Sunday, August 12, 2012

Orang bertadarus, kita berpesta pelita...


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Kita masih lagi berada di bulan Ramadhan al-Mubarak. Sepertimana yang sering dihuraikan para alim-ulama, gelaran al-Mubarak kepada bulan Ramadhan itu membawa maksud bulan yang diberkati Allah dan dilimpahi penuh keberkatan dari sisi-Nya. Ada pun bagaimana bentuk atau rupa keberkatan itu, hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Namun, secara luarannya kita kerap didedahkan dengan senarai kelebihan yang hanya ada pada bulan Ramadhan dan tidak ditemui di bulan-bulan lain sepanjang tahun. Antara kelebihan itu ialah ibadat puasa itu sendiri. Ia hanya diwajibkan di bulan Ramadhan.

Di bulan ini syaitan yang merupakan musuh atau penghasut utama umat manusia ke arah melakukan kejahatan dibelenggu. Sepanjang bulan ini pintu-pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala pintu-pintu neraka ditutup rapat.

Ibadat sunat di bulan Ramadhan diberikan ganjaran menyamai ibadat fardhu di bulan lain. Manakala setiap ibadat fardhu yang dikerjakan dijanjikan ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Antara keistimewaan lain lagi ialah solat sunat tarawih, yang memang tidak disyariatkan pada bulan selain Ramadhan. Manakala Lailatul Qadar yang dijamin Allah menyamai seribu bulan juga hanya muncul di bulan ini.

Di bulan ini juga diturunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad saw. Kitab suci ini merupakan mukjizat dan anugerah Allah paling bernilai dan tiada tandingannya, terutama bagi memandu manusia ke jalan selamat, di dunia mahu pun akhirat.

Disebabkan kehadirannya yang dipenuhi keberkatan dari sisi Allah itulah maka kita dapati sebegitu banyak hadith Rasulullah saw yang menggalakkan umat Islam menghidupkan Ramadhan dengan segala macam amal ibadat. Contohnya, hadith-hadith yang menjanjikan penghapusan dosa-dosa silam bagi mereka yang menghidupkan Ramadhan agak banyak diriwayatkan.

Perkara itu rasanya sudah menjadi makluman umum dalam masyarakat kita. Sebab itu bagi sebuah masyarakat muslim yang mukmin, kehadiran Ramadhan amat dinanti-nantikan. Ia dianggap bulan yang menghidangkan peluang keemasan untuk setiap diri bergelar muslim mengaut seberapa banyak mungkin rahmat dan berkat dari sisi Tuhannya.

Malangnya, kecenderungan ke arah kebaikan itu tidak dikongsi semua anggota masyarakat kita. Bagi kelompok tertentu dalam masyarakat kita kebelakangan ini, matlamat menyambut kehadiran Ramadhan sedikit melencong daripada merebut peluang beribadat dan memperbaiki diri itu.

Ada yang menantikan kedatangan Ramadhan dengan mengutamakan perancangan mempertingkatkan pendapatan. Selera umat Islam yang terlalu luar biasa di bulan puasa dimanipulasi untuk kepentingan pelbagai bentuk perniagaan, terutama produk makanan dan minuman.

Walau pun niat mereka ini menyambut Ramadhan sedikit terpesong dari yang sepatutnya, ia tidak lah sampai dianggap penyelewengan. Apatah lagi agama kita juga menggalakkan umatnya berniaga dan mencari rezeki yang halal.

Namun, apa yang pasti mendukacitakan ialah apabila ada kelompok lain yang tertunggu-tunggu kehadiran Ramadhan saban tahun dengan agenda khas yang lebih cenderung ke arah bersuka-ria. Itulah yang diketahui berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini di sebilangan kampung di berhampiran Kuala Terengganu. Kedatangan Ramadhan bagi mereka adalah pelengkap agenda tahunan dalam kalendar pelancongan.

Dilaporkan saban tahun sejak 2008, beberapa kampung di utara Kuala Terengganu terlibat dengan pesta menghias halaman kampung dengan ribuan pelita. Ia bukan lagi sebagai inisiatif penduduk kampung yang sekadar suka-suka mengadakan suasana bercahaya itu, atau atas hasrat menghidupkan tradisi silam, tetapi sudah dikaifiatkan sebagai satu pertandingan.

Pertandingan Pelita Raya sudah dijadikan acara tahunan. Ia dianjurkan kerajaan negeri melalui Lembaga Muzium Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Pelancongan Terengganu.

Kebiasaannya pesta itu berlangsung tiga malam. Ia mendapat penyertaan puluhan keluarga dari tidak kurang lima kampung setiap tahun. Hadiah bernilai tidak kurang RM30,000 turut disediakan.

Difahamkan, pertandingan dibahagikan kepada dua kategori, iaitu antara individu dan antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Sebagai memeriahkan pertandingan itu, setiap pihak berusaha bukan sahaja memasang ratusan pelita berbagai saiz, malah dalam berbagai bentuk dan formasi. Belanja dikeluarkan setiap pihak pula mencecah ratusan malah ribuan ringgit.

Tahun ini acara itu berlangsung lagi. Akhbar harian melaporkan, acara itu bermula Jumaat, 3 Ogos dan berlanjutan selama tiga malam berikutnya. Lima kampung terlibat ialah Kampung Padang Hangus, Kampung Raja, Kampung Bau, Kampung Pagar Ubi dan Kampung Tekong. Manakala seramai 200 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Kita tidak pasti sejauh manakah beratnya saranan agama berhubung menghias indah halaman rumah bagi menyambut Ramadhan. Boleh jadi pihak penganjur memikirkan kepentingan pertandingan ini dari sudut pelancongan dan adat tradisi.

Bahkan, laporan akhbar berkenaan turut menyebutkan tujuan pertandingan itu sebagai “menghidupkan tradisi menyalakan pelita setiap kali menjelang Aidilfitri, selain memelihara khazanah warisan itu, sekaligus sebagai tarikan pelancongan.

Usaha kerajaan negeri mempertingkatkan tarikan pelancongan adalah dialukan. Bagaimana pun mengambil kesempatan di bulan Ramadhan untuk tujuan itu adalah suatu yang wajar dipersoalkan. Apatah lagi yang pasti, banyak hadith menerangkan kelebihan mempertingkatkan amal ibadah khusus, terutama qiyamullail dan iktikaf ketika Ramadhan semakin hampir berlalu.

Tambahan pula di kalangan pemimpin pendukung kerajaan Terengganu kini bukannya tidak ada khalayak yang arif tentang saranan Nabi saw itu. Mereka ini sepatutnya lebih faham keutamaan digariskan agama dan menjadi pihak paling bertanggungjawab mempromosikan Ramadhan sebagai bulan mempertingkatkan amal ibadat, bukannya bersubahat menganjurkan pesta bersuka-ria seperti itu.

Maka keadaan tidak sepatutnya jadi seolah-olah, “orang sibuk bertarawih dan bertadarus al-Quran, kita pula sibuk bersuka-ria dengan pesta pelita”. Ya Allah, apa nak jadi dengan Terengganu?

(Artikel ini adalah versi sebelum potong kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil: 1768, 13-16 Ogos 2012 di ruangan F22 KOLUMNIS dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment