Ada beberapa kemungkinan
yang dapat disenaraikan ekoran kesungguhan segelintir khalayak bergelar ulama
muda di dalam Umno mahu menubuhkan apa yang dinamakan mereka sebagai majlis
ulama parti itu. Keghairahan mereka dilihat tercetus ekoran kenyataan terdesak
wakil mereka yang diasak Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dalam sessi debat khas
anjuran sebuah akhbar harian baru-baru ini.
Dalam pertembungan hujah
yang turut disiarkan saluran tv berbayar itu, pendebat Umno itu jelas cuba
membuktikan bahawa partinya juga mahukan Islam dan memberi ruang kepada para
ilmuan agama berperanan di dalamnya. Lalu beliau cuba menggambarkan kononnya
majlis ulama parti dicadangkannya itu adalah sebagai komponen penting bagi
memperkukuhkan Umno.
Oleh kerana lontaran itu
dibuat pada majlis yang menjadi tumpuan khalayak politik, ia segera mengundang
reaksi dan pandangan balas pelbagai pihak. Banyak yang mengalu-alukan cadangan
tersebut dengan berbagai raisonal dan andaian positif. Mereka berhasrat
melihatnya direalisasikan suatu hari nanti.
Bagaimana pun, menilai
reaksi agak hambar dan persepsi sedikit serong dari kalangan pemimpin tertinggi
Umno, cadangan itu rasanya tidak akan menjadi kenyataan dan bakal tinggal
sekadar impian. Sebaliknya, sekiranya parti itu kelak bersetuju mewujudkan
sayap ulamanya, ia mendorong kita memikirkan berbagai persoalan untuk mencari
kewajaran apakah tujuan sebenar Umno berbuat demikian.
Seperti yang agak ketara
terpamer pada hujah dan persembahan pendebat Umno itu, maksud asal cadangan
tadi antara lain bagi memperkukuhkan lagi dakwaannya bahawa Umno juga mahukan
Islam. Bahkan, kita masih ingat itulah hujah diberikan jurucakap sekumpulan ulama muda itu ketika menyerahkan borang keahlian Umno kepada presiden
parti, Dato’ Seri Najib Razak, 25 Jun 2010 lalu.
Menurut jurucakap kumpulan itu, penyertaan mereka bukan berlandaskan
politik, tetapi lebih didorong sikap optimis terhadap ruang-ruang disediakan
Umno untuk mereka menyemarakkan lagi usaha-usaha keagamaan dalam parti sekular
itu.
Soalnya, jika tujuannya
sekadar mahu membuktikan kepada dunia, khususnya kepada masyarakat Islam negara
ini, bahawa Umno juga mahukan Islam dan bersungguh menghargai letak duduk ulama
dalam perjuangan politiknya, apakah peranan bakal diberikan kepada sayap itu
cukup penting dan kuasanya agak besar sehingga mampu menentukan prinsip dan
halatuju parti, sepertimana yang kini dilembagakan di dalam PAS?
Dalam ertikata lain,
apakah mudah bagi sebuah parti sekular seperti Umno untuk memberi laluan dan
ruang kepada khalayak agamawan mencorakkan perjalanannya? Maaf cakap, ia kedengaran agak
‘sumbang’ dan tidak munasabah.
Dalam hal ini, reaksi
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan agak berterus-terang.
Bagi penulis, apa yang diperkatakannya adalah tipikal sikap dan pendirian
khalayak umum dalam Umno terhadap peranan institusi ulama dalam politik.
Orang boleh bahaskan
bahawa apa disuarakannya itu tidak semestinya menggambarkan pandangan semua
pihak dalam Umno. Ya, kita pun sedia mengakui hakikat itu. Namun, jika mahu
diambil segala pandangan yang berbeza dari kalangan pendukung Umno berhubung
keperluan parti itu mewujudkan sayap ulamanya, maka pendirian yang ditegaskan
Mohamad itu adalah paling tepat dikatakan melambangkan pandangan paling popular
di kalangan pemimpin Umno.
“Ini soal agama,
janganlah berparti sangat... Islam yang kita amalkan ini membantu dalam
mentadbir negara, bukan Islam yang kita uar-uarkan bagi mentadbir parti
politik,” katanya, sebagaimana dipetik akhbar harian penganjur debat tadi,
edisi 27 Julai.
Beliau dengan tegas
tidak bersetuju diwujudkan majlis ulama di dalam Umno. Sebaliknya, mencadangkan
penubuhannya di peringkat negara.
Kenyataannya itu boleh
ditafsirkan sebagai menolak campurtangan agama dalam politik. Dan, kita percaya
fahaman ‘politik suku, agama suku’ ini memang bersarang kukuh di dalam jiwa
para pemimpin Umno keseluruhannya. Maka, dapat kita fahami bahawa Umno belum
bersedia mengambil agama sebagai panduan perjalanan politiknya. Justeru, apa
perlunya parti itu mewujudkan majlis ulama sebagai komponen pentingnya?
Di kalangan yang
menyahut cadangan tadi ada juga yang menganggapnya sebagai tepat pada masa bagi
Umno mewujudkan sayap ulamanya. Mereka malah mengimbau sejarah awal penubuhan
Umno dulu yang katanya memiliki sayap ulamanya. Bahkan sayap itulah yang
dikatakan akhirnya melahirkan PAS.
Soalnya, jika sekadar
mahu membawa rakyat kembali mengingati sejarah parti itu yang suatu ketika dulu
pernah mempunyai sayap ulama sebagai komponen penting parti, apakah imbauan
sejarah silam itu tidak akan menemukan kita dengan sebab-musabab kenapa
akhirnya khalayak agamawan itu bertindak meninggalkan Umno?
Tidakkah dengan
tersingkapnya kembali catatan sejarah itu akan lebih membuka ‘pekung di dada’
Umno di kalangan pencinta Islam? Lagi pun, adakah semata-mata dengan menggamit
nostalgia Umno bersama sayap ulamanya dulu itu mampu menaikkan imej Islam pada
batang tubuh Umno, sekaligus menudung segala kebobrokan dibuat parti itu selama
puluhan tahun kemudiannya terhadap perkembangan Islam dalam negara?
Lalu, satu-satunya hujah
atau rasional yang masih tinggal untuk justifikasi penubuhan majlis ulama Umno
ialah bagi menjadi alat parti itu dalam isu-isu berkaitan agama. Lebih-lebih
lagi, sepertimana dimaklumi bahawa musuh utama Umno dalam mempertahankan undi
masyarakat Melayu-Islam ialah PAS.
Sebagai sebuah parti
didukung pencinta Islam dan ditegakkan di atas prinsip Islam, PAS dilihat
senantiasa di hadapan dalam isu-isu berkaitan agama berbanding Umno. Maka, mahu
tidak mahu Umno perlu memberikan ruang kepada golongan ulama, agar mudah ia
membentuk ‘perisai’ menangkis serangan parti lawannya itu.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang (belum dipotong) kepada versi disiarkan akhbar Harakah Bil: 1765, 3 Ogos 2012 di ruangan 'F14 KOLUMNIS' dengan tajuk serupa)
No comments:
Post a Comment