Oleh: MOHD NASIR AWANG
DI DAERAH paling utara negeri Terengganu, majoriti
penduduknya tidak “makang ikang tambang dalang talang” (dialek Terengganu untuk
‘makan ikan tamban dalam talam’). Walau pun mereka warga negeri itu dan
mencurahkan taat setia tidak berbelah bagi kepada Tuanku Sultan Terengganu,
bahasa pertuturan mereka sama sekali asing daripada bahasa Terengganu. Penduduk
Besut “makae ikae tambae dalae talae”.
Perbezaan ini dikaitkan dengan sejarah. Dikatakan Besut
pada asalnya satu jajahan di bawah kerajaan Kelantan. Sebab itu bahasa
pertuturan penduduknya menyamai bahasa Kelantan.
Bahkan, teori sejarah lebih masyhur mengatakan Besut dan
Kelantan adalah dua wilayah di bawah Empayar Langkasuka, berpusat di Pattani.
Empayar ini menjalur luas dari Surat Thani (wilayah selatan Thai) di sebelah utara hingga ke Sungai
Tong (di Setiu sekarang) di sebelah selatan. Penduduk empayar ini berkongsi bahasa dan budaya, termasuk
permainan tradisi, pakaian, makanan dan segala aspek kehidupan.
Sebab itu dalam banyak hal penduduk Besut secara
tradisinya “berkiblat” ke Kelantan. Untuk membeli barangan perniagaan atau
kegunaan sendiri, mereka memilih ke Kota Bharu, berbanding Kuala Terengganu. Selera
mereka lebih “berpalut” dengan nasi kerabu (menu Kelantan) berbanding nasi
dagang (sajian istimewa Terengganu).
Dalam berhibur, orang Besut lebih meminati dikir barat
dan wayang kulit (tradisi Kelantan) berbanding rodat dan gamelan (tradisi
Terengganu). Manakala penampilan “bersemutar” (lilit kepala Kelantan) lebih
melumrah di kalangan nelayan Besut, berbanding mereka yang berterendak (identiti
nelayan Terengganu).
Namun, itu keadaan dulu-dulu, zaman nenek-moyang kita.
Suasana sudah jauh berubah, terutama sejak tiga-empat dekad kebelakangan ini.
Proses gabungjalin antara dua budaya yang sama sekali berbeza itu berlaku
begitu cepat, sehingga menghasilkan sebuah masyarakat sangat unik di daerah
itu.
Besut sekarang tidak ubah ‘bumi pertemuan dua benua’. Di
situ anda boleh temui nasi kerabu, di kedai sama juga ada nasi dagang
Terengganu (pastikan anda tahu perbezaan antara nasi dagang Terengganu (beras
putih) dengan nasi dagang Kelantan (beras merah)!). Ada kain batik Terengganu,
ada batik Kelantan. Ada kueh taik itik
dan ulat bulu, ada juga akok dan nganang.
Berkongsi meja di kedai makan, anda boleh dengar orang
bercakap bahasa ‘Ayoh Wang’ dan bahasa ‘Abe Awe’. Malah dalam sebuah rumah pun,
ada cucu bertutur loghat Besut, ada bercakap dialek Kuala Terengganu.
Hanya di Besut anda ada pilihan untuk tatap akhbar Sinar Harian, sama ada edisi Terengganu
(kuning) atau Kelantan (hijau).
Dalam konteks PAS, penghormatan pendukung Islam Besut
terhadap Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tiada beza dengan sanjungan mereka
kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Datanglah ke Besut, dan saksikanlah sendiri pertautan dua
budaya yang sangat menarik di sana!
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1859, 29 Syaaban-2 Ramadhan 1434/8-11 Julai 2013 di halaman belakang sisipan Fikrah dengan tajuk 'Jom bertandang ke Kuala Besut')
No comments:
Post a Comment