Oleh: MAT ZAIN MAT ISA
BAGAI diduga sedari awal, Barisan Nasional (BN) telah
berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Terengganu.
Dalam pilihan raya kecil (PRK) kawasan berkenaan yang berlangsung pada Rabu (24
Julai), calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, menewaskan calon PAS
Haji Azlan @ Endut Yusof, 48, dengan majoriti 2,592 undi.
Tengku Zaihan memperolehi 8,288 undi berbanding Azlan,
yang lebih popular dengan panggilan Che Long, mendapat 5,696 undi. Kedua-dua jumlah
undi itu bagaimana pun menyaksikan penurunan berbanding undi diperolehi setiap
parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.
Jumlah undi diraih calon BN, Allahyarham Dr. A. Rahman
Mokhtar pada Mei lalu ialah 8,809. Ia merosot 521 undi dalam PRK ini. Begitu
juga di pihak PAS, mengurang sebanyak 679 undi berbanding 6,375 undi dikutip
Puan Napisah Ismail dalam PRU-13 lalu.
Kemerosotan ini dipercayai ekoran peratus keluar mengundi
yang lebih rendah kali ini. Dilaporkan hanya 14,108 atau 79.78 peratus daripada
17,683 pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab mereka. Ia merosot
agak banyak berbanding 86.70 peratus atau 15,328 daripada 17,679 pemilih
berdaftar pada PRU lebih dua bulan lalu.
Hal itu bagaikan sudah dijangka. Pelbagai pihak sebelum
ini, terutamanya para pemimpin dan pendukung pembangkang, telah meluahkan rasa
terkilan di atas pemilihan tarikh pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR). Ia seakan disengajakan bagi menyulitkan pengundi, terutama yang berada
di perantauan untuk pulang mengundi.
Pertama, ia terlalu hampir dengan tarikh hari raya (dua
minggu). Hal ini menyebabkan pengundi yang tinggal jauh dari Kuala Besut,
terutama yang kurang berkemampuan, terpaksa memilih antara pulang untuk pilihan
raya atau menunggu balik untuk hari raya. Kelihatannya, mereka lebih memilih
untuk pulang berhari raya sahaja.
Kedua, hari pengundian jatuh pada Rabu. Ia adalah hari
bekerja, sama ada untuk penjawat awam, swasta, pekerja sendiri mahu pun yang menjadi
nelayan setempat. Agak sukar bagi mereka mengambil cuti memandangkan Rabu
berada di tengah-tengah minggu, bukannya di awal atau hujung minggu. Maka tidak
mustahil ramai antara mereka memilih untuk meneruskan jadual kerja dan
mengabaikan tanggungjawab mengundi.
Ketiga dan paling membebankan ialah apabila tarikh itu
(24 haribulan) para pengundi dari kalangan penjawat awam belum mendapat gaji
bulanan mereka. Jika pun ada jabatan/majikan membayar gaji pekerja pada tarikh
berkenaan, bagi mereka yang berada di perantauan, perjalanan pulang sudah pun
dibuat sehari sebelumnya. Maka bagi yang terpaksa menunggu kemasukan gaji bulan
ini, mereka kemungkinan terpaksa melupakan saja hasrat pulang mengundi.
Selain itu, ada juga persepsi di kalangan pengundi bahawa
kepulangan mereka sukar mengubah keadaan. Majoriti lebih 2,400 undi pada PRU
lalu agak selesa buat BN mengekalkan kemenangan.
Persepsi ini wujud di kalangan kedua-dua pihak. Pengundi
yang sayangkan BN berasa yakin dengan keadaan itu. Manakala pengundi PAS tidak
meletakkan harapan tinggi parti mereka mampu mengatasi BN, lebih-lebih lagi
dalam sebuah pilihan raya kecil yang sedia dimaklumi dihujani segala macam
taktik dan strategi kotor pihak lawan. Lalu mereka merasakan jikalau keluar
atau tidak keluar mengundi kali ini pun, tidak akan mengubah keadaan.
Kesemua pertimbangan itu dipercayai menjadi penyebab
utama 1,220 pengundi memilih untuk tidak keluar mengundi dalam PRK ini.
Sepertimana lazimnya, setiap kemenangan BN akan dijadikan
bukti sokongan dan keyakinan rakyat yang masih kekal kepada parti itu. Para
pemimpin BN berlumba-lumba membuat kenyataan kononnya kemenangan ini bukti Umno
tetap di hati penduduk Kuala Besut. Kononnya juga calon dikemukakan BN diterima
baik oleh rakyat.
Malah Timbalan Perdana Menteri selaku Pengarah PRK nyata
tersasul apabila mendakwa kononnya undi diperolehi calonnya kali ini meningkat
berbanding PRU-13 lalu. Kenyataan itu sangat tidak cermat dan menyalahi fakta yang
diperakui semua pihak.
Sepertimana disebutkan di atas, dan disahkan keputusan
rasmi oleh SPR, undi dikutip kedua-dua parti menunjukkan kemerosotan. Maka,
tidak sepatutnya ada pihak termasuk BN mendakwa ia telah berjaya menambah undi
atau meningkatkan sokongan.
Satu-satunya perangkaan yang menampakkan peningkatan di
pihak BN ialah jumlah undi majoriti. Ia meningkat sebanyak 158 undi sahaja berbanding
2,434 pada PRU lalu. Namun itu pun bukan kerana jumlah undi dipungut parti itu
bertambah. Ia hanya kerana jumlah kemerosotan undi di pihak PAS lebih besar
berbanding penurunan undi BN. Itu saja, dan ia bukanlah pencapaian membanggakan
buat BN!
Apatah lagi agak jelas daripada hakikat itu betapa dengan
segala kerahan tenaga, kewangan dan taburan segala macam janji, bantuan segera,
projek segera dan sebagainya, BN hanya mampu meningkatkan majorit 158 undi.
Sedangkan jumlah dicongak pada janji projek-projek bakal dilaksanakan di Kuala
Besut melangkaui RM476 juta.
Ishhh... hanya 158 undi untuk RM476 juta? BN patut malu
nak berbangga dengan kemenangan ini!
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil. 1865, 20-23 Ramadhan 1434/29 Julai-1 Ogos 2013. Ia telah disiarkan lebih awal di laman detikdaily.net pada 27/07/13 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment