Saturday, August 4, 2012

Jangan letak calon tak dialukan pengundi


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Artikel penulis disiarkan Harakah minggu lalu berjudul “Semua kerusi di Besut ada potensi menang?” mengundang reaksi bercampur-campur daripada para pembaca. Sebahagian reaksi itu didatangkan terus kepada penulis sendiri, dan sebahagian lagi disampaikan melalui beberapa teman, khususnya di Besut.

Meski pun reaksi mereka agak pelbagai, sebilangan besarnya lebih cenderung mempertikaikan beberapa andaian dilontarkan dalam tulisan tersebut. Kebanyakan mereka bersetuju dengan penilaian asal (senarai keutamaan berdasarkan majoriti kemenangan/kekalahan dalam pilihanraya lalu), bahawa dua kerusi terkuat dan paling berpotensi bagi PAS di kawasan Parlimen Besut ialah Kuala Besut dan Hulu Besut.

Lalu ada yang mempertikaikan, bagaimana mungkin Jertih boleh diletakkan sebagai Dewan Undangan Negeri (Dun) sasaran berbanding Kuala Besut (sepertimana ditegaskan Setiausaha Kawasan Besut, Paksu Aminuddin Muhammad Ali). Mereka berhujah, dan turut meminjam hujah yang pernah dilontarkan penulis sebelum ini, bahawa kekuatan Umno Terengganu pada suatu ketika adalah berpusat di Besut. Manakala kata mereka, Umno paling kuat di Besut ini pula ialah di Dun Jertih.

Ente juga yang sebut kan... bahawa ‘kepala-kepala pengat’ Umno Terengganu majoritinya berada di Besut? Takkan ente tak tahu, “lubuk” bagi ‘kepala-kepala pengat’ tu ialah Dun Jertih?”, terjah seorang rakan, seraya merujuk coretan penulis pada Harakah, edisi 23 Julai lalu.

Di situlah katanya berkumpul “bapak’bapak” Umno Besut, sama ada dari sudut kepimpinan peringkat bahagian mahu pun kepala-kepala gedebenya. Justeru, mereka agak sangsi bagaimana mungkin peluang untuk PAS menang di Jertih lebih cerah berbanding Kuala Besut. Apatah lagi jumlah majoriti kekalahan PAS di situ (Jertih) juga antara yang terbesar di kawasan itu.

Namun, yang paling dipertikaikan pembaca ialah teori kononnya Dun Kota Putera juga mampu ditawan. Apatah lagi apabila penulis yang bertanggungjawab melontarkan sasaran itu turut menyebut bahawa peluang untuk itu lebih cerah berbanding Kuala Besut mahu pun Hulu Besut.

“Tak munasabah teh... majoriti (kalah) banyak sekali tuh! Bukan senang nak cari (peralihan) 2,000 undi nih!”, bentak seorang aktivis PAS di Besut.

Maksud beliau, sepertimana persepsi yang dipegang di peringkat PAS Kawasan mahu pun Negeri Terengganu, Dun Kota Putera berada di tangga tercorot dalam senarai keutamaan untuk dimenangi di Besut. Ia bahkan antara yang terbawah di seluruh negeri. Justeru, amat sukar dipercayai bagaimana kekalahan teruk itu boleh ditukar menjadi kemenangan buat PAS.

Sepertimana telah disebut sepintas lalu, penulis menyandarkan kemungkinan positif untuk PAS di Kota Putera di atas keterbukaan minda para pengundinya. Sebagaimana PAS Kawasan Besut menganggap Jertih berpotensi berubah disebabkan antara lain faktor penduduknya yang berminda terbuka, maka begitulah juga dengan pengundi di Kota Putera.

Dun yang sebelum ini dikenali sebagai Kampung Raja merupakan kawasan dipusatkan pentadbiran kerajaan bagi Daerah Besut. Di kawasan itu juga berceratuk institusi-institusi pengajian, termasuk Institut Pendidikan Guru, dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan lima sekolah menengah.

Kewujudan pejabat dan institusi pengajian itu menjadikan Kota Putera tumpuan masyarakat kelas pertengahan dan elit. Ia didiami khalayak terpelajar dan para penjawat awam, selain penduduk tradisi. Kelompok masayarakat ini merupakan golongan yang terdedah kepada maklumat, terutama maklumat alternatif selain saluran arus perdana yang dikuasai pemerintah.

Walau pun tidak semua mereka pengundi di situ, kehadiran mereka berinteraksi dalam masyarakat banyak mencorakkan trend pemikiran masyarakat setempat, terutama rakan-rakan sekerja dan jiran yang menjadi pengundi.

Hakikat itu menyediakan kelebihan buat Dun Kota Putera, terutama berbanding Hulu Besut yang lebih berimej pertanian dan perhutanan, atau Kuala Besut yang lebih dikenali sebagai hub perikanan dan perniagaan. Bahkan, diakui banyak pihak betapa masalah utama dengan pengundi di dua Dun ini ialah kerana bermentaliti subsidi dan mudah dipaut dengan umpan ‘wang ehsan’.

Memang jika dilihat kepada majoriti kekalahan pada 2008, kerusi Kota Putera agak corot. Namun, sebab-musabab kekalahan teruk itu seharusnya diperincikan. Antara faktor yang sukar ditolak ialah bahawa ia merupakan sebahagian isyarat daripada pengundi di Dun berkenaan yang kecewa apabila pembangkang mengemukakan calon yang tidak menepati harapan mereka.

Sedari awal telah kedengaran suara agar kerusi itu ditanding PAS. Malangnya, pandangan itu gagal diraikan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR). Akibatnya, berlaku ‘pecah undi’ antara Dun dan Parlimen. Ratusan pengundi di Dun Kota Putera mengundi calon PAS di Parlimen, tetapi tidak mengundi calon PR di kerusi Dun.

Terimakasih kepada Paksu Aminuddin kerana bersusah-payah membekalkan penulis dengan naskhah keputusan Pilihan Raya Umum 2008 bagi kawasan Besut. Di dalamnya diperincikan bagaimana jumlah undi diperolehi calon PR di Kota Putera memang lebih rendah berbanding undi diberikan kepada calon Parlimen dari PAS.

 Suara kekecewaan serupa masih berkumandang hingga kini. Keadaan (sambutan pengundi) dijangka berbeza sekiranya PR meletakan calon PAS di situ, sekaligus melambangkan keseriusan sebenar untuk menawan hati pengundi.

Untuk itu PR, khususnya PAS sepatutnya telah belajar dari ‘kesilapan’ percaturan pada 2008. Bahawa memberikan kerusi secara percuma kepada parti yang tidak langsung ada kekuatan dan tidak menunjukkan keseriusan dalam mempertingkatkan kekuatannya untuk bertanding adalah satu kesilapan besar.

Hakikat itu sewajarnya diperakui oleh parti rakan dalam PR secara jujur. Berfikirlah secara ‘anak beranak’ dan profesional. Ketepikan keegoan parti masing-masing. Utamakan kemenangan PR dan berilah peluang kepada parti yang lebih berupaya mengetengahkan calon mampu menang.

Paling penting, jangan letak calon yang tidak dialu-alukan pengundi!

(Artikel ini adalah versi sebelum potong kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1766, 6 Ogos 2012 di ruangan 'KOLUMNIS' F21 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment