Monday, July 1, 2013

Sultanul Ulama Izzuddin Abdus Salam

Oleh: MOHD NASIR AWANG


Muqoddimah
Nama sebenarnya ialah Abdul Aziz bin Abdissalam bin Abi Al-Qasim bin Hasan bin Muhammad bin Muhazzab. Beliau dilahirkan di Damsyik, Syria pada 577 Hijriah dan meninggal pada 660 Hijriah. Nama panggilannya Abu Muhammad. Manakala gelaran Izzuddin, atau singkatnya Al-Izzu, adalah kerana bersesuaian dengan trend semasa di zaman itu. Di mana para khalifah, raja, ulama mahu pun pegawai awam memakai gelaran-gelaran diri sebagai tambahan kepada nama asal masing-masing. Menjadi kegemaran mereka juga mengaitkan nama-nama gelaran itu dengan perkataan ‘ad-Din’, yang bermaksud agama (Islam).

Beliau juga terkenal dengan gelaran Sultanul Ulama, maksudnya ‘Raja Para Ulama’. Gelaran itu pertama kali diberikan muridnya, Ibnu Daqiq al-Id, di atas usaha kerasnya mengangkat kedudukan dan nama ulama, terutama di dalam mempertahankan hukum dan ajaran Islam.

Kerap berlaku para ulama teruji keilmuan dan keimanan mereka oleh perlakuan dan tindakan, serta keputusan diambil oleh para penguasa (hakim, sultan, pegawai pemerintah) yang menyimpang dari ajaran Islam. Usaha menegah dan menyanggah penguasa ini amatlah berat dan kerap gagal dilaksanakan, termasuk oleh para ulama.

Dalam keadaan itulah Izzuddin muncul mewakili para ulama menyuarakan kebenaran Islam. Dalam hampir kesemua pertembungan itu beliau berjaya menundukkan hujah dan pendirian penguasa-penguasa tersebut. Izzuddin berjaya mengangkat nama dan kedudukan para ulama, walau pun akibatnya beliau sendiri terpaksa berdepan pelbagai kelelahan dan kepayahan dalam hidup.

Pelaksana amar maaruf nahi mungkar
Beliau sangat dikenali sebagai seorang yang menjuarai pelaksanaan amar maaruf nahi mungkar di zamannya. Kebanyakan ulama yang dipetik menyuarakan kata sanjungan terhadap beliau tidak akan ketinggalan mengiktiraf jasa dan komitmen beliau yang tinggi terhadap amar maaruf nahi mungkar. Antara mereka ialah Adz-Dzahabi, Tajuddin As-Subki, Jalaluddin As-Suyuti, Fakhruddin Muhammad bin Syakir Al-Katabi dan Jalaluddin Al-Isnawi.

Kisah mengenai sikapnya yang tegas dalam menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran ini amat banyak dan masyhur. Salah satu kisah tersebut ialah apa yang diceritakan dari Ibnu As-Subki dari ayahnya, yang menerima periwayatan kisah itu dari Syaikh Al-Baji (murid Izzuddin).

Ceritanya, pada satu Hari Raya Al-Izzu pergi mengadap Sultan Mesir, Sultan Najmuddin Ayub di Qal’ah. Ada perbarisan hormat oleh para perajurit, manakala Sultan Najmuddin diiringi para pembesar dan pegawainya. Beliau keluar ke dewan istana lengkap berpakaian dipenuhi perhiasan, sepertimana adat para sultan. Sekalian yang hadir bersujud mencium tanah sebagai tanda hormat kepada beliau.

Syaikh Izzuddin sangat terganggu melihatkan perbuatan itu. Beliau lantas berteriak ke arah Sultan Najmuddin, “Wahai Ayub! Apa hujahmu di hadapan Allah ketika Dia berkata kepadamu, “Aku telah memberikan kerajaan Mesir kepadamu lalu kamu memperbolehkan penjualan arak!”

Beliau sengaja melontarkan persoalan arak, memandangkan hukum mengenainya sangat jelas dan tidak ada yang tidak tahu mengenai status haramnya. Sedangkan yang beliau mahu tegur ialah perbuatan bersujud hormat secara berlebihan oleh para pegawai terhadap sultan itu, yang juga haram hukumnya.

Sultan Najmuddin pura-pura terkejut. Beliau seolah-olah tidak tahu dan tidak menyangka ada penjualan arak di dalam pemerintahannya. “Apakah hal itu memang berlaku?”, soal beliau.

Melihatkan lakonannya itu, dengan suara yang keras Syaikh Izzuddin menjawab, “Ya, di kedai seorang perempuan telah dijual minuman keras, bahkan berlaku juga perkara-perkara mungkar lain, sedangkan kamu berseronok dan bermegah dengan segala kenikmatan ini!”

Sergahan Syaikh Izzuddin itu membuatkan para pembesar dan pegawai ketakutan dan diam membisu. Mereka mengandaikan sultan akan murka terhadap Al-Izzu. Sebaliknya, Sultan Najmuddin memberikan alasan bahawa penjualan arak itu sebenarnya sudah pun wujud sejak zaman pemerintahan ayahnya, bukan diluluskan oleh kerajaan beliau.

Mendengarkan hujah itu, Izzuddin terus menempelak Najmuddin. Katanya, “kamu ini samalah seperti orang yang disebutkan Allah di dalam al-Quran, “sesungguhnya kami mendapati bapa-bapa kami dulu menganut suatu agama (Az-Zukhruf:22)”. Justeru, kamu hanya mengikut apa yang telah dilakukan ayahmu, sekali pun ia perbuatan mungkar?”

