Saturday, September 22, 2001

Islam Bukan Agama Keganasan

Oleh: Mohd. Nasir Awang
BELUM pernah berlaku dalam sejarah dunia moden sebuah kuasa besar dunia dimalukan di dalam negaranya sendiri. Namun, itulah nampaknya yang telah menimpa Amerika Syarikat (AS) pada 11 September lalu, tarikh hitam yang telah menempelak keegoannya selama ini.
Sebagai kuasa besar dunia, AS di dalam banyak hal sering bertindak ‘ikut suka aku’. Lebih-lebih lagi dengan keruntuhan Empayar Soviet Union lebih sedekad lalu, AS merasakan dialah satu-satunya kuasa besar tunggal di dunia ini.
Dalam banyak hal AS sentiasa memperlihatkan dirinya sebagai ‘polis dunia’ yang bebas menentukan siapa benar dan siapa salah dalam semua konflik. AS sering berlagak sombong dalam sikapnya sama ada untuk menyerang atau mempertahankan mana-mana pihak.
Seperkara yang jelas, dalam percaturan kuasa antara AS dan pencabar-pencabarnya, yang menjadi padang jarak padang tekukur ialah negara-negara berkenaan. Belum pernah walau sekali pun dalam sejarah terdekat ini negara AS sendiri yang menjadi medan pertempuran.
AS hanya tahu menyerang dan manghancur-lumatkan negara orang. Manakala rakyatnya sendiri hanya menjadi penyokong atau penonton kekejamannya dari kejauhan.
Sejarah kekejaman dan kezaliman AS terhadap masyarakat dunia terlalu panjang. Seolah-olah AS tidak pernah ketinggalan mengambil bahagian dalam sebarang konflik di mana-mana negara di serata dunia.
Panama dan Nicaragua di Amerika Tengah, Vietnam dan Laos di Indochina, Palestin, Lubnan, Yemen, Iraq dan Iran di Asia Barat serta puluhan lagi negara telah menjadi medan tempur bala tentera AS.
Bagi memudahkan pelaksanaan agenda ‘busy body’ nya itu, AS berbelanja besar juga bagi menempatkan tenteranya di beberapa negara sepanjang masa. Ia ada di Jepun, di Filipina dan di pulau Singapura.
Ada juga di Croatia, Turki, Jerman dan beberapa negara lagi. Dengan kekuatan dan kehebatan bala tenteranya itu, AS merasakan dirinya tidak mungkin dapat dikalah atau dimalukan oleh mana-mana pihak.
Itulah bahayanya orang yang merasakan dirinya terlalu berkuasa! Kekuasaaan dan kekuatan itu telah menghasilkan rasa ego dan manggak yang keterlaluan. Dan, demi mempertahankan keegoan itu, ia sanggup melakukan apa sahaja, termasuk melemparkan tuduhan dan sangkaan melulu kepada pihak lain.
Seringkali apabila terdesak, Islam akan menjadi scapegoat (kambing hitam). Islam sering digambarkan sebagai agama yang menggalakkan keganasan dan suka berperang. Sheikh Omar Abdul Rahman yang buta itu, Sheikh Ahmad Yassin (Hamas), Saddam Houssein (Iraq) dan Osama Bin Laden adalah antara pemimpin Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan.
Kenaifan dan ketidaksepakatan di kalangan negara-negara umat Islam di dunia ini memudahkan lagi kerja-kerja mengkambing-hitamkan Islam ini dilakukan.
Sebab itu, apabila sebuah bangunan pentadbiran di Oklahoma City, AS, dibom beberapa tahun lalu, seluruh dunia begitu cepat menuding jari kepada kumpulan militan Islam.
Belumpun sempat mana-mana badan penyiasat memulakan tinjauan, konklusi itu telah pun dibuat. Tahu-tahu seorang warga AS sendiri, yang tidak ada langsung kaitannya dengan Islam, mengaku melakukan keganasan itu.
Islam tidak pernah mengajar umatnya berlaku ganas, zalim, kejam atau menindas. Maka, adalah sangat tidak adil untuk mana-mana pihak menilai Islam berdasarkan perilaku para penganutnya.  Kerana, di kalangan penganut Islam itu sendiri, terlalu ramai yang tidak berperilaku sebagaimana yang sepatutnya yang diajarkan oleh Islam. Sebaliknya, ramai juga yang memilih untuk melakukan perkara-perkara yang langsung tidak diajarkan oleh Islam.
Misalnya, Islam tidak pernah mengajar bahawa merompak itu halal. Tetapi, yang melakukan kerja merompak royalti minyak milik kerajaan Terengganu itu adalah jiwa-jiwa yang mengaku Islam belaka.
Mereka tidak ada sedikit pun rasa malu melakukannya secara terang-terangan. Dengan itu, bolehkah Islam ini dicap sebagai agama untuk para perompak?
Islam juga tidak mengajar umatnya untuk membunuh orang awam yang tidak berdosa tanpa perbicaraan atau pertimbangan waras. Kerana di sisi Allah Ta’ala nyawa seorang Muslim itu lebih berharga daripada dunia dan seluruh isinya.
Malangnya, dalam Peristiwa Memali pada akhir tahun 1985 lalu, 14 orang awam terkorban.  Sedangkan hingga kini belum dapat dibuktikan di mahkamah apakah kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan sehingga melayakkan mereka dibunuh.
Kita sedar bahawa ada ketikanya wujud perjudis yang luarbiasa di sesetengah kalangan terhadap apa sahaja yang menyangkuti Islam. Sebut sahaja kalimah Islam, semacam ada suatu fobia bagi mereka. Lebih menyedihkan, salah sangka ini tidak hanya berlaku di kalangan bukan Islam, tetapi juga membabitkan orang Islam sendiri.
Mereka memomokkan Islam dengan berbagai kejahatan, keganasan, keburukan dan kelemahan.  Apakah Islam ini memang begitu rupanya?
Apapun yang mereka katakan, sebenarnya jauh di lubuk hati para pemimpin dunia sudah ada kesedaran bahawa Islam mampu menggugat kekuasaan dan keegoan mereka. Serakah mempertahankan kuasa dan ego itulah sebenarnya yang telah mengakibatkan kacau-bilau dan huru-hara di dunia kini.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman terbitan Urusetia Penerangan Negeri Terengganu (UPNT), Bil: 32, 22 September 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)

Saturday, September 8, 2001

Bukan semua Melayu itu Islam

Oleh: Mohd. Nasir Awang
DALAM minggu-minggu terakhir bulan lalu, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah menganjurkan siri program perjumpaan membabitkan golongan yang ‘baru’ memeluk Islam.
Program yang dinamakan ‘Majlis Perjumpaan dan Keraian Saudara Kita Negeri Terengganu’ itu khabarnya diatur mengikut daerah-daerah.
Mengambil contoh majlis yang diadakan untuk daerah Besut dan Setiu pada 23 Ogos lalu, program separuh hari itu boleh dikatakan lebih sebagai perjumpaan sosial.  Lagi pun tujuan ianya diadakan lebih untuk menerangkan beberapa dasar dan peraturan berkaitan Saudara Kita. Sebab itu ia diisi dengan hanya sesi monolog oleh pihak penganjur, diikuti sesi dialog ringkas bersama Dato’ Seri Tuan Guru Menteri Besar.
Pun begitu, banyak juga pengajaran dan panduan dapat dikutip dari majlis ringkas dan ringan itu.  Sekurang-kurangnya Saudara Kita diyakinkan lagi tentang tindakan tepat mereka memilih Islam sebagai cara hidup. Beberapa aspek kebaikan hukum-hukum Islam dihuraikan secara rasional dan logik oleh Tuan Guru sendiri.
Saudara Kita juga diperbaharui ingatan bahawa di dalam usaha memahami Islam ini, sumber rujukan mestilah Al-Quran, Hadis dan para ulama’.
“Jangan lihat Islam pada orang Melayu. Kerana, ada orang Melayu yang Islam tetapi tidak melaksanakan Islam sepenuhnya”, kata seorang pengucap dalam majlis berkenaan.
Lebih-lebih lagi, kata beliau, Islam bukan ditentukan oleh keturunan.
“Ramai orang yang asal keturunannya Islam tetapi memilih agama yang bukan Islam”, katanya.
Pengakuan itu boleh difahami dengan maksud bahawa Islam tidak semestinya Melayu dan begitu juga Melayu tidak semestinya Islam. Kita tidak boleh lagi berkata Islam dan Melayu adalah sinonim. Begitu juga, kita tidak boleh lagi berkata ‘hidup Melayu, hiduplah Islam’.
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia bagi tahun 1980 boleh menguatkan kenyataan ini.  Banci itu menyatakan bahawa daripada 6.1 juta penduduk berbangsa Melayu di Semenanjung Malaysia, seramai 4,766 menganut agama Kristian.
Seramai 522 orang Melayu menganut agama Hindu, 746 menganut ajaran Confucian, Tao dan lain-lain agama tradisi orang Cina. Manakala seramai 13,666 orang Melayu tidak menganut sebarang agama (atheis).
Sengaja kita memetik perangkaan 20 tahun yang lalu. Menunjukkan soal Melayu tidak beragama Islam ini bukannya perkara baru. Besar kemungkinan perangkaan yang dicatatkan itu telah berubah. Mungkin jumlah Melayu yang menganut agama selain Islam telah semakin berkurangan, atau mungkin juga sebaliknya. Tetapi, dengan perkembangan teknologi, arus modenisasi beserta budaya hedonisme yang semakin kuat melanda negara, harapan untuk melihat jumlah Melayu yang tidak beragama Islam itu semakin berkurangan rasanya agak payah.
Bukankah kita pernah dengar cerita tentang kewujudan Persatuan Melayu-Kristian di beberapa negeri kita? Bahkan kita turut dimaklumkan betapa sudah ada gereja-gereja yang dikhususkan untuk orang-orang Melayu dan dikendalikan sepenuhnya oleh paderi-paderi berbangsa Melayu!
Beberapa ahli politik yang turut terlibat dalam Operasi Lalang 1987 lalu mengesahkan cerita itu.  Kerana, turut ditahan bersama mereka ialah beberapa paderi Kristian berbangsa Melayu.
Dalam Majlis Dialog Peradaban anjuran bersama JHEAT danYayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu beberapa bulan lalu, perkara ini turut ditimbulkan. Beberapa Saudara Kita yang terdiri yang terdiri daripada bekas paderi Kristian, bekas mubaligh Hindu dan bekas aktivis Buddha telah memaparkan ancaman terbaru terhadap agama Islam dari pelbagai sudut.
Mereka turut mengesahkan wujudnya gereja dan paderi Melayu. Bahkan mereka turut menyebut secara berani betapa sudah ada tokoh yang agak terkenal dalam negara ini yang berbangsa Melayu tetapi menganut ajaran Kristian.
Tulisan ini bukan bertujuan menafikan kebebasan penganut agama selain Islam untuk mempraktikkan agama masing-masing. Jauh sekali untuk mengapi-apikan persoalan agama yang sememangnya sangat sensitif dalam negara ini. Kita sebenarnya mahu membuktikan kepada masyarakat, khususnya orang-orang Melayu, bahawa tidak semua orang Melayu di negara ini adalah Islam.
Justeru, golongan yang mendakwa ‘hidup Melayu hiduplah Islam’ adalah golongan yang tidak berpijak di bumi nyata. Islam tidak memerlukan Melayu untuk hidup, tetapi Melayu amat memerlukan Islam.
Sebabnya, apabila Melayu mengenepikan Islam dalam kehidupan mereka, maka wujudlah sebuah masyarakat yang pincang dan bobrok. Wujudlah Melayu tanpa bapa yang jumlahnya lebih ramai daripada Melayu tanpa rumah. Melayu pembakar sekolah nak sama ramai dengan Melayu penagih dadah. Melayu pemijak Al-Quran lebih ramai daripada Melayu penghafal Al-Quran.
Dalam keadaan sebegini, jangan harapkan orang Melayu untuk dijadikan contoh seorang Muslim sejati oleh Saudara Kita dari bangsa India, Cina, Siam dan sebagainya. Kerana, sebahagian orang Melayu itu sendiri perlu mengikuti kursus memahami semula Islam, sebagaimana diperlukan oleh Saudara-Saudara Kita itu.
(Artikel ini disiarkan tabloid dwimingguan Warta Darul Iman, Bil: 31, 8 September 2001 di kolum 'Komentar' dengan tajuk sama)