Oleh: Mat Zain
Mat Isa
Ada benarnya
penilaian Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, bahawa kesediaan PAS mengetengahkan calon
dari kalangan aktivis muslimatnya adalah bukti keterbukaan parti itu menerima
perubahan, selain peka dengan perkembangan dan tuntutan politik semasa.
Bahawa dalam
memenuhi tuntutan era moden kini PAS tentu sekali tidak mahu dilihat sebagai parti
kampungan yang jumud atau bersikap “tertutup” daripada menerima perubahan,
sehingga tidak menampakkan kesediaan beranjak dari keadaan sedia ada.
Secara positif
Yang Dipertua PAS Kawasan Besut itu menganggap sebarang keputusan yang diambil
kepimpinan parti dalam menentukan siapakah calon yang bakal dipertaruhkan di
mana-mana kerusi sudah tentu mengambil kira berbagai aspek, terutama potensi
untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya.
“Dalam berdepan musuh (di dalam pilihan raya), kita tentunya mahu
menawarkan (calon) yang terbaik, dalam ertikata yang paling berpotensi untuk mencapai
kemenangan. Maka, sama ada calon itu dari kalangan muslimat atau muslimin,
sudah tentu kepimpinan parti sudah menilainya sebaik mungkin sebelum buat
keputusan”, ujarnya ketika dihubungi penulis.
Beliau diminta mengulas desas-desus yang agak hangat diperbualkan mutakhir
ini bahawa kemungkinan akan ada calon dari kalangan muslimat di negeri itu
dalam pilihan raya umum akan datang. Cakap-cakap mengenainya bukan sekadar
berlegar di kalangan para pendukung bawahan PAS, bahkan turut kedengaran di
kalangan kepimpinan parti, termasuk kepimpinan tertinggi PAS Terengganu.
Dalam Harakah edisi 17 Ogos,
penulis sempat merakamkan cakap-cakap itu sepintas lalu. Turut dipetik ialah
pengakuan daripada seorang penggerak utama Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN),
sebuah unit organisasi PAS negeri yang paling bertanggungjawab berhubung
persiapan menghadapi pilihan raya. Tidak syak lagi jabatan itu antara pihak
paling layak dipercayai mengenai sebarang perkembangan terkini dalam parti,
termasuk dalam bab percaturan calon.
Sumber berkenaan secara ikhlas mengakui bahawa desakan memang ada, terutama
dari Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) agar Terengganu turut mengemukakan calon
muslimat pada pilihan raya umum nanti. Bagaimana pun, ia bukan suatu yang mudah
untuk diaplikasikan di negeri itu. Katanya, PAS negeri terpaksa mengambilkira
berbagai perkara, termasuk sentimen dan persepsi masyarakat umum berkaitan
calon muslimat.
Perkara itu turut diakui Bendahari Badan Perhubungan PAS Terengganu, Cikgu
Haji Sukrimun Shamsuddin, ketika dihubungi penulis, Isnin lalu.
“Muslimat Pusat (DMPP) memang pada dasarnya desak ada calon muslimat, di
setiap negeri, termasuk lah Terengganu. Tetapi maaf cakap, yang sebenarnya
tidak ada dalam kepala pimpinan PAS Terengganu untuk letak calon muslimat ni”,
akui beliau dengan tegas.
Menurutnya, perkara paling diambilkira kepimpinan negeri ialah persepsi
masyarakat awam Terengganu yang agak sensitif dengan penampilan muslimat
sebagai ketua.
“Bila (ada ura-ura) nak letak calon muslimat, awal-awal lagi orang persoal,
“amboi (dah) takdak orang laki (ke)?”. Soalan ni sangat sensitif, dan soalan ni
tak timbul bila calon tu lelaki. Maka kita lebih selesa pilih calon yang tak jadi
bahan persoalan orang awal-awal lagi”, sambung Cikgu Sukrimun lagi.
Ya, memang ada munasabahnya pendirian dibuat sebegitu. Apatah lagi matlamat
besar menyertai mana-mana pilihan raya tentulah dengan hasrat mencapai
kemenangan. Dalam konteks ini, faktor penerimaan masyarakat terhadap seseorang
calon memainkan peranan amat besar. Maka, sudah tentu mana-mana parti pun akan
memilih individu terbaik sebagai calon, yang paling tidak bermasalah atau yang
paling tidak menjadi rungutan dan persoalan orang.
Lebih dibimbangi apabila rungutan itu bukan hanya kedengaran dari kalangan pengundi,
malah datang dari khalayak ahli dan penyokong PAS sendiri. Sedangkan mereka
itulah yang diharapkan menjadi pendukung menjayakan segala gerakerja pilihan
raya nanti.
Pun begitu, pendirian itu bukanlah suatu yang muktamad. Kepimpinan PAS,
katanya, senantiasa menghayati disiplin di dalam berjamaah. Maka, soal
kepatuhan kepada sebarang keputusan pihak lebih atas adalah suatu yang tidak
perlu dipersoalkan.
Sehubungan itu, katanya, PAS Terengganu tidak akan menolak sekiranya pucuk
pimpinan memutuskan agar negeri itu turut menampilkan calon muslimatnya.
Bahkan, pihaknya telah pun menetapkan beberapa prasyarat yang mengambilkira dan
mempertimbangkan berbagai aspek.
“Pertama, calon muslimat hanya diletakkan jika sudah tidak ada orang lelaki
untuk jadi calon. Kedua, ada calon lelaki, tetapi timbul masalah lain yang
sukar diselesaikan. Maka jika dengan letak calon muslimat ni boleh selesai
masalah tu, kita terima”, Cikgu Sukrimun menjelaskan lagi.
Dalam ertikata
lain, penulis dapat menyimpulkan bahawa kehadiran calon muslimat di Terengganu
bukanlah suatu perkembangan yang dialu-alukan. PAS Terengganu akan hanya menerima
cadangan mengetengahkan calon muslimatnya sekiranya keadaan benar-benar memaksa.
“Dah habis takdah
arah, maka dengan segala “keberatan” kita terpaksa terima”, ujar Cikgu
Sukrimun, menutup bicara.
Kata-kata itu
membuatkan penulis terfikir, barangkali inilah maksud “kepimpinan parti sudah
menilainya sebaik mungkin sebelum buat keputusan” yang disebutkan Ustaz Wan
Azhar tadi.
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1771, 31 Ogos 2012 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment