Wednesday, August 1, 2012

Bermaafan – penuhi tuntutan agama atau ikut adat?


Oleh: Mohd Nasir Awang

Muqoddimah
Syawal bakal datang lagi. Sinonim dengan sambutan Hari Raya Idulfitri dalam masyarakat kita ialah suasana kunjung-mengunjung antara anggota keluarga dan sanak-saudara. Bahkan amalan itu diperluaskan lagi mencakupi sahabat-handai dan rakan-taulan.

Kunjungan ke mana-mana rumah atau tempat sambutan Hari Raya diadakan selalunya tidak lengkap tanpa berlakunya huluran salam. Ia diiringi ucapan saling memohon maaf di antara dua insan yang bertemu.

Ungkapan-ungkapan seumpama, “maafkan segala salah dan silap, halalkan segala makan dan minum” atau “kosong-kosong lah kita dua ya!”, agak lumrah kita dengar. Biasanya dalam suasana kegembiraan menyambut kejayaan menyempurnakan ibadat puasa itu, semua pihak menunjukkan perasaan ceria dan mesra. Salam dihulur akan disambut. Permohonan maaf ditutur juga akan disahut.

Namun, sejauhmanakah sambutan salam itu benar-benar ikhlas dari hati yang mahu menjalinkan silaturrahim? Atau, pemberian maaf dituturkan itu sememangnya dengan niat memaafkan si peminta maaf?

Tidak dinafikan, sebahagian besar perbuatan dan tutur-bicara khalayak terlibat itu mungkin benar-benar merealisasikan apa yang tersirat di hati masing-masing. Mereka benar-benar ikhlas bermaafan atas rasa ukhuwah dan silaturrahim yang terjalin erat.

Namun, tidak juga boleh dinafikan bahawa kerap berlaku suasana permohonan maaf sebegitu tidak lebih daripada hanya sebuah “lakonan”. Lebih tepat lagi, ia sekadar memenuhi tuntutan adat berhari raya. Seolah-olahnya pelakon-pelakon itu terpaksa menerima hakikat, “apakan daya sudah menjadi adat menyambut Hari Raya, orang bermaafan, maka aku pun perlu berbuat demikian”.

Tuntutan bermaafan
“Tuntutan bermaafan ini sebenarnya wajib hukumnya apabila ada buat salah. Kita buat salah dengan orang, kita wajib minta maaf. Banyak peringatan dari al-Quran dan hadith berhubung betapa perlunya memohon maaf kepada seseorang yang kita buat salah padanya. Sehingga dikatakan Allah SWT pun tidak bersedia memaafkan kita selagi orang yang kita buat salah itu tidak memaafkan kita,” jelas pendakwah bebas, Ustaz Termizi @ Mansor Hussin, 45.

Menurut ulama muda yang giat menyebarkan ilmunya di Setiu, Terengganu ini, hukum memohon maaf di masa-masa biasa adalah sunat saja. Katanya, ia lebih sebagai tanda kita cermat dalam soal hubungan dengan sesama manusia.

“Lalu kita tidak tunggu jelas nyata buat salah dengan orang baru nak minta maaf. Kita sentiasa terbuka dan membiasakan diri memohon maaf. Itulah sebaiknya”, ujar beliau.

Baginya, membiasakan diri dengan menginsafi kesalahan dan memohon maaf itu bertepatan dengan sifat kita sebagai manusia yang lemah dan tidak luput dari melakukan kesilapan dan kesalahan. Justeru, tuntutan memohon maaf itu tidak sayugia ditangguhkan kepada hari atau tempat tertentu, termasuk menunggu kehadiran 1 Syawal.

“Seeloknya tiap hari (memohon maaf), atau lebih khusus lagi setiap ada berlakunya kesalahan, bersegeralah bermaaf-maafan. Ini sangat perlu untuk betulkan keadaan, kerana sebagai manusia kita tak lekang daripada melakukan kesalahan”, sambungnya lagi.

Pandangan beliau itu turut dikongsi Dr. Azman Ibrahim, 37, pengusaha klinik pergigian di Kubang Kerian, Kelantan. Beliau malah amat kesal dengan sikap sebilangan anggota masyarakat yang gemar menangguh-nangguhkan permohonan maaf.

“Bermaafan adalah tuntutan agama bagi memadamkan kekhilafan (perselisihan) yang berlaku antara kita sesama manusia. Patutkah kita menunggu saat 1 Syawal untuk menghulurkan tangan sedangkan kekhilafan boleh berlaku tanpa mengira waktu dan tempat? Ditambah lagi tiada siapa boleh mempastikan ajalnya cuma akan tiba selepas Idulfitri”, beliau mengingatkan.

Apatah lagi, katanya, dengan kecanggihan teknologi sekarang, mesej permohonan maaf boleh disampaikan dengan pelbagai metod yang cepat dan mudah. Kita boleh menggunakan telefon, sms, facebook, skype, messenger dan pelbagai lagi.

“Malang bagi seorang anak yang cuma menunggu 1 Syawal untuk upacara bermaafan dengan ibu bapa. Malang juga bagi seorang isteri yang menunggu hari raya untuk ‘berlakon’ memohon maaf dengan suami”, sambung Dr. Azman lagi.

Justeru, katanya, sikap terbaik yang patut diambil umat Islam ialah bermaafan dengan segera sebaik kita menyedari berlaku kekhilafan dengan mana-mana pihak. Paling penting, katanya lagi, ialah kita jadikan bermaafan sebagai tuntutan agama, bukan kerana mengikuti adat semata-mata.

“Banyak sudah dijadikan adat. Apabila ditentukan hanya pada pagi Syawal misalnya, ia sudah jadi adat. Sedangkan seperti disebutkan tadi bermaafan ini tanpa mengira waktu yang khusus. Begitu juga apabila menggunakan kad raya, sms dan sebagainya, pakat hantar, bermusim, itu dah jadi adat.

“Ada yang saja-saja ikut serta buat, seolah-olah tak boleh atau tak meriah kalau tak pakat-pakat minta maaf dengan cara itu. Sedangkan sebahagian mereka yang hantar kad, sms dan sebagainya itu mereka berjumpa hari-hari, dah sering meminta maaf banyak kali dah, tapi hantar kad juga, hantar sms juga, sebab orang lain pakat buat masa tu. Itu adatlah la tu”, kata Ustaz Termizi pula.

Sepertimana Dr. Azman, Ustaz Termizi juga amat tidak setuju dengan tabiat umat Islam kini yang seolah-olah mengkhususkan hanya di Hari Raya untuk tujuan bermaafan.

“Minta maaf hanya di pagi Syawal adalah adat. Sepatutnya stiap kesalahan terus mohon maaf, tak perlu tunggu Syawal. Mana boleh macam tu (tunggu Syawal)... macam kita nak taubat, tunggu pergi ke Mekah, duduk depan Kaabah atau dalam Masjidil Haram, baru nak taubat? Sedangkan kesalahan kita dengan Tuhan bertimbun-timbun... itu fahaman yang salah, sangat silap!”, tegasnya, sekaligus menyimpulkan perbualan kami.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan ERA Muslimah, Ogos 