Monday, July 1, 2013

Selagi ada ruang, nilailah secara positif

Oleh: MOHD NASIR AWANG

AGAK gempar juga pentas media tanahair dengan berita perkahwinan ‘Big Boh’ pentas dakwah, Ustaz Azhar Idrus (UAI). Yang menjadikannya gempar ialah kerana cerita mengenainya tidak dihebahkan lebih awal. Mungkin pihak terbabit sendiri tidak mahu ia dihebahkan, tidak sepertimana kebiasaan dilakukan sebilangan besar selebriti atau orang tersohor.

Lebih dianggap menggemparkan ialah apabila ia pernikahan UAI yang ketiga. Sebagai seorang tokoh dakwah yang diakui menjadi pujaan dan sanjungan jutaan umat Islam yang dahagakan ilmu-ilmu Islam, apa pun yang dilakukan oleh - atau berlaku ke atas - sosok seperti beliau akan segera menjadi perhatian umum. Apatah lagi ianya sesuatu yang dianggap di luar kebiasaan masyarakat umum.

Pendakwah yang juga dikenali dengan jolokan ‘Ustaz Youtube’ itu dilaporkan melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita berasal dari Pagoh, Johor, pada 26 Mei lalu. Gambar pasangan mempelai itu diapit dua wanita berpurdah (dipercayai dua isterinya yang terdahulu) sedang menjamah hidangan dijadikan antara bukti awal oleh media cetak untuk menguatkan berita berkenaan. Ia dikatakan dipetik daripada media sosial seorang teman karib UAI.

Bagai diduga, berita itu segera mengundang reaksi khalayak umum. Bual bicara mengenainya menguasai laman-laman sembang, terutama di media siber. Ribuan melontarkan ucapan tahniah di kesempatan masing-masing. Sebahagian mereka menganggap apa yang dilakukan oleh ikon dakwah itu sesuatu yang wajar dipuji.

Bahawa dengan keilmuan dan ketegasan UAI menyuarakan pelbagai hukum-hakam berkaitan segenap aspek hidup, maka keupayaan beliau menegakkan Sunnah Nabi saw dalam bab kahwin ini tidak diragukan. Beliau dipercayai mampu berlaku adil dan memenuhi segala tuntutan sebagai suami mithali dalam berpoligami.

Tidak kurang juga yang menyeru, secara serius mahu pun dalam nada bergurau, agar apa yang dilakukan oleh pendakwah idola mereka itu turut dijadikan contoh. Justeru, bertalu-talulah seruan dan cabaran sesama mereka agar masing-masing turut memasang hasrat atau merealisasikan niat “membuka cawangan”.

Namun, sebagaimana sering disebutkan orang, bahawa “akan sentiasa ada sisi yang lain pada sekeping syiling”. Begitulah juga dengan berita perkahwinan ketiga UAI ini. Ada pihak yang tidak dapat menilainya dari sisi positif. Komen-komen mereka, terutama yang dapat dibaca di laman-laman sosial, nyata amat negatif dan sinis. Bahkan sesetengah mereka, entahlah sama ada secara jahil atau dengan kesedaran ilmu, tergamak mengungkap kalimah-kalimah yang boleh ditafsirkan sebagai mempersendakan hukum termaktub dalam agama berhubung poligami ini.

Persendaan itu juga, sama ada disedari atau tidak, turut diseret kepada dunia dakwah. Mereka seakan mengambil kesempatan memburuk atau memberikan gambaran negatif terhadap khalayak yang terlibat dengan kerja-kerja agama. Mereka menafsirkan, dan cuba merasionalkan hujah mereka yang tidak rasional itu, kononnya apa dilakukan sosok dianggap ikon dakwah itu boleh menjatuhkan imej dakwah tanahair. Bahawa mengamalkan poligami bukanlah contoh yang baik kepada masyarakat, lebih-lebih lagi mengambilkira betapa sebahagian besar “pemuja” UAI ialah kalangan anak muda.

ii.
Ketidaksediaan seorang rakan kami menerima tawaran menjadi jurunikah baru-baru ini mencetuskan persoalan teman-teman lain. Bual bicara hal itu agak relevan dengan keadaan semasa ketika itu, memandangkan ia musim orang berkenduri-kendara.

Tidak pasti keadaan di tempat lain, tetapi di tempat kami di Besut musim cuti persekolahan selalunya musim amat meletihkan buat jurunikah. Dikatakan sebahagian besar mereka terpaksa memenuhi tempahan khidmat berbelas tempat dalam sehari. Jadual mereka bermula seawal jam 9 pagi dan berakhir lewat malam, bahkan kadang-kadang terpaksa berlarutan hingga ke awal pagi.

Permintaan sangat tinggi terhadap jurunikah itu disifatkan teman-teman sebagai peluang baik buat rakan kami itu meluaskan khidmatnya selaku imam rawatib mukim kami. Di samping itu, ia juga peluang untuknya menambahkan pendapatan, walau pun hanya bermusim. Justeru, teman-teman agak hairan kenapa beliau tidak berminat memikul tugas itu.

Jawaban diberikan beliau bagaimana pun membuatkan kami termenung sakan. “Aku takut tak lepas nak jawab depan Allah Ta’ala di akhirat esok-esok”, katanya. Beliau memaparkan realiti masyarakat kita, khususnya kaedah pemilihan saksi nikah yang dibuat semata-mata bagi memenuhi tuntutan peraturan jabatan agama. Sedangkan katanya, ada di kalangan mereka yang disenaraikan itu tidak pun melepasi “syarat menjadi seorang saksi yang adil” di sisi Allah Ta’ala.

“Inilah masalah dengan peraturan kita. Kita duk utamakan kursus kepada pasangan yang nak nikah saja, tetapi kita tak pernah beri kursus pun kepada orang yang nak jadi saksi nikah. Mereka ini hanya tahu sebut ‘sah’ apabila tok imam (jurunikah) tanya, ‘sah?’ Tapi satu benda pun pasal nikah kahwin ni dia tak tahu. Betul ke boleh sah nikah dengan saksi macam tu?”, soal beliau balik kepada kami.

Sepintas lalu, saya akui hujah dilontarkan rakan kami itu bukanlah sandaran yang kuat untuk menidakkan tugas ditawarkan kepadanya. Malah saya percaya masih banyak ruang dalam hujahnya itu yang boleh dipertikai atau diberikan hujah balas, lebih-lebih lagi oleh mereka yang tinggi ilmu dan selok-belok hukum-hakam agama.

Namun, secara peribadi saya tidak mahu memandang sepi hujahnya itu. Paling tidak pun ada suatu kesedaran mendalam dalam hujahnya itu tentang kejahilan melanda masyarakat Islam mengenai agama mereka sendiri, termasuk perkara-perkara penting menyangkuti hidup mereka. Sedangkan agama kita amat menekankan kewajiban mendalami ilmu, terutama berkaitan sesuatu ibadat yang mahu kita laksanakan.

Dalam ertikata lain, selaku orang Islam amat tidak sayugia bagi kita melakukan sesuatu ibadat hanya secara ikut-ikutan, tanpa disertakan pengetahuan dan pemahaman yang jelas mengenainya.

Bagi saya itulah sesuatu yang boleh dikutip secara positif dari hujah rakan kami tadi. Samalah juga dengan keputusan Ustaz UAI berkahwin lagi itu!

(Artikel ini disiarkan di kolum 'Coretan Ketua Pengarang' , majalah ERA Muslimah, Edisi 16 (Julai 2013) dengan tajuk sama)


No comments:

Post a Comment