Wednesday, August 15, 2012

Terengganu bakal pertaruh calon muslimat?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

BARANG diizinkan Allah Ta’ala, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang bakal berlangsung dalam masa terdekat ini berkemungkinan menjadi pembuka era baru dalam perjuangan PAS Terengganu, khususnya bagi khalayak muslimatnya. Ura-ura yang semakin hangat dibual bicara di kalangan para pendukung parti di negeri itu mutakhir ini ialah kemungkinan akan ada calon wanita (muslimat) diketengahkan PAS dalam pertarungan itu nanti.

Lebih membukitkan kemungkinan itu ialah apabila dikatakan perkara itu sudah pun mendapat persetujuan daripada kepimpinan tertinggi Dewan Muslimat PAS (DMP), termasuk di peringkat Pusat dan negeri Terengganu. Bahkan, menurut sumber yang rapat dengan Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN), individu yang bakal dicalonkan itu juga sudah pun dikenalpasti.

Andaikata cakap-cakap itu menjadi realiti, bermakna PAS Terengganu bakal mencatat sejarah tersendiri menamatkan kemarau calon muslimatnya dalam tempoh lebih lima dekad. Kali terakhir PAS mengemukakan calon wanita di negeri itu ialah pada Pilihan Raya Parlimen 1959, yang diadakan pada 19 Ogos (ketika itu PRU Negeri-Negeri diadakan secara berasingan).

PAS meletakkan Khadijah Mohd Sidek bagi merebut kerusi Parlimen Dungun. Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Khadijah berjaya mengalahkan Wan Salleh Abdul Kadir yang mewakili Front Sosialis (SF) dan Mohamed Adib Omar (Perikatan). Kemenangan itu sekaligus menjadikannya sebagai Ahli Parlimen Wanita yang pertama daripada PAS, juga wakil rakyat wanita pertama dalam sejarah pilihan raya negara selepas merdeka bagi negeri Terengganu.

Namun, Khadijah bukanlah satu-satunya calon wanita ketika itu. Dalam PRU Negeri Terengganu, yang diadakan lebih awal (20 Jun 1959), sudah ada calon wanita bertanding. Beliau ialah Saripah Azzah Apple Syed Shith. Beliau mewakili Perikatan di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Ladang, berdepan calon-calon daripada Parti Negara (PN), Front Sosialis (SF) dan PAS. Pertarungan itu dimenangi calon PN, Wan Daud Wan Ahmad.

Selepas Khadijah, PAS tidak pernah lagi mengetengahkan muslimatnya sebagai calon. Kelibat calon wanita bagaimana pun terus muncul di pentas pilihan raya Terengganu mewakili parti-parti lain. Lewat PRU 1969 umpamanya, Perikatan meletakkan Teh Hassan sebagai calonnya di Dun Chukai. Beliau menewaskan calon PAS, Mohd Shafii H.G. Ahmad dan calon Bebas, Ismail Yusoff.

Dalam PRU sama, Saripah Azzah Apple sekali lagi diletakkan mewakili Perikatan, kali ini di Dun Binjai. Beliau bagaimana pun kalah lagi, kali ini kepada calon PAS, Mohamed Taib Ismail.

Pada PRU 1974 Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) mempertaruhkan seorang calon wanita, Siti Nor Abdul Hamid Tuah. Beliau diletakkan menentang Lukman Abdul Kadir (calon PAS mewakili BN) di Parlimen Ulu Nerus. Kerusi itu bagaimana pun dimenangi Lukman.

Sejak tarikh itu, tiada lagi calon wanita muncul di Terengganu dalam mana-mana pilihan raya, umum atau kecil, mewakili mana-mana parti pun. Kemarau itu berlarutan sehingga 34 tahun. Hanya pada PRU ke-12 pada 2008 lalu kelibat calon-calon wanita kelihatan kembali.

BN mempertaruhkan Ketua Puteri Umno negeri, Senator Nordiana Shafie bagi merebut kerusi Dun Batu Buruk. Beliau bagaimana pun tewas kepada calon PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu juga menyaksikan kemunculan seorang calon wanita. Beliau ialah Maimun Yusuf, yang bertanding di atas tiket Bebas, menentang calon BN dan PAS. Kerusi bagaimana pun dimenangi calon BN.

Biar pun kedua-dua calon wanita di pentas pilihan raya Terengganu itu gagal dalam pertarungan mereka, cakap-cakap mengenai perlunya ada wakil rakyat dari kaum tersebut masih berterusan. BN sendiri, khususnya Umno dijangka akan tetap mengemukakan paling tidak seorang calon wanita dalam pilihan raya umum nanti. Manakala PAS pula tidak mustahil akan ikut berbuat demikian.

Difahamkan cadangan mengetengahkan wakil muslimat di Terengganu sudah pun tercetus sejurus sebelum PRU ke-12 lalu. Bagaimana pun, DMP negeri ketika itu dikatakan masih berpendirian untuk tidak menuntut sebarang kerusi daripada parti. Sebab itu biar pun saat itu rakan-rakan di negeri-negeri lain ghairah mengetengahkan calon-calon muslimat untuk dibariskan parti dalam PRU lalu, sambutan muslimat Terengganu agak bersahaja.

Kini, suasananya dikatakan sudah berubah. Kemenangan selesa sebilangan calon muslimat di beberapa negeri lewat PRU 2008 dikatakan antara ‘pembuka mata’ bagi muslimat di Terengganu untuk ikut mencuba nasib.

“Memang muslimat negeri (DMP Terengganu) katanya dah setuju.. Pusat lah (DMP Pusat) sebenarnya yang putuskan lebih dulu, setuju ada calon muslimat di Terengganu, tapi setakat ni sorang saja,” ujar seorang ‘orang kuat’ JPN Terengganu kepada penulis baru-baru ini.

Beliau malah mendakwa bahawa individu yang bakal dikemukakan sebagai calon itu juga sudah pun dikenalpasti. Ada pun siapakah tokoh muslimat yang bakal mencatat sejarah itu dan di manakah beliau bakal dipertaruhkan, insya Allah akan kita bicarakan di kesempatan lain.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1769, 17 Ogos 2012 di ruangan 'F22 KOLUMNIS' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment