencari makan sehari-hari.
Malang bagi BN, pukulan akibat
fitnah yang dicipta oleh media kroninya sendiri itu tidak sedikit pun
menyedarkan mereka supaya jangan memfitnah lagi. Jauh sekali untuk dikatakan
mereka insaf dan bertaubat! Fitnah sebaliknya terus diperhebatkan.
Dibangkitkan pula isu Negara
Islam. Sekali dikatakan PAS menggadaikan prinsip apabila sanggup menerima DAP
dalam pakatan pembangkang. Sedangkan, hujah media kroni itu, PAS mahukan Negara
Islam dan DAP pula menentang keras penubuhan Negara Islam. Maka, kata meraka,
PAS tidak boleh diharapkan untuk membela Islam atau menubuhkan Negara Islam.
Bunyinya macamlah Umno/BN selama ini berjuang menegakkan negara Islam.
Di masa yang lain pula, media
kroni yang sama juga menuduh DAP sebagai menggadai prinsip. Kononnya apabila
parti itu mengambil keputusan berpakat dengan PAS untuk menentang BN, DAP telah
meninggalkan prinsip perjuangan asalnya yang jelas tidak bersetuju dengan
penubuhan Negara Islam. Nampak sangat sifat ‘batu api’ media kroni tersebut,
yang cuba melaga-lagakan kedua-dua parti yang cuba mencari titik persefahaman.
Bahkan, media kroni pergi lebih
jauh dengan secara terang-terangan meniupkan sentimen perkauman. PAS sekali
lagi dituduh anti-Cina, terutama atas ketegasannya mahu menubuhkan Negara
Islam. Hasrat PAS membuka keahlian partinya kepada bukan Melayu/bukan Islam
diulas dan ditafsirkan oleh beberapa pemimpin BN dalam perspektif yang sangat
negatif dan berbaur perkauman. Tidak cukup dengan sekadar melaporkan ulasan dan
komentar para pemimpin BN, media kroni turut mengulas dan memperincikan lagi
apa yang digambarkan sebagai ‘niat jahat’ PAS menawan hati masyarakat bukan
Melayu itu.
Akhbar dan TV juga dilihat agak
berdo’oh-do’oh sehingga melanggar
adab sopan orang Melayu. BN sepatutnya ingat, majoriti rakyat negara ini adalah
orang Melayu yang beragama Islam. Para pengerusi dan pengarah akhbar dan TV
utama itu juga adalah orang Melayu beragama Islam. Orang Melayu/Islam sangat
sensitif dengan sesuatu yang berdo’oh-do’oh
(melampau-over).
Antara fitnah yang agak
melampau ialah perkara membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sudahlah cara
beliau disingkirkan dari kerajaan dan parti kerajaan itu sangat misteri, beliau
ditindih-tindih pula dengan berbagai-bagai tuduhan dan dakwaan yang sangat
keliru dan sesetengahnya tidak masuk akal.
Tidak cukup sekadar batang
tubuh Anwar yang diberi penghinaan itu, media kroni dengan penuh sedar telah
mengheret sama ahli keluarga beliau. Mangsa seterusnya ialah isteri Anwar,
Datin Seri Wan Azizah Ismail. Sebuah ahkbar harian 25 November menyiarkan
kembali gambar yang sering disiarkan oleh TV dengan mesej jelas kononnya Wan
Azizah tidak percayakan sesiapa, termasuk suaminya sendiri (Anwar).
Percaya atau tidak, tidak
sedikit suri rumah yang menggelengkan kepala dengan fitnah tersebut. Bagi
mereka fitnah seumpama itu sudah sampai ke peringkat bedo’oh lalu (melampau sangat-sangat!). Mereka tidak dapat menerima
penghinaan sebegitu dahsyat terhadap kaum sejenis mereka. Bahkan rasa simpati
mereka terhadap nasib seorang isteri menyebabkan sebahagian mereka beralih
mengundi PAS!
Kemudian ada juga disiarkan
poster kononnya Wan Azizah sokong BN di Permatang Pauh. Disiarkan juga poster ‘Ustaz Lim Kit Siang Perdana Menteri PAS’
yang didakwa banyak tersebar di Banggol, Kota Bharu. Gambar yang dihasilkan
secara superimposed itu menunjukkan
pemimpin DAP itu lengkap berserban, untuk memberi gambaran beliau telah
menerima cara PAS dan PAS juga telah bersetuju mengangkat beliau. Itu semua
tidak syak lagi adalah hasil kerja tangan-tangan kroni BN.
