Oleh: MAT ZAIN MAT ISA
SEMAKIN sukar untuk dinafikan bahawa setiap keputusan dan
tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cenderung mengambilkira
kepentingan Barisan Nasional (BN) selaku kerajaan. Pemilihan hari dan tarikh
bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut,
Terengganu, sepertimana diumumkannya 5 Julai lalu, seakan mengukuhkan persepsi
selama ini bahawa suruhanjaya itu sebenarnya berhasrat memberi keuntungan
politik kepada parti pemerintah itu.
SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK
tersebut ialah pada Jumaat, 12 Julai. Manakala hari pembuangan undi ialah pada
24 Julai nanti. Penetapan itu mengundang rasa tidak senang khalayak umum, terutamanya
para pendukung pakatan pembangkang. Bukan semata-mata mahu membangkang apa jua
yang dibuat pihak kerajaan, tetapi hujah dan pertikaian mereka agak munasabah.
Ia bukan kerana angka-angka pada tarikh tersebut, tetapi lebih kerana tempoh
itu jatuh di bulan Ramadhan al-Mubarak.
Ramadhan adalah bulan bagi umat Islam menunaikan ibadat
puasa. Sinonim dengan bulan penuh keberkatan itu juga umat Islam akan
menyemarakkan kehadirannya dengan pelbagai ibadat lain, di sebelah siang mahu
pun malamnya. Jadual umat Islam sepanjang Ramadhan selalunya sangat padat
dengan ibadat-ibadat khusus, seperti bertadarus al-Quran, berzikir,
beristighfar, bertarawih, qiyamullail dan seumpamanya.
Fokus ibadat itu tidak sepatutnya dialihkan kepada
aktiviti politik. Namun, dalam kes di Kuala Besut ini, keadaan itu sudah tidak
dapat dielakkan. Kesengajaan SPR memilih tarikh-tarikh tersebut untuk PRK ini
agak mendukacitakan. Seolah-olah sudah tidak ada tarikh lain lebih sesuai dalam
kalendar tahunan badan tersebut. Seolah-olah juga SPR tidak mengambilkira
kepentingan memanfaatkan bulan Ramadhan untuk ibadat-ibadat khusus tadi.
Sedangkan, berdasarkan tarikh kematian bekas Adun Kuala
Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar dan tarikh pewartaan kekosongan kerusi Dun
berkenaan oleh SPR sendiri, badan itu ada masa sehingga akhir Ogos untuk
menyelesaikan proses mengisi kekosongan tersebut.
Sebab itu banyak pihak sebelum ini menjangkakan PRK Kuala
Besut akan diadakan sejurus selepas umat Islam menyambut Idul Fitri, yang
dijangka jatuh pada 8 & 9 Ogos nanti. SPR ada hampir tiga minggu untuk
adakan pilihan raya selepas itu. Justeru, mengapa dipilih bulan puasa?
Lebih dipersoalkan ialah penetapan hari penamaan calon
dan pembuangan undi, masing-masing pada Jumaat dan Rabu. Dalam konteks Kuala
Besut (Terengganu), Jumaat adalah hari cuti mingguan. Menjadi tradisi
masyarakat di sana untuk tidak mengisi hari itu dengan program besar, melainkan
program-program yang menjuruskan kepada persediaan menghayati hari Jumaat
sebagai penghulu segala hari. Justeru, mengapa SPR pilih hari Jumaat?
Hari Rabu pula merupakan hari bekerja, sama ada untuk
penjawat di sektor awam mahu pun swasta. Sedangkan pada kebiasaannya proses
pembuangan undi diadakan pada hari cuti umum atau cuti mingguan. Ia bukan
sahaja akan melibatkan penutupan beberapa sekolah yang bakal dijadikan pusat
pembuangan undi, malah turut membabitkan proses pelepasan kerja sebahagian
pengundi daripada majikan masing-masing.
Tidak syak lagi kesengajaan SPR memilih tarikh-tarikh
tersebut mengundang penilaian negatif, khususnya daripada pihak pembangkang
yang dirasakan bakal menerima beberapa kesulitan dalam menjayakan kempen
mereka.
Pertama, nadi utama kempen PAS ialah ceramah, sama ada
umum atau kelompok. Masa diadakan ceramah selalunya di waktu malam. Dalam
keadaan umat Islam memfokuskan ibadat-ibadat khusus, pelaksanaan kempen melalui
ceramah agak sukar dioptimumkan keberkesanannya.
Gambaran awal telah pun dapat dilihat pada malam
perisytiharan calon pada 9 Julai lalu. Ia merupakan malam pertama umat Islam
menunaikan solat tarawih, apabila keesokannya akan bermula ibadat puasa. Majlis
tersebut hanya dapat dimulakan selepas jam 10 malam. Itu pun agak awal, kerana
kehadiran amat memuaskan.
Tarikan utama majlis itu ialah keghairahan setiap hadirin
mengetahui siapa calon yang bakal mewakili PAS dan Pakatan Rakyat menentang BN.
Dapat dibayangkan nanti untuk ceramah biasa, apabila keghairahan hadirin tidak
lagi sama seperti malam itu. Justeru, PAS perlu bersedia menerima hakikat
sambutan untuk ceramah-ceramah kempennya kemungkinan di tahap kurang memuaskan.
Sedangkan di pihak BN, ia tidak memerlukan penganjuran
majlis ceramah untuk memaut sokongan pengundi kepada parti itu. Bn malah tidak
pernah pun menjadikan pentas ceramah sebagai nadi utama kempennya. Sebaliknya,
ia tidak pernah rasa bersalah memanipulasi kuasanya sebagai kerajaan memaksa
seluruh jabatan dan agensi di bawahnya mengadakan pelbagai program, siang atau
malam. Para pengundi dilibatkan dan dipaut hadir ke majlis kempen BN dengan
berbagai umpan - pemberian bantuan, sumbangan dan segala macam taburan
kebendaan.
Kedua, pengundi luar yang sudah semakin tidak dipercayai
BN mungkin tidak sempat pulang menunaikan tanggungjawab mereka. Pengalamannya
dalam dua pilihan raya umum terkemudian (2008 dan 2013) menyebabkan BN
dikatakan’serik’ membiayai kepulangan pengundi luar. Kebanyakan mereka, di usia
muda dan tinggal/bekerja di bandar-bandar besar seluruh negara, tidak lagi
cenderung memilih BN. Kehidupan di bandar mendedahkan mereka kepada maklumat tentang
apa jua perkembangan dari sumber yang pelbagai. Ia sekaligus membentuk
kesedaran politik lebih terbuka. Lalu, mereka pulang dengan biaya BN tetapi
tidak memangkah calon-calon BN.
Pemilihan tarikh mengundi dalam tempoh dua minggu sebelum
hari raya bagaimana pun dijangka menyulitkan kepulangan mereka untuk menunaikan
tanggungjawab demokrasi itu. Mereka dilanda dilema, terutama kalangan yang
berpendapatan tidak seberapa, untuk memilih antara pulang untuk pilihan raya
atau hari raya. Sedangkan untuk pulang dua kali dalam satu bulan adalah satu
yang hampir mustahil bagi kebanyakan anak muda ini. Maka, tidak pulangnya
mereka ini, yang dikatakan akan terkesan lebih teruk ialah PAS berbanding BN.
Ketiga, kehadiran jentera pembantu dari negeri-negeri
lain di seluruh negara, begitu juga kawasan-kawasan lain dari seluruh
Terengganu juga dijangka tidak semaksima mungkin. Bahkan, sudah kedengaran ada
negeri yang sebelum ini berura-ura akan turun dengan sekian ramai petugas,
sudah mengkaji semula jumlah petugas yang akan dihantar ke Kuala Besut,
mengambilkira faktor bulan puasa. Dikatakan ramai petugas yang pada awalnya
menyatakan kesediaan untuk turun berkempen, kemudiannya menarik diri apabila
tarikh PRK diumumkan.
Tiga implikasi besar itu jelas sekali menjadi cabaran
buat PAS, tidak buat BN. Kesulitan yang timbul itu seolah-olah sengaja
dirancang untuk ‘membantutkan’ kelancaran gerakerja kempen parti yang nyaris
merampas semula Terengganu itu.
(Artikel ini adalah versi asal (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil. 1861, 6-9 Ramadhan 1434/15-18 Julai 2013 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dengan tajuk serupa)
No comments:
Post a Comment