Wednesday, August 1, 2012

Rahsia kekuatan “Tentera Terbaik”

Oleh: Mohd Nasir Awang

Nama Sultan Muhammad al-Fateh bukan lagi sesuatu yang asing bagi umat Islam. Pemimpin sangat bijak dan berani itu dicatat sejarah bertanggungjawab menawan kota Konstantinopel, kubu kekuatan dan pemerintahan Empayar Rom Timur sejak berzaman.

Dalam usia masih muda beliau memimpin bala tentera berjumlah ratusan ribu. Lebih membanggakan lagi, cerita-cerita bagaimana anggota tentera itu begitu berdisiplin, terutama di dalam mentaati perintah dan larangan agama, banyak membongkar rahsia mengapa kumpulan ini layak digelar pasukan “Tentera Terbaik”.

Salah satu babak menarik menggambarkan keteguhan peribadi mereka ialah ketika berada bersama-sama Sultan Muhammad al-Fateh di Pulau Magnesia. Ia sebuah pulau yang sepi dan terpencil, sengaja dipilih oleh Sultan Muhammad untuk dijadikan ‘kem’ menjalani latihan perang.

Dikatakan seramai hanya 250,000 tentera Turki terpilih menjalani latihan di pulau itu. Mereka adalah yang terbaik dan menepati syarat kelayakan ditetapkan Sultan Muhammad, iaitu taat kepada ajaran agama.

Sepanjang 40 hari berada di dalam latihan itu, mereka benar-benar mempamerkan keperibadian tulus sebagai tentera yang membawa panji-panji Islam. Mereka bukan sahaja dilatih mempertingkatkan kemahiran berperang sebelum bertempur dengan tentera Rom, tetapi turut diuji ketaqwaan terhadap Allah SWT.

Apabila masuk waktu solat, mereka sembahyang berjamaah. Sultan Muhammad sendiri menjadi imam mereka. Manakala Syeikh Syamsuddin al-Wali, ulama terkemuka yang menjadi penasihat kepada sultan, meniupkan semangat jihad ke dalam jiwa mereka melalui ceramah agama yang diberikan. Mereka menjadi kuat jasmani dan rohani (Talib, 2012).

Mereka digambarkan seumpama singa di siang hari dan abid pada waktu malam. Walau pun ramai yang berpuasa sunat, mereka begitu kuat dan tangkas ketika menjalani latihan ketenteraan.

Disiplin diri mereka turut teruji, terutama di dalam menguruskan kehidupan sehari-hari mereka di atas pulau itu. Antaranya, berlaku berbagai kejadian yang menguji sejauh mana ketaatan mereka kepada peraturan ditetapkan oleh Sultan Muhammad, termasuk larangan daripada menceroboh kawasan penduduk, melakukan perbuatan tidak bermoral atau mengambil sebarang harta orang tanpa izin.

Suatu pagi selepas mengimami solat Subuh, Sultan Muhammad al-Fateh memberitahu para panglima di sisinya.

“Saya terasa lapar, tetapi tidak ada selera untuk menjamah makanan. Saya teringin sangat nak makan buah delima,” katanya.

Baginda memang tahu di hujung pulau itu ada kebun delima. Ketika itu pula kebetulan musim ia berbuah. Lalu sekalian yang berada di situ memikirkan permintaan Sultan Muhammad itu tidak sukar dipenuhi. Mereka berjanji akan mendapatkannya segera untuk Baginda.

Lalu beberapa orang tentera bergegas ke tempat itu. Setiba di sana mereka amat gembira. Sebagaimana dikhabarkan, di situ memang ada kebun delima dan buah-buahnya juga sedang masak. Di tepinya mengalir sungai menuju ke arah tempat perkhemahan tentera Turki.

Diikutkan hati, mahu saja mereka meragut buah-buah itu dari pohonnya. Bukan saja untuk dibawa pulang dan dipersembahkan kepada Sultan Muhammad, malah juga untuk mengisi perut mereka yang sudah pun lapar ketika itu.

“Jangan! Ingat pesan Sultan Muhammad, kita jangan ambil buah-buahan tanpa kebenaran daripada tuannya,” kata ketua kumpulan tentera itu.

“Kalau macam itu, mari kita cari tuan punya kebun ini,” kata seorang yang lain.

Tanpa berlengah, mereka pun merayau-rayau di sekitar kebun itu mencari tuannya. Setelah puas berusaha sekian lama, tidak juga mereka temui pemiliknya. Maka terfikirlah oleh tentera itu untuk mengambil saja buah delima tersebut, dengan niat baik untuk membuka selera Sultan Muhammad yang tidak sihat itu.

“Kita dah berusaha sedaya-upaya mencari tuan punya kebun ini. Sultan pula teringin benar nak makan buah delima. Apakah salah jika kita ambil sebiji bagi diberikan kepada Baginda? Rasanya tuan punya kebun ini pun takkan marah”, ujar seorang tentera, cuba menjustifikasi cadangannya.

“Saya pun fikir begitu juga. Tuan kebun tidak akan marah jika kita ambil hanya sebiji, untuk Sultan pula. Tapi kita tidak boleh ambil buah ini tanpa izin tuannya terlebih dahulu. Bagaimana kalau tuan punya tak izinkan? Bermakna kita telah berikan Sultan makan buah yang haram”, persoal ketua kumpulan itu pula.

“Tapi sultan sangat teringin memakan buah delima. Apakah Baginda tidak akan marah kalau kita pulang dengan tangan kosong, sedangkan buah delima itu sudah ada dalam genggaman kita sekarang?”, soal balas tentera itu.

“Saya lebih fikirkan kemurkaan Allah berbanding kemarahan Sultan Muhammad,” jawab ketua kumpulan itu dengan tegas.

Kecermatan beliau itu menyebabkan yang lain tidak jadi memetik buah delima di kebun itu. Mereka lalu bergegas pulang tanpa mengambil sebiji pun buah itu.

Selepas seketika menyusuri tebing sungai, mereka kepenatan dan berhenti rehat. Tatkala mereka sedang meneguk air sungai yang jernih dan bersih itu, kelihatan oleh mereka sebiji buah delima terapung-apung dibawa arus sungai itu.

“Itu ada buah delima. Apakah yang hanyut begitu pun kita kena cari tuan punya juga?”, salah seorang mereka bersuara seraya menunjuk ke arah buah delima di dalam air. Beliau lantas mencapai buah delima itu untuk dibawa pulang kepada sultan.

“Jangan! Saya rasa buah delima itu berasal dari kebun tadi juga. Kita tidak berhak mengambilnya,” jawab tentera yang lain.

Ketua kumpulan mereka mengangguk tanda setuju dengan pendirian itu. Begitu juga yang lain. Lalu tentera tadi membuang semula buah delima itu ke dalam sungai dan mereka pun meneruskan perjalanan pulang.

Setiba di hadapan Sultan Muhammad al-Fateh, ketua kumpulan tentera itu pun menceritakan kembali setiap yang berlaku. Beliau berjanji untuk pergi semula ke kebun itu keesokannya, sehingga dapat membawa pulang buah delama dihajati Baginda itu.

Mendengarkan penjelasan itu, Sultan Muhammad tersenyum. Ini menimbulkan kehairanan mereka.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur sebab...”, belum sempat Sultan Muhammad al-Fateh menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba muncul seorang tua lalu mengucapkan salam.

“Sayalah tuan punya kebun delima itu,” orang tua itu memperkenalkan dirinya.

Beliau lantas menerangkan secara terperinci kepada Sultan Muhammad perihal kehadiran kumpulan tentera itu di kebunnya. Rupa-rupanya beliau sengaja menyembunyikan diri di dalam semak di tepi kebunnya dan memerhati serta mendengar perbualan mereka.

“Saya tahu kamu adalah tentera Sultan Muhammad yang dihantar untuk menakluk kota Konstantinopel. Kerana itu saya mahu menguji adakah kamu tentera yang baik. Sekiranya kamu tentera yang jahat sudah pasti kamu mengambil buah-buah delima itu tanpa kebenaran daripada tuannya. Tetapi ternyata kamu tentera yang baik.”

Orang tua itu kagum mereka tidak mengambil walau sebiji buah delima, walau pun sudah ada yang menggenggamnya. Dia juga mengaku sengaja menghanyutkan sebiji buah delima ke dalam sungai ketika mereka sedang berehat. Mereka juga tidak mengambilnya.

“Tuanku mempunyai tentera yang baik. Saya yakin tuanku akan berjaya menakluk kota Konstantinopel,” kata orang tua itu, seraya menghadiahkan sebakul buah delima yang dibawa bersamanya kepada Sultan Muhammad al-Fateh.

“Terimakasih,” kata Sultan Muhammad al-Fateh sambil tersenyum. Baginda amat berpuas hati dengan penjelasan orang tua itu. Pengakuan itu sekali gus menerangkan maksud senyum beliau yang tidak sempat dihuraikannya sendiri sebentar tadi. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
-          Abdul Latip Talib, 2012. Sultan Muhammad al-Fateh Penakluk Konstantinopel, PTS Litera Utama Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
-          Felix Y. Siauw, 2012. Muhammad Al-Fatih 1453. Alam Raya Enterprise Sdn Bhd, Kuala Lumpur.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan DIAN - Ihya' as-Sunnah, Bil: 8 (Ogos 2012) di ruangan ' SECEBIS KISAH' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment