Oleh: MAT ZAIN MAT ISA
ADA benarnya kata orang-orang tua kita, “anjing kalau
sudah biasa makan tahi, tak makan pun diciumnya juga”. Peribahasa ini diungkap
bagi menggambarkan perihal sikap atau tabiat seseorang yang gemar dan terbiasa
melakukan sesuatu kerja jahat. Dia seakan ketagih melakukannya lagi dan lagi,
sehinggakan biar pun sudah bertekad tidak mahu mengulangi perbuatan jahat itu,
dia akan tetap “terliur’ juga melakukannya.
Maaf cakap, bukan mahu mengumpamakan Umno/BN dengan
binatang yang tidak sedap disebut itu. Bukan juga mahu membandingkan perlakuan
mana-mana pendukung parti itu dengan tabiat buruk haiwan yang suka menyalak
itu. Kalau lah orang-orang tua kita dulu menggunakan binatang lain atau objek
lain yang lebih ‘elok’ dalam peribahasa itu, sudah tentu kita pun lebih selesa
menggunakan ibarat yang lebih baik.
Namun, tamsil ibarat dicipta orang-orang tua itu
sebetulnya bertujuan meninggalkan pengajaran kepada generasi cucu-cicit mereka.
Kebetulan pula dalam pemerhatian terhadap persekitaran hidup di zaman mereka,
barangkali anjing adalah binatang paling mudah ditemui dan diperhatikan
gelagatnya. Lalu mereka ciptakan peribahasa menggunakan binatang itu.
Maka dalam konteks perbincangan tulisan ini, moga apabila
disebut perkataan anjing itu, anggaplah ia sekadar mengambil pengajaran
daripada kata orang-orang tua itu, dan bukannya bermaksud menghina atau
mempersenda mana-mana pihak yang diibaratkan itu.
Kebetulannya, perkembangan kempen di Pilihan Raya Kecil
Dun Kuala Besut, Terengganu yang semakin rancak kini menzahirkan suasana yang
agak menepati peribahasa disebutkan itu. Bahawa anjing yang sudah bertabiat
memakan tahi, walau pun sudah tidak mahu ‘membaham’ benda alah itu, tetap juga
terliurkannya. Lalu ‘mengambil bau’nya pun mahu dibuat juga.
Itulah persis apa yang dapat disimpulkan berlaku terhadap
kaedah kempen oleh Barisan Nasional (BN) kini. Walau pun calon parti itu dalam
kenyataan disiarkan media pada hari-hari terawal kempen menyatakan akan
melaksanakan kempen secara berhemah dan tidak akan melalukan serangan peribadi
terhadap calon parti lawannya, prinsip itu nampaknya gagal dipertahankan
partinya. Sikap dan pendirian serupa gagal diraikan para pemimpin dan pendukung
BN lain.
Calon BN sendiri barangkali boleh mendakwa dia tidak
langsung menyentuh peribadi calon PAS. Memang setakat ini beliau tidak komen
apa-apa yang buruk atau negatif terhadap Azlan@ Endut Yusof, tetapi apakah
beliau tidak sedar ‘anak-anak buahnya’ (jentera kempen BN) sedang
menyempurnakan agenda jahat itu?
BN seakan tidak mahu bertangguh menyelongkar fakta-fakta
yang disifatkan kelemahan peribadi calon PAS, yang lebih dikenali sebagai Che
Long itu. Sebaik sahaja selesai penamaan calon pada Jumaat lalu, satu demi satu
hal-hal peribadinya cuba dijadikan isu.
Antara yang paling awal dibangkitkan ialah soal taraf
pendidikan. BN merasakan suatu modal besar baginya apabila calon
diketengahkannya seorang lulusan universiti dan bertaraf profesional (jurutera).
Sedangkan calon PAS hanya seorang kontraktor lulusan SPM.
Bahkan, dalam menjelaskan perbandingan taraf pendidikan
kedua mereka itu, para penjuak BN seakan tidak dapat mengawal keceluparan mulut
mereka walau pun berada di bulan puasa. Terkeluar dari mulut mereka
ungkapan-ungkapan yang tidak selayaknya berkaitan peribadi calon lawan. Che
Long bukan sekadar dibuktikan hanya lulusan SPM, malah disifatkan “bodoh” dan
“calon low class” (yakni sangat tidak
layak diperbandingkan dengan calon BN).
Bagi kita yang berfikir secara lebih rasional, hujah ini
sebetulnya tidak patut dilontarkan BN. Ia bukan sahaja menampakkan tabiat keji
parti itu yang tergamak menyerang peribadi lawan, bahkan isu ini berpotensi
memakan diri BN sendiri.
Pertama, sebegitu ramai calon diketengahkan BN sendiri
lewat Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang baru berlalu itu dari kalangan lulusan
SPM dan lebih rendah. Tidak usah pergi jauh, mereka hanya perlu melangkah ke
seberang Sungai Besut itu, ke Dun sebelah. Sepatutnya sebelum diremehkan Che
Long sebagai hanya lulusan SPM, para penjuak BN wajar bertanya apakah Adun BN
Kota Putera itu lulusan universiti?
Bahkan, hangat diperkatakan umum di Terengganu sendiri,
bagaimana salah seorang Adun yang dilantik menganggotai Exco Negeri adalah
lulusan SRP (Sjili Rendah Pelajaran), yakni peperiksaan awam Tingkatan Tiga
sahaja. Jika benar dakwaan ini, maka di mana rasionalnya BN perlekeh calon PAS
sebagai ‘hanya lulusan SPM’?
Kedua, BN sebenarnya sukar menafikan kebolehan luar biasa
calon PAS menguruskan perniagaan. Penulis melihat kejayaan Che Long muncul
sebagai kontraktor berwibawa, sehingga dipercayai pihak kerajaan sendiri untuk
menguruskan projek-projek besar, adalah suatu hakikat yang sangat menyakitkan
hati para penjuak BN.
Mereka sebenarnya ‘mati hujah’ untuk mencari kelemahan
calon PAS itu dalam melaksana dan menyempurnakan kerjanya secara cemerlang.
Dari sudut kesempurnaan pelaksanaan projek yang diberikan, reputasi Che Long
sangat membanggakan dan diakui semua pihak. Bak kata orang Besut, ‘tokleh nok tek’. Ertinya, tidak boleh
dicari walau pun satu kelemahan atau kecacatan.
Ketiga, BN sebenarnya sangat terpukul dengan hakikat
kemesraan Che Long dengan masyarakat setempat berbanding calon BN sendiri.
Terbukti taraf pendidikan dan sifat kerja kedua-dua menghasilkan perbezaan
sangat jauh dalam keupayaan masing-masing bergelumang dengan orang kampung.
BN kini berdepan masalah agak sukar dan masa agak suntuk
untuk memperbaiki imej elitis dan kepegawaian dimiliki calonnya. Dalam konteks
masyarakat Kuala Besut yang rata-rata sebagai nelayan, petani, pekebun dan
buruh kasar, seorang berkeperibadian seperti calon PAS itu jauh lebih disenangi
berbanding calon BN yang hidup secara eksklusif itu.
Isu Che Long bekas ahli Umno yang dipecat juga
diungkitkan semula. Isu ini sebenarnya bukanlah suatu hujah yang cerdik dari
pemimpin BN. Pertama, apabila kita tonjolkan seseorang yang lawan kita itu
asalnya daripada kumpulan kita, bererti kita mendedahkan pekung di dada. Tentu
ada sesuatu yang tidak baik di pihak kita sehinggakan orang yang elok-elok
berada di bawah atap kita berhijrah ke kem lawan. Dalam ertikata lain,
penghijrahan Che Long daripada Umno kepada PAS boleh ditafsirkan sebagai lari
daripada kebobrokan, kepada kumpulan yang lebih baik.
Kedua, isu penghijrahan ini juga bukan lagi suatu yang
asing atau luar biasa dalam politik Malaysia. Di pentas PAS sendiri buat masa
ini terdapat ramai penceramah dari kalangan bekas pemimpin tertinggi Umno.
Antara mereka ialah Dato’ Seri Kadir Sheikh Fadzir, Tan Sri Muhammad Muhd Taib,
Dato’ Tamrin Ghafar, yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi siapa mereka
sewaktu di dalam Umno dulu.
Justeru, lagak BN menjadikan isu-isu peribadi calon PAS
itu menggambarkan betapa parti itu sebenarnya telah bankrap isu untuk berdepan
sosok yang sangat mencabar keegoan parti pemerintah itu.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil:1862, 10-12 Ramadhan 1434/19-21 Julai 2013 di ruangan FOKUS PRK KUALA BESUT F15 dengan tajuk 'BN serang peribadi calon PAS')
No comments:
Post a Comment