Oleh: Mat Zain Mat Isa
MAHA Bijaksana
Allah Ta’ala yang mentakdirkan kes ragut membabitkan kecederaan parah pada
pergelangan tangan seorang mangsa minggu lalu berlaku di bandar Kota Bharu.
Suratan itu sebenarnya lebih dari cukup untuk memudahkan mana-mana pihak yang
dikurniakan akal oleh Tuhan merenung hikmat dan pengajaran yang didatangkan-Nya
bersama kejadian tersebut.
Dalam insiden
yang dilaporkan berlaku pada petang Rabu, 29 Ogos lalu, seorang wanita hampir
putus pergelangan tangan kirinya selepas ditetak berkali-kali dengan parang
ketika bergelut dengan seorang peragut di hadapan sebuah kedai di bandar ibu
negeri Kelantan itu.
Dilaporkan juga
pembantu klinik swasta itu, Rohairani Abdullah @ Ibrahim, berjaya menghalang
peragut tidak berhati perut itu melarikan beg tangannya. Namun, beliau sendiri
pengsan sejurus peragut melarikan diri. Dalam keadaan cedera parah itu beliau
dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tidak jauh dari situ.
Kes itu mendapat
perhatian segera daripada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul
Aziz Nik Mat. Beliau mengetuai beberapa pemimpin kerajaan negeri melawat mangsa
di hospital.
Kes itu turut
mengundang tindakan segera pihak keselamatan. Ketua Polis Negeri Kelantan,
Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dalam kenyataan media keesokannya mengumumkan
penubuhan pasukan khas menangani jenayah ragut di bandar itu. Menurutnya,
pasukan khas membabitkan kira-kira 150 anggota wanita itu akan ditempatkan di
kawasan tumpuan wanita sekitar bandar itu, terutama pusat-pusat beli belah.
“Pasukan khas ini
yang mula menjalankan tugas esok (Jumaat, 31 Ogos), akan memberi nasihat kepada
wanita supaya lebih berhati-hati terutama dalam keadaan yang boleh memberi
peluang kepada peragut”, katanya, selepas melawat mangsa di hospital.
Sekalung takziah
dan segugus simpati buat Rohairani dan keluarga. Didoakan mereka tabah
menghadapi musibah ditakdirkan Tuhan ini. Tahniah juga kepada pihak pasukan
keselamatan di atas keseriusannya mengadakan tindakan segera menangani jenayah
ini.
Namun, sebagai
sebahagian masyarakat Islam yang sangat kepingin melihat negara kita bukan
sahaja selamat pada zahirnya, tetapi secara spiritualnya turut dinaungi rahmat
Allah, kita tentu sekali tidak akan berpuas hati sekadar dijanjikan keamanan
menerusi tindakan ikhtiari manusia. Lebih-lebih lagi kita telah dan sering
diingatkan para pemimpin (ulama kita) bahawa di antara jalan mengundang rahmat
Allah itu ialah dengan kita melaksanakan hukum dan peraturan diredhainya.
Sebab itu sedari
awal tadi penulis tekankan bahawa ada hikmat tersendiri mengapa Allah Ta’ala
mentakdirkan kes ini berlaku di Kelantan, negeri yang paling ke depan buat masa
ini dalam suara dan hasrat mendaulatkan hukum Islam dalam pemerintahannya.
Boleh jadi Dia mahu rakyat negeri itu, khususnya mereka yang mempertikaikan
hasrat kerajaan negeri melaksanakan Hudud, agar menilai kes yang berlaku “di
depan mata mereka” sendiri itu dengan mata hati.
Kelantan telah
menjadi fokus pertikaian politik, antaranya disebabkan ketegasan PAS dengan
hasratnya melaksanakan hukum Islam, termasuk Hudud dan Qisas. Dua cabang hukum
Islam ini merupakan bahagian yang paling mengundang kontroversi, terutama di
kalangan mereka yang tidak faham mengenainya.
Lebih
berkebetulan lagi, ketika kejadian ragut itu berlaku isu pelaksanaan hukum
Islam itu, terutamanya Hudud sedang menjadi bahan perbahasan hangat di kalangan
pemimpin dan pendukung politik tanahair.
Manakala di
antara seksyen hukuman Hudud yang paling banyak diperkatakan, terutama sebagai
hujah untuk menakutkan masyarakat terhadap pelaksanaannya ialah seksyen
berkaitan hukum potong tangan pencuri yang disabitkan kesalahan. Maka, suatu
kebetulan lagi dalam kejadian itu, yang menjadi fokus cerita ialah keadaan
tangan mangsa yang hampir putus ditetak peragut.
Betapa pun ngeri
dan kejamnya babak insiden itu yang kita baca, terutama apabila dikatakan beliau
ditetak beberapa kali menggunakan parang (sebagaimana diceritakan seorang saksi
kejadian kepada media), hanya mangsa sendiri yang merasainya. Namun, apakah
dengan aksi kejam sedemikian masih ada yang tidak bersetuju sekiranya “hukuman
serupa” dikenakan ke atas pencuri yang dibuktikan bersalah?
Dalam ertikata lain, tiada pihak sepatutnya meluahkan rasa simpati
terhadap suspek penjenayah itu. Kekerapan kejadian mencuri, sama ada melalui pecah
rumah dan ragut, termasuk antaranya melibatkan ugutan dan ancaman keselamatan
terhadap mangsa, sepatutnya menyebabkan anggota masyarakat semakin membenci
pelaku jenayah.
Sebab itu kita percaya di samping berharap insiden malang sebegitu tidak
menimpa diri sendiri, masing-masing anggota masyarakat turut bersetuju akan
mengambil tindakan balas serupa (menetak tangan suspek) sekiranya
berkesempatan.
Reaksi sedemikian malah pernah dituturkan anggota masyarakat sebagai
reaksi kepada satu kes cubaan pecah rumah di Besut, Disember 2010. Dalam
kejadian itu, hasrat suspek berjaya dipatahkan tuan rumah. Suspek malah ditetak
tuan rumah sehingga putus pergelangan tangannya.
Apakah ada yang menganggap itu “hukuman” yang kejam? Demi Allah, kebanyakan
anggota masyarakat menganggap “hukuman” diberikan tuan rumah itu tidak
sepatutnya dipertikaikan. Malah antara mereka mengandaikan “hukuman” itu bakal
menjadi pengajaran kepada suspek seumur hidupnya.
Agak menarik, secara kebetulannya “hukuman” diterima suspek itu secara
zahirnya “menyamai” pendekatan terdapat dalam hukum Hudud. Hukuman bagi mereka
yang sabit kesalahan mencuri ialah dipotong tangan.
Sebab itu tatkala tersebar cerita kes menimpa wanita di Kota Bharu itu,
ada di kalangan teman-teman yang berkata, “alangkah eloknya kalau tangan yang
kena tetak itu milik mereka yang sangat kuat menentang (pelaksanaan) Hudud!”
Rasionalnya, manusia ini kerapkalinya menunggu sesuatu itu mengenai
batang hidung sendiri, baru dia mahu berfikir tentang baik-buruk sesuatu
perkara yang diperkatakan orang. Maksudnya, boleh jadi jika kes ditetak tangan
hampir putus itu terkena kepada para pemimpin yang sangat lantang menentang Hudud,
ia akan lebih cepat dan lebih mudah membuka mata dan fikiran mereka untuk merasionalkan
mengapa Allah Ta’ala mensyariatkan hukum-Nya sedemikian rupa.
Ataukah mereka akan terus menuturkan simpati kepada para penjenayah dan
tidak rela tangan penjenayah diperlakukan sebagaimana tangan mereka sendiri? Sepatutnya mereka bertanya, “manakah lebih
baik dipotong, tangan mangsa atau tangan pencuri?”
(Artikel ini adalah versi lebih panjang (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah, Bil:1773, 7-9 September 2012 di ruangan 'KOLUMNIS' F21 dengan tajuk "Kalaulah si mangsa 'penentang Hudud'...")
No comments:
Post a Comment