Hampir setiap hari juga soal
masa depan anak-anak dibangkitkan dalam akhbar. Selalunya semuka penuh akhbar
itu dimuatkan dengan gambar kanak-kanak dalam pelbagai posisi yang mampu
meruntun jiwa yang nipis iman agar ‘Jangan
Memperjudikan Nasib Mereka’.
Mesej yang tersirat daripada
paparan itu jelas berunsur ancaman atau ugutan. Seolah-olah hanya BN yang cakna
terhadap masa depan rakyat dan kanak-kanak. Seolah-olah juga kalau mengundi
selain BN, bererti masa depan anak-anak akan jadi tidak menentu.
Rakyat dengan mudah dapat
menilai apakah benar masa depan terjejas sekiranya pembangkang memerintah.
Rakyat terus melihat Kelantan sebagai contoh. Apakah media kroni ada statistik
tentang kemunduran atau kemerosotan minda kanak-kanak di Kelantan sejak ia diperintah
oleh PAS sedekad lalu?
Apakah tokoh korporat,
teknorat, ahli akademik dan profesional lain yang ada di seluruh negara kini
tiada langsung daripada Kelantan, sedangkan mereka yang dewasa kini itu
dahulunya kanak-kanak belaka apabila Kelantan diperintah PAS? Jawabannya sudah
tentu: Tidak! Tidak! Bererti, masa depan mereka yang kanak-kanak dahulu di
bawah pemerintahan PAS itu cukup cemerlang. Bahkan sesetengahnya jauh lebih
cerah daripada kanak-kanak dari negeri-negeri yang diperintah oleh BN.
Tidak cukup dengan
laporan-laporan berat sebelah dan putar belit saban hari, akhbar-akhbar kroni
itu saling berlumba-lumba antara mereka untuk menzahirkan taat setia mereka
kepada kerajaan BN. Dua akhbar harian telah menerbitkan sisipan khas setebal 16
halaman setiap satu, yang dicetak khusus untuk edaran di Terengganu. Salah satu
akhbar berkenaan mengeluarkan sisipan bertajuk ‘Huraian dan Analisis Permasalahan Agama dan Pembangunan Terengganu’,
yang memuatkan sebelas tajuk berasingan di dalamnya. Mesejnya jelas, iaitu menyohor kebaikan kerajaan BN dan
membantai PAS sebagai pemecah-belah masyarakat.
Sebuah akhbar lagi menyusul
dengan sisipan yang agak sama dua hari kemudian, juga setebal 16 halaman. Kali
ini tajuknya sedikit lebih gah dan totok, iaitu ‘Menjana Masa Depan Terengganu Cemerlang: Barisan Nasional
Memartabatkan Agama Islam’. Mesejnya juga sama, iaitu memuji-muji
pembangunan bercorak keislaman yang telah diambil oleh kerajaan BN Terengganu,
dan tidak ketinggalan disebutkan juga karenah-karenah politik yang ditimbulkan
oleh parti lawan, PAS.
Kedua-dua sisipan khas itu
bukan setakat diselitkan bersama akhbar-akhbar berkenaan, tetapi turut
dilonggokkan secara berasingan daripada naskhah induknya, bertimbun-timbun di
hampir setiap bilik gerakan dan pos BN serata negeri Terengganu.
Apakah kesannya? Sepertimana
yang diakui sendiri oleh Tuan Guru MB Terengganu: “Media massa yang
diperalatkan oleh BN untuk siaran khusus untuk Pantai Timur sangat menguntungkan
Barisan Alternatif”.
Logiknya apabila seseorang yang
sudah cemar dan ada rekod buruk cuba menyokong seseorang yang lain, maka
kecemaran itu turut terpalit sama kepada orang yang disokong. Itulah yang
dikatakan ‘sokong membawa rebah’. Media yang suatu ketika dahulu menjadi salah
satu aset penting kepada kekuatan BN dalam pilihan raya, kali ini telah
bertukar menjadi liabiliti pula!
(Artikel
ini adalah Bab 10, Bahagian B: Tanda-tanda Kemenangan, dalam buku 'Masa Untuk
Tok Guru Buktikan - PAS Mampu Pimpin Malaysia', terbitan Penerbitan Pemuda,
Gombak, Ogos 2000)
No comments:
Post a Comment