Oleh: MOHD NASIR AWANG
PILIHAN Raya Kecil Dun Kuala Besut, Terenganu semakin
menuju kemuncak. Kedua-dua parti bertanding, Barisan Nasional (BN) dan PAS
semakin merancakkan gerakerja kempen masing-masing.
Setakat ini belum ada apa-apa yang boleh disifatkan
sebagai pendekatan baru dalam kempen BN. Selaku parti pemerintah yang memiliki
berbagai kelebihan berbanding PAS, BN nampaknya kekal selesa memanfaatkan
kaedah dan taktik lama. Kesemua taktik dan pendekatan itu berkait rapat dengan
tabiatnya memanipulasi kuasa dan kewangan kerajaan untuk kepentingan politik
partinya.
Pertama, BN terus memancing undi rakyat dengan menabur
janji pembangunan dan pelaksanaan projek segera. Tan Sri Muhyiddin Yassin yang
turun sebagai Timbalan Perdana Menteri merasmikan peletakan batu asas dan pecah
tanah projek pembinaan 72 unit pangsapuri empat tingkat, di Kampung Lay Out Tok
Saboh.
Dengan kos pembinaan RM10.35 juta, projek itu akan
menjadi tempat tinggal 72 keluarga, termasuk 46 keluarga mangsa air pasang dan
ombak besar di Dun berkenaan. Setiap unit bernilai RM100,000 itu akan diberikan
kepada setiap keluarga secara percuma.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula
meluluskan pembinaan pasar nelayan di Jeti Kuala Besut, yang sekali gus menjadi
pasar pertama seumpamanya di Terengganu. Menterinya yang turun menabur janji
itu mengatakan kerajaan akan membina pasar dengan kos RM200,000 itu dalam masa
terdekat.
Di tengah-tengah kerancakan kempen inilah juga Menteri
Pendidikan II mendapat idea memilih dua sekolah di Kuala Besut untuk program
integrasi kementeriannya dengan Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, yang
dipanggil Brain Bee.
Secara kebetulan pula, ketiga-tiga janji besar ini
berlaku di hari sama dan turut melibatkan kawasan sama di Besut. Giliran
menteri-menteri lain mengumumkan projek kementerian masing-masing dijangka akan
bersilih-ganti dalam tempoh kempen berbaki seminggu lagi ini.
Kedua, BN memanipulasi tahap hidup rakyat dengan umpan bantuan
segera. Sepertimana lazimnya di setiap kesempatan pilihan raya kecil sebegini,
BN akan memanfaatkan kuasa dan kewangan kerajaan menyalurkan pelbagai bantuan
kepada hampir setiap sektor masyarakat.
Tidak cukup dengan beberapa skim bantuan yang telah sedia
dilaksanakan seperti BR1M, TR1M, dan entah apa-apa lagi, diwujudkan pula
berbagai nama bantuan mengikut jabatan atau agensi kerajaan berasingan. Kumpulan
nelayan diberikan bantuan perkakasan nelayan, khalayak petani pula dengan input
pertanian, begitulah juga yang lain-lainnya.
Ketiga, ada maklumat mendakwa wujud unsur ancam-ugut
terhadap petugas PAS di peringkat akar umbi. Dikatakan ada unit peti undi (UPU)
PAS sukar mendapat komitmen daripada petugas tempatan, sedangkan sekian lama individu-individu
terbabit adalah aktivis setempat yang membuat
kerja-kerja parti secara terbuka.
Antaranya, masih ada UPU PAS yang gagal menyenaraikan
petugas ‘polling and counting agent’, apabila petugas sedia ada enggan
memberikan kerjasama di atas sebab-sebab yang sangat mencurigakan. Difahamkan
mereka ini telah ditekan dengan ‘kata dua’ oleh pihak tertentu agar tidak
melibatkan diri dengan sebarang gerakerja kempen PAS, atau bakal berdepan kesulitan
di dalam pencarian rezeki mereka.
Sejauh manakah dakwaan ini benar, hanya Allah Yang Maha
Mengetahui. Namun, logiknya juga ada. Bagi masyarakat di Dun Kuala Besut yang
rata-rata hidup kais pagi, makan pagi, sebarang ancaman untuk menutup periuk
nasi adalah sesuatu yang paling ngeri untuk diimpikan. Kesan daripada keadaan
itu sedang dirasai PAS.
Keempat, BN masih mengamalkan taktik menyerang peribadi
calon lawan. Walau pun calon BN dalam kenyataan kepada media sejurus selepas
penamaan calon Jumaat lalu menyatakan akan melaksanakan kempen secara gentleman dan tidak akan menyerang peribadi
calon parti lawannya, sikap dan pendirian serupa nampaknya tidak dikongsi para
pendukung BN lain.
Di hari sama juga khabarnya calon PAS, Azlan @ Yusof
Endut a.k.a Che Long dikutuk dan dihina. Taraf pendidikannya yang ‘hanya lulus
SPM’ dijadikan bahan tutur paling laris di kalangan jentera kempen BN. Bahkan,
ada di kalangan pemimpin masyarakat setempat melabelkan beliau sebagai seorang
calon yang “bodoh”, “tidak pass periksa” dan tidak layak dipertemukan dengan
calon BN yang berpendidikan tinggi itu.
Che Long juga disifatkan seorang bekas ahli Umno yang
khianat dan mempunyai rekod disiplin yang buruk, sehingga beliau terpaksa
dipecat daripada Umno. Sedangkan ‘rekod buruk’ dimaksudkan itu hadir ke Besut
bersama satu fenomena penghijrahan beramai-ramai ahli Umno ke dalam PAS selepas
September 1998 lalu.
Selain pemerhatian-pemerhatian di atas, pelaporan media
elektronik dan cetak arus perdana yang sangat tidak telus dan berat sebelah
turut menambah ketempangan dalam proses demokrasi negara ini.
Kesemua pemerhatian disebutkan itu bukanlah perkara baru.
Ia hakikat yang telah sekian lama diamalkan BN pada setiap kali parti itu
berdepan pilihan raya, umum atau kecil. Ertinya, biar pun zaman semakin
melangkah ke depan, taktik dan strategi kempen BN tetap kekal di takuk lama.
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1862, 10-12 Ramadhan 1434/19-21 Julai 2013 di ruangan F14 FOKUS PRK KUALA BESUT dengan tajuk 'Kempen BN di takuk lama')
No comments:
Post a Comment