Oleh: MOHD NASIR AWANG
MAJLIS perisytiharan calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil
Dewan Undangan Negeri Kuala Besut, 9 Julai lalu bermula agak lewat.
Memandangkan malam itu permulaan umat Islam menunaikan solat tarawih bagi
menyambut kehadiran Ramadhan, arus kehadiran pendengar ke tapak majlis itu agak
lembab.
Jam sudah menghampiri pukul 10 malam. Suasana di hadapan
pentas utama masih lengang. Sudah kelihatan di pentas ketika itu ialah Timbalan
Presiden PAS, Mohamad Sabu, Pengarah PRK Kuala Besut, Dato’ Husam Musa,
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail,
Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut dan sebilangan pemimpin PAS
dan Pakatan Rakyat peringkat negeri dan kawasan Besut.
Hanya selepas melangkaui jam 10 malam, baru kedengaran
pembesar suara dari pentas. Mempengerusikan majlis ialah Yang Dipertua PAS
Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad. Beliau adalah salah seorang yang
disebut-sebut memasuki senarai pendek untuk dipilih sebagai calon PAS.
“Sah lah Ustaz Wan Azhar bukan calon. Mana mungkin calon
jadi pengerusi majlis isytihar calon?”, simpul hati saya.
Kehadiran pendengar meningkat mendadak sejurus majlis
dimulakan. Dalam masa tidak sampai setengah jam kemudian, hampir seluruh ruang dataran
ceramah itu dipenuhi orang. Ketika itulah rombongan Tuan Guru Presiden dan
Dato’ Setiausaha Agung PAS tiba.
Aturduduk hadirin malah semakin padat menjelang jam 11
malam. Yang hadir bukan sahaja dari kalangan pendukung PAS/Pakatan Rakyat di
Besut. Antara mereka ada kenalan-kenalan saya dari Setiu, Kuala Terengganu,
Pasir Puteh dan Bachok.
Saya kira dorongan utama kehadiran setiap orang malam itu
ialah untuk memuktamadkan teka-teki siapakah bakal dipilih menjadi calon PAS.
Sudah dua minggu teka-teki itu bermain di bibir anggota masyarakat setempat,
khususnya para pendukung PAS.
Nama-nama seperti Haji Ya (seorang tauke ikan di situ),
Ustaz Ridhuan Mohd Nor (bekas calon PAS bagi Parlimen Besut) dan Puan Napisah
Ismail (bekas calon Dun Kuala Besut) antara yang laris disebut orang.
Namun, senarai ‘paling pendek’ dikatakan melibatkan Ustaz
Wan Azhar, Ustaz Nik Zawawi Salleh (bekas Adun Kuala Besut 1999-2004) dan Azlan
@ Endut Yusof (Bendahari PAS Kawasan Besut).
Kesemua mereka ada keistimewaan, kewibawaan dan pengaruh
tersendiri. Mereka juga sosok-sosok yang sudah sedia dikenali masyarakat
setempat. Hakikat itu menyulitkan lagi teka-teki yang diperkatakan itu.
Tepat jam 11.50 minit malam, segala teka-teki itu
terjawab. Tuan Guru Presiden mengumumkan orang yang dipilih PAS ialah Azlan @
Endut Yusof, atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Che Long’. Beliau adalah anak
jati Kuala Besut, seorang kontraktor berjaya dan dikenali dengan sifat pemurah,
suka membantu orang dan mudah didekati.
Pengumuman itu disambut laungan takbir bersahut-sahutan
dari para hadirin.
(Artikle ini disiarkan akhbar Harakah Bil. 1861, 6-9 Ramadhan 1434/15-18 Julai 2013 di halaman 24 sisipan FIKRAH dengan tajuk 'Kontraktor pemurah, Che Long jadi calon PAS')
No comments:
Post a Comment