Saturday, July 13, 2013

Kelebihan memihak calon PAS di Kuala Besut

Bukan sekadar faktor ‘anak jati’

Oleh: MOHD NASIR AWANG

Tidak ada rekod jelas berhubung keterlibatan aktif Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman di dalam politik Umno/Barisan Nasional (BN) di Besut, lebih-lebih lagi di Kuala Besut. Tidak kedengaran juga bual bicara masyarakat setempat mengenai “gelomok” nya beliau dengan orang-orang kampung, termasuk sepanjang tempoh menjawat Jurutera di Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) Daerah Besut sejak lima tahun lalu.

Satu-satunya faktor ditonjolkan BN dalam menjustifikasi pemilihan Tengku Zaihan sebagai calon terbaik parti itu berdepan PAS dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, 24 Julai nanti ialah kerana beliau anak jati Dun tersebut. Tengku Zaihan anak kelahiran Kampung Nail, kira-kira satu kilometer dari pekan Kuala Besut dan muara Sungai Besut.

PAS juga mengambil serius desakan dan pengesyoran pelbagai pihak yang cenderung mengharapkan parti itu mengemukakan seorang anak jati Kuala Besut sebagai calonnya. Maka di atas perkiraan itu PAS memilih Haji Azlan @ Endut Yusof sebagai calonnya. Ahli perniagaan dan kontraktor berusia 48 tahun itu anak kelahiran Kampung Baru, salah sebuah lokaliti di dalam Dun Kuala Besut.

Ertinya kedua-dua pihak mengemukakan calon yang menepati kriteria paling diperbahaskan umum itu. Namun ternyata faktor anak jati Kuala Besut bukan satu-satunya jaminan memberi kelebihan kepada mana-mana pihak antara kedua mereka. Penelitian terhadap beberapa aspek lain menyerlahkan betapa calon pilihan PAS, yang lebih dikenali dengan nama ‘Che Long’ setakat ini mempunyai kelebihan agak ketara berbanding calon diisytiharkan BN itu.

Pertama, apa yang lebih memihak kepada Che Long dalam perbandingan ini ialah kebersamaan beliau dengan penduduk setempat pada sebahagian besar tempoh hidupnya. Dari zaman persekolahan, zaman pekerjaannya, hingga ke zaman berpolitiknya, ketiga-tiga tempoh perkembangan hidupnya itu secara jujur dilihat menzahirkan kelebihan di pihak Che Long berbanding Tengku Zaihan.

Calon PAS itu bersekolah di Kuala Besut. Maka seramai mana kawan, guru dan kenalan diperolehinya sepanjang persekolahan itu sudah tentu ramai dari kalangan penduduk Kuala Besut. Sedangkan Tengku Zaihan menghabiskan zaman persekolahan dan pengajiannya di perantauan. Beliau bersekolah menengah di Dungun, sebelum melanjutkan pula pengajian ke peringkat universiti di Pulau Pinang. Sekerap mana pun dia pulang sebelum ini (kalau pun dia kerap pulang bercuti sepanjang tempoh pengajian itu), sudah tentu tidak sama dengan seorang lain (Che Long) yang ‘bertumah’ di kampung sepanjang masa itu.

Apabila memasuki alam pekerjaan pula, kelebihan sekali lagi memihak kepada Che Long. Nama beliau mula menjadi sebutan masyarakat sebagai peniaga stor kayu yang “mudoh bbaso, senae kkiro”. Ertinya, beliau suka mempermudahkan segala urusan jual-beli, tidak terlalu ‘pegang harga’ dan pemurah.

Sifat pekerjaannya itu juga menjadikannya berinteraksi dengan masyarakat setiap hari. Para pekerjanya adalah penduduk tempatan, pelanggan yang berurusan dengannya pula kebanyakannya dari kampung-kampung sekitar Kuala Besut juga. Cara interaksi antara mereka itu tentu sekali berbeza dengan seorang pegawai kerajaan (calon BN), yang hanya akan turun menemui masyarakat atas tugasan rasmi, di dalam menyelesaikan kes-kes tertentu sahaja.

Kedua, perbezaan amat ketara juga ialah dalam sumbangan bakti kedua-dua mereka kepada masyarakat. Sifat dermawan Che Long kepada masyarakat Besut, terutama di Kuala Besut sendiri telah diketahui umum sejak sekian lama. Kekayaan anugerah Ilahi kepadanya menerusi usaha niaganya yang berjaya ternyata tidak dihabiskannya untuk diri dan keluarganya semata-mata.

Hampir tidak ada program besar parti yang tidak menerima sumbangan bermakna daripada Che Long. Saya teringat dalam satu mesyuarat AJK PAS Kawasan Besut, ketika mana saya masih berada di dalam hierarki parti di situ, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Puan Napisah Ismail, membentangkan program-program yang mahu dilaksanakan sayap parti itu. Beliau lantas memohon peruntukan daripada PAS Kawasan, dan secara spesifik meminta sumbangan peribadi daripada dermawan-dermawan, terutamanya Che Long.

Hamba Allah ini yang turut berada di dalam mesyuarat tersebut selaku Bendahari PAS Kawasan Besut tanpa teragak terus bertanya, “agak-agak berapa (RM) yang Muslimat perlukan?” Saya dimaklumkan kemudiannya, jumlah disumbangkan Che Long kepada Muslimat sangat besar, sekira-kira tidak perlu Dewan itu meminta sumbangan kewangan daripada pihak lain bagi menjayakan program tersebut. Setakat saya tahu, sumbangan itu dari poket peribadi Che Long, bukan dari akaun PAS Kawasan.

Jumlah masjid dan surau/musolla yang mendapat sumbangan pembinaan daripada poket Che Long juga sangat banyak. Seorang sahabat baik saya yang juga seorang guru selaku penggerak sebuah surau di Kampung Keluang (Dun Kota Putera) pernah memberitahu saya bahawa kebuntuannya mencari sumber kewangan menyiapkan surau yang baru dibina di qaryahnya beberapa tahun lalu akhirnya terlerai selepas perbualan ringkas dengan Che Long. Hanya dengan satu panggilan telefon, dia mendapat peruntukan “perkakas atas”, yakni atap dan segala struktur kekuda yang menampungnya.

Begitu juga dengan jumlah rumah kediaman golongan tidak bernasib baik yang diberikan bantuan berbagai alatan pembinaan. Dalam setiap kejadian bencana yang menimpa masyarakat di Besut, apabila perjalanan bantuan diambil menerusi saluran parti, pasti akan ada sumbangan peribadi daripada kontraktor berjaya ini. Paling tidak pun, jika parti menjanjikan pembiayaannya, Che Long tidak teragak mendahulukan perbelanjaan peribadinya untuk penyelesaian segera permasalahan rakyat.

Pendekata, jiwa menabur bakti dan tidak “kupid” menjadikan beliau sangat sesuai dijadikan tempat mengadu hal oleh masyarakat, terutama khalayak yang tidak bernasib baik. Tidak sia-sia Alah Ta’ala berterusan menganugerahkan rezeki kepadanya. Lebih tidak sia-sia Allah mengilhamkan kepada para pemimpin PAS untuk memilih insan mulia ini sebagai sandaran menakluki hati-hati para pengundi di Dun Kuala Besut, 24 Julai nanti.

Ertinya, kelebihan di pihak Che Long bukan sekadar faktor beliau anak jati Dun Kuala Besut. Beliau anak jati yang dekat dan berdampingan dengan permasalahan masyarakat. Semoga Allah membantu perjuangan ini dengan tampilnya seorang tokoh yang benar-benar “mudoh bbaso, senae kkiro” ini!

(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil. 1861, 6-9 Ramadhan 1434/15-18 Julai 2013 di ruangan 'F4 FOKUS PRK KUALA BESUT' dengan tajuk 'Che Long 'mudoh bbaso, senae kkiro')

No comments:

Post a Comment