Foto: Farah Zahra’ Nasir
Muqoddimah
Bagaikan ada gelombang, kecenderungan artis dan selebriti
tersohor ‘berhijrah’ ke arah menghayati kehidupan bertepatan dengan ajaran
agama Islam sebenar semakin melumrah mutakhir ini. Seorang demi seorang antara
mereka yang (diakui mereka sendiri) sebelum ini hidup terumbang-ambing bagai
dihayutkan badai kehidupan yang agak jauh dari landasan syariat, kini berusaha
sehabisnya untuk mendekatkan diri mereka kepada agama.
Majalah Dian –
Ihya’ as-Sunnah sebelum ini pernah menemubual beberapa artis tersohor
tanahair. Perkongsian pengalaman hidup mereka, terutama detik dan faktor yang
menjadi titik pusing dalam hidup mereka telah kami paparkan lewat Edisi 1, 2, 4
dan 6, melibatkan personaliti berbeza.
Dalam edisi kali ini, kami berkesempatan menemubual
seorang lagi artis yang baru ‘berhijrah’ bagi menghiasi kolum KEMBARA IMAN
majalah kami ini. Beliau ialah Arbaieyah bte Abdul Manan atau lebih popular dengan
nama Abby Abadi. Ringkasan temubual dan maklumat berkaitan dirinya adalah
sepertimana dipaparkan.
Titik pusing
Saya memang bersyukur sangat-sangat
bilamana berlaku beberapa kejadian dalam hidup saya, Tuhan buka hati saya untuk
lebih dekat dengan Dia dan membuka pintu hati saya untuk membawa diri saya pergi
ke rumah-Nya, Masjidil Haram (menunaikan umrah
pada 15 hingga 26 Mac lalu). Dekat situ lah
saya rasa sangat yang saya ni banyak sangat buat dosa.
Alhamdulillah, dua hari sebelum
kembali ke Kuala Lumpur, di depan Kaabah saya nekad untuk bertudung sekali gus
berdoa semoga Tuhan tetapkan iman saya untuk kekal begini.
Individu
paling rapat ketika ‘hijrah’
Sebenarnya dari segi nak berhijrah, hati saya sendiri yang
memang nak sangat dekat dengan agama Allah. Tapi... adalah seseorang yang rapat
dengan saya. Ada banyak sangat benda (tentang Islam) yang saya tak faham. Tapi
bila saya tanya, semua dia boleh jawab. Walau pun tak bergelar ustaz, itu macam
ustaz juga lah...
Saya bersyukur juga dikelilingi dengan orang-orang yang
baik-baik sekarang, selalu dapat berjumpa dengan orang-orang yang baik-baik,
dekat dengan agama dan saya dapat banyak sangat ilmu.
Pengakuan
tentang ‘kejahilan’
Dulu saya tak fikir langsung yang mati tu macam mana lah
seksanya, tak fikir langsung pasal seksa kubur. Tapi sekarang saya ‘nampak’ dan
saya takut sangat dengan benda-benda macam tu. Maknanya kita memang kena buat
apa yang Dia suruh, sebab apa yang kita ada semuanya Dia yang punya.
Jadi sekarang saya cuba sehabis baik nak tebus dosa-dosa
saya yang mana dulu saya tak... tak kasar sangat la kalau saya sendiri yang
kata kot... saya yang ‘jahil’ ini dulu sangat-sangat tak mengetahui apa yang berlaku
kepada agama saya, walau pun saya orang Islam. Jadi sekarang ini dengan adanya
ruang yang Allah aturkan untuk saya, saya berniat sangat nak perjuangkan agama Allah
yang semacam dipinggirkan di Malaysia.
Sebelum ini saya akui saya leka dengan diri saya. Sembahyang
tu sembahyang, tapi tak terlalu menekan sangat pada kehidupan sebagai seorang
wanita yang beragama Islam. Yang mana (contohnya) saya baca, saya faham je apa
itu aurat, saya tahu je bila wanita seorang yang akil baligh kena tutup aurat. Saya
tahu pun, tapi tak buat. Teruknya saya masa tu saya rasa... (ketawa)
Memang lah saya akui, saya leka dengan dunia saya, walau
pun saya tak menyalahkan orang keliling saya yang mana memang saya nampak buat
benda-benda yang sebenarnya tak patut buat. Jadi orang sekeliling saya pun sama
macam saya. Jadi macam tu lah saya.. rasa macam baiklah, tapi tiap-tiap hari
buat dosa.
