PADA adatnya, Puan Napisah Ismail adalah orang paling berhak untuk
dipertaruhkan sekali lagi dalam Pilihan Raya Kecil Dun Kuala Besut, nanti.
Selaku bekas calon PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang baru sahaja
berlalu tidak sampai dua bulan lalu, adalah amat beradab sekiranya peluang kali
ini ditawarkan semula kepada beliau.
Lagi pun menurut kebiasaannya, PAS tidak ada apa-apa
halangan untuk memberikan peluang kedua, malah ketiga atau lebih, kepada
mana-mana individu yang diyakininya mampu memberikan tentangan terbaik kepada
parti lawan dalam mana-mana pilihan raya diadakan.
Persoalan ini terlontar semula apabila satu pilihan raya
kecil pasti akan diadakan di Dun Kuala Besut tidak berapa lama lagi. Kerusi itu
kosong ekoran kematian wakil rakyatnya, Dr. A. Rahman Mokhtar, akibat penyakit
jantung dan paru-paru pada Rabu, 26 Jun.
Lalu persoalan siapakah bakal dipilih mewakili PAS dalam
pertarungan nanti mula disuarakan. Di situlah timbul pengesyoran di atas tadi.
Lagi pun Napisah, atau lebih mesra dipanggil ‘Kak Sah’, sendiri tidak ada
apa-apa kelemahan peribadi sehingga boleh dipertikaikan kewibawaannya membawa suara
parti sekiranya terpilih.
Pengalamannya memegang berbagai jawatan parti sejak
hampir tiga dekad lalu, sama ada di peringkat Cawangan, MTD, Kawasan mahu pun Negeri
adalah suatu yang tidak dapat dinafikan. Komitmennya terhadap kerja-kerja parti
tidak pernah luntur mahu pun goyah.
Malah, memperkukuhkan lagi pengorbanan beliau ialah
wujudnya gandingan mantap bersama suami, Cikgu Zawawi Mahmud. Pesara guru itu
bukan sosok yang asing bagi pendukung PAS, khususnya di Besut. Kewujudannya
dalam PAS di pelbagai peringkat agak sinonim dengan jawatan ‘setiausaha’.
Cikgu Zawawi pernah memegang jawatan yang merupakan ‘nadi
organisasi’ itu di cawangannya, Kampung Dengir; Unit Peti Undi (UPU) Bukit
Puteri, Majlis Tindakan Dun (MTD) Kuala Besut dan terakhir sempat menjawat
Setiausaha PAS Kawasan Besut. Malah sepanjang kempen PRU-13 lalu, beliau bertindak
selaku ‘Setiausaha Peribadi’ kepada calon Dun Kuala Besut, iaitu tidak lain dari
isterinya sendiri.
Ertinya, jika mahu dipersoalkan tentang kelayakan Kak Sah
dari sudut komitmen terhadap perjuangan parti, penulis rasakan hampir tidak ada
ruang untuk beliau diremehkan. Satu-satunya hakikat yang nampaknya
diketengahkan sebagai faktor mengurangkan sokongan terhadap beliau ialah kerana
beliau seorang wanita (muslimah).
Itulah sahaja “kekurangan” beliau. Sebenarnya, penulis sendiri
telah lama mendengar sungutan beberapa pihak, sedari awal nama Kak Sah
disebut-sebut bakal dipilih mewakili PAS di Dun Kuala Besut dalam PRU-13 lalu.
Ketika itu belum pun ada kata putus dari pucuk pimpinan, tetapi nama beliau
sudah “lacuh” disebut.
Penulis pernah mengulas isu kemungkinan PAS meletakkan calon
muslimat di Terengganu menerusi akhbar Harakah
(rujuk bil: 1769, 17 Ogos 2012 atau layari http://padredeumares.blogspot.com/2012/08/terengganu-bakal-pertaruh-calon-muslimat.html).
Walau pun dalam artikel itu penulis memilih untuk tidak menyebut di kawasan mana
calon dimaksudkan itu akan muncul, ia sebenrnya sudah ada dalam pengetahun,
termasuk siapa nama bakal calonnya.
Di waktu itu juga penulis sendiri sudah diterjah dengan
berbagai suara kurang enak, mempersoalkan kewajaran PAS meletakkan calon
muslimat. Salah seorang mereka secara penuh bertanggungjawab melontarkan, “tak
ada orang lelaki dah ke kita ni? Ana bimbang takut orang tak boleh terima lagi
kat tempat kita ni calon perempuan ni...”
Rakan penulis itu seorang pemerhati politik yang cermat.
Beliau mendakwa menerima maklumbalas agak negatif daripada beberapa pihak
ditemuinya berhubung hasrat PAS meletakkan calon muslimat.
Ya, kita memang tidak menyangka isu itu akan berlarutan.
Kepimpinan parti juga barangkali menganggap ahli-ahli dan pendukung PAS akan
akur akhirnya kepada pilihan parti. Justeru, kita diyakinkan bahawa sebarang
gertakan atau penegasan mana-mana pihak untuk “boikot” kerja pilihan raya sekiranya
calon muslimat diletak, tidak akan menjadi kenyataan.
Tambahan pula di masa sama, Dewan Muslimat PAS Pusat
katanya sangat beriya-iya menampilkan calon muslimat di Terengganu. Konon
katanya bagi memperlihatkan Muslimat Terengganu tidak ketinggalan dalam
‘perlumbaan’ mengetengahkan wakilnya seperti yang telah bertahun dilakukan oleh
Muslimat di negeri-negeri lain.
Tidak sangka pula, bahawa isu itu rupa-rupanya tidak
mudah untuk dipadamkan. Penolakan segelintir itu terhadap calon muslimat,
melarat menjadi “serangan peribadi” terhadap Kak Sah. Ternyata PAS tersilap
underestimate penolakan itu, apabila segelintir itu sanggup pergi lebih jauh
mengisytiharkan “haram” mengundi calon muslimat. Memburukkan keadaan ialah
apabila “hukum” ini tercium oleh jentera saraf BN. Hasilnya, tidak sedikit
mereka yang pada asalnya cenderung memilih PAS akhirnya mengubah pendirian.
Kak Sah memperolehi 6,375 undi berbanding Allahyarham Dr
A. Rahman yang mendapat 8,809 undi. Majoriti kekalahannya ialah 2,434 undi,
meningkat hanya sedikit berbanding 2,631 pada 2008. Apabila ditanya kenapa
keputusan itu sedemikian rupa, ada yang menjawab, “kerana oghe toksir ko calon
muslimat”.
Astaghfirullah al-‘Azim, sempit benarkah pemikiran orang
di Besut ini sehingga tidak dapat terima muslimat sebagai calon? Ataukah
pemimpin kita yang silap kerana meremehkan isyarat awal penolakan itu?
(Artikel ini
disiarkan akhbar Harakah Bil:1857, 22-25 Syaaban 1434/1-4 Julai 2013 di ruangan
‘KOLUMNIS F21’ dengan tajuk serupa)
No comments:
Post a Comment