Sergahan itu membuatkan Najmuddin mati hujah, lalu berjanji akan membasmi penjualan minuman haram itu.

Tatkala kembali kepada murid-muridnya, Izzuddin menjelaskan sikap kerasnya terhadap sultan itu. Katanya, “aku telah melihat ia terlalu berbangga dengan kebesaran dimilikinya. Lalu aku merasakan bertanggungjawab membuatnya menjadi hina supaya dia tidak terus sombong, kerana kesombongan itu akan membinasakannya.”

Mengenai sikapnya ini, Syaikh Jalaluddin Al-Isnawi mencatatkan, “Syaikh Izzuddin, semoga Allah menyayanginya, adalah orang yang menganggap rendah para raja dan orang-orang yang menghambakan diri padanya, serta bersikap keras terhadap mereka.”

Sanjungan ulama terhadap ilmunya
Syaikh Tajuddin as-Subki mengatakan, “Al-Izzu adalah syaikh Islam dan muslimin, salah satu imam terkemuka, raja para ulama, imam pada masanya yang tiada bandingannya. Beliau orang yang mengetahui hakikat, rahsia dan tujuan syariat.”

Sanjungan serupa diberikan oleh Jalaluddin As-Suyuti. Beliau menyifatkan Izzuddin sebagai “raja para ulama yang mengambil ilmu usul, mendengar hadith, pandai dalam ilmu fiqh dan bahasa Arab."

Izzuddin Al-Husaini pula menyebutkan, “beliau adalah tokoh tempat tertumpu ilmu pada masanya. Padanya terkumpul banyak disiplin ilmu. Beliau seorang yang teguh dalam agama, walau pun mempunyai watak yang tidak suka berlebih-lebihan.”

Fakhruddin Muhammad bin Syakir Al-Katabi turut menyanjunginya. Katanya, “Syaikh Izzuddin adalah tokoh para tokoh, mendengar hadith, belajar fiqh, mengajar dan memberi fatwa, menguasai mazhab, mencapai darjat mujtahid, ditujui para siswa dari berbagai negeri dan melahirkan ramai imam. Seorang yang kuat beribadat, warak dan mempunyai fatwa-fatwa yang bagus.”

Menguasai ilmu mazhab
Beliau turut diiktiraf sebagai seorang yang menguasai ilmu mazhab. Kata Imam Ibnu Katsir, “Al-Izzu adalah maha guru mazhab.”  Adz-Dzahabi pula mengatakan, “Al-Izzu telah mencapai darjat mujtahid dan kepadanyalah berhenti kepemimpinan mazhab.”

Menurut Jalaluddin As-Suyuti pula, pada akhir hidupnya, Izzuddin tidak terikat dengan mazhab. Ia telah melintasi mazhab dan memberikan fatwa sesuai dengan ijtihadnya sendiri.

Penghilang bidaah
Salah seorang muridnya, Syaikh Syihabuddin Abu Syamah mengatakan, “dia telah menghilangkan banyak bidaah yang dilakukan oleh para khatib, seumpama mengetuk pedang pada mimbar. Ia juga telah menganggap batil dan mencegah solat Raghaib dan majlis sambutan Nisfu Syaaban.”

Guru dan Muridnya
Di antara gurunya yang utama ialah Syaikh Fahkruddin bin Asakir, Syaikh Saifuddin Al-Amidi, Al-Hafiz Abu Muhammad Al-Qasim bin Al-Hafiz Al-Kabir Abu Al-Qasim bin Asakir, Abdullatif bin Ismail bin Abi Saad Al-Baghdadi dan Al-Qadhi Abdussamad bin Muhammad Al-Harastani.

Manakala sebilangan muridnya yang masyhur ialah Ibnu Daqiq Al-Id, Imam Alaudin Abu Al-Hassan Al-Baji, Al-Hafiz Abu Muhammad Ad-Dimyati, Syaikh Tajuddin bin Al-Faikarah
Abu Muhammad Hibatullah Al-Qifthi dan lain-lain.

Karya-karyanya
Sebagaimana telah disebutkan, Syaikh Izzuddin memang menghasilkan banyak karya yang bagus. Antaranya yang termasyhur ialah Al-Qawa’id Al-Kubra, Majaz Al-Quran, Syajarah Al-Maarif, Al-Ghayah fi Ikhtisar an-Nihayah, Mukhtasar Shahih Muslim, Al-Imam fi Adillah Al-Ahkam, Al-Fatawa Al-Maushuliyah dan al-Farq Baina Al-Iman wa Al-Mihan.

Meninggal dunia
Al-Hafiz Ad-Dimyati mengatakan Syaikh Izzuddin Abdissalam meninggal pada 9 Jamadil Awal tahun 660 Hijriah. Jenazahnya dimakamkan di Al-Qurafah, Kaherah dengan penghormatan diraja. Dikatakan Raja Mesir, Zahir Baibras ikut menyalati jenazah beliau, disertai ribuan ulama, para pembesar negara, pegawai kerajaan dan orang awam.

Semoga Allah memberikan rahmat yang luas kepada Syaikh Izzuddin dan memasukkannya dan kita semua ke dalam syurga-Nya yang tinggi.

Rujukan: Syaikh Ahmad Farid, 60 Biografi Ulama Salaf, Pustaka Al-Al-Kautsar, Jakarta Timur, 2005.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' as-Sunnah, edisi 15 (Julai 2013) di kolum 'ULAMA PEWARIS NABI' dengan tajuk sama)


No comments:

Post a Comment