Itulah sebabnya saya rasa bersyukur sebab dalam ramai-ramai
tu Allah Ta’ala pilih saya untuk berubah, untuk jadi saya yang bukan saya dulu,
yang tahu tapi tak buat apa yang Dia suruh. Macam saya tahu je aurat tu bila perempuan,
yang boleh nampak muka dengan tapak tangan saja... tahu! Sekarang baru saya
sehabis baik cuba nak jaga, alhamdulillah pelan-pelan lah.. kadang ada juga
terbabas... iman masih ‘muda’ lah, tak cukup kuat.
Mahu ubah
dunia seni
Saya masih sayangkan karier saya, saya masih sayangkan
dunia saya, dunia seni. Saya masih sayangkan kawan-kawan saya, yang bersama
saya sebelum ini. Sebab itulah saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik untuk
mereka, untuk saya. Biar sama-sama dapat merasa kasih sayang Allah.
Saya tak kata saya nak berhenti berlakon, tapi kalaulah dapat
diperbaiki (dunia seni), maksudnya lebih ke jalan Islam, dapat mengikut syariat-syariat
tertentu, kat situ saya rasa lebih baik untuk mendidik generasi-generasi yang
akan datang.
Sebenarnya kalau nak ikutkan, sebelum saya berhijrah pun,
hati saya tak suka sebenarnya drama-drama atau pun filem yang selalu buat
adegan-adegan yang terlalu over sangat. Dia konon-kononnya kata tak apa, kita
nak tunjukkan benda yang baik... nanti bila last
dia jadi baik.
Saya rasa benda macam tu tak perlu tunjuk pun tak apa. Itu
kesilapan besar yang mana lebih mendorong remaja (penonton) membuat benda-benda
yang tak baik. Walau pun saya tak (belum) berhijrah dulu, tapi hati
baik...(ketawa). Hati baik, jadi saya nampak benda-benda tu berlebih-lebihan sangat.
Sekarang saya memang kalau boleh nakkan dunia seni pun
diselamatkan daripada keadaan yang macam dah tak ada batasan. Saya tengok ada
satu filem baru, saya tengok teasernya, adegan yang ditunjukkan tu kononnya
supaya orang lain bersikap terbuka menerima adegan-adegan yang begitu mengghairahkan.
Bersikap terbuka?
Ya Allah, saya rasa walau pun saya ini bukan sapa-sapa,
kurang sangat ilmu agama, tapi saya rasa tak adalah benda tu patut dibuat macam
tanpa rasa bersalah... memang (teaser itu) ditunjukkan terang-terang tanpa ada blur-blur tu. Macam tak bersalah sangat,
padahal benda tu kepada saya maksiat la, kan?
Harapan
untuk anak muda
Sebenarnya kalau boleh, bukan saja anak muda tapi semua
sama-sama ke jalan Allah. Kalau kita nak buat perubahan, kita tak boleh berubah
untuk kita saja. Kita kena berubah dari atas. Maksudnya kita kena dapatkan
contoh yang baik sebagai orang yang kat atas kita, kita kena dapatkan orang yang
selalu mengingatkan kita ke arah kebaikan.
Jadi saya rasa anak muda memang perlu lakukan perubahan
dari segi pemilihan orang yang patut memimpin kita, insya Allah.
Maksudnya, macam saya pun, saya nak berubah. Saya
mengharapkan orang keliling saya orang yang baik-baik, supaya saya jadi baik
dan saya dapat tunjukkan contoh yang baik juga kepada orang lain.
Jadi memang harapkan sesuatu yang lebih baik dari atas. Yang
bawah tu ikut je contoh yg baik. Kalau kat atas kita ikut contoh tak baik,
contoh kalau kita ikut imej K-Pop, hah... K-Pop lah kita.
Kenapa
bersama PAS
Artis pergi banyak dekat PAS sebab kebanyakannya memang
terima jemputan daripada pihak PAS dalam majlis-majlis agama. Maknanya, kita
berhijrah atau pun kita nak pergi ke lebih baik, dah tentulah ke arah agama. Jadi
orang yang ke arah agama, orang yang memperjuangkan agama lah yang kita cari, yang
kita dekati.
Memang kalau orang tak faham, orang akan kata, “kenapa
campur adukkan agama dengan politik?” Tapi kalau dia orang betul-betul faham, daripada
zaman Nabi pun agama dengan politik tidak boleh dipisahkan. Jadi kena ambil
tahulah pasal benda tu.
Insya Allah saya memang nak jadi antara umat yang baik di
sisi Allah, saya nak dekatkan diri kepada Dia. Dan saya bersyukur sangat Allah
aturkan jalan saya untuk bersama pihak yang memang menekankan agama untuk
rakyatnya.
Contohnya macam majlis-majlis yang dianjurkan oleh pihak
PAS, yang mana memang sangat-sangat memberi ilmu pada saya lepas saya
berhijrah. Saya memang rasa banyak sangat benda yang saya perlu bersyukur bila
sekarang ini didekatkan dengan ilmuan agama, dengan ustaz, dengan ustazah,
dengan rakyat yang cintakan agama.
Harapkan
yang baik untuk semua
Saya sebenarnya nak semua dekat dengan agama, nak semua
perjuangkan agama kita, yang rasa dah macam dipinggirkan saja dalam negara kita
ini. Padahal kalau nak ikutkan, bumi ini bumi Allah, kan? Dunia ini Allah yang
punya. Jadi maknanya malu-malu lah sikit yang buat macam-macam dekat orang Islam
tu, rasanya tak bersalah ke? Bila sampai ada pejuang Islam kena tembak, masjid
diroboh, saya rasa benda-benda tu tak patut berlaku dalam negara kita yang
diisytiharkan sebagai negara Islam ini. Jadi saya mengharapkan sangat untuk semua
umat Muhammad saw, yang sama seagama dengan saya, kita berjuanglah untuk agama.
Saya tak rasa tertekan langsung. Sebab itu lah dalam
keadaan kini saya rasa lagi seronok, nak semua orang pun rasa macam saya, yang
mana sejujurnya saya cakap, saya tak pernah rasa setenang ini.
Nama: Arbaieyah bte Abdul Manan
Tarikh
Lahir: 1 Disember 1977
Tempat
Lahir: Hospital Besar Kuala Lumpur
Nama Ibu: Hasnah bte Abu
Nama Bapa: Abdul Manan bin Tadin
Pendidikan:
- Sek. Ren. Hulu Klang (Darjah I)
- Sek. Ren. Lembah Keramat (2-6)
- Sek. Men. Lembah Keramat (Ting 1-5)
- ITTAR (Diploma in
Tourisme, tak habis)
Pengalaman
di bidang seni:
- anggota kumpulan nyanyian Elite
(sehingga 1998)
- hos bersama rancangan tv Roda
Impian.
- pelakon siri tv Gerak Khas (Inspektor Aleeza)
- drama-drama lain: Maria Mariana;
Manjalara; Putera Syahzan
- filem-filem: Pasrah (2000); Gerak Khas the Movie (2001);
Gerak Khas the Movie 2 (2002); Gerak Khas the Movie 3 (2005); Kamasutra (2005).
Anugerah: Anugerah Bintang Popular Berita Harian (Pelakon TV Wanita Paling Popular
- 2000, 2001, 2002 dan 2003).
Berkahwin: 8 Januari 2002 (dengan pelakon Norman Hakim)
Anak-anak: Mohamed Danish Hakim, 9;
Marissa Dania Hakim, 7; dan Maria Danisha Hakim, 4.
Bercerai: 2009 (anak ketiga baru berusia 3 bulan).
Tarikh mula
bertudung: 24 Mac 2012
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' as-Sunnah, Bil: 8 (Ogos 2012) di ruangan 'KEMBARA IMAN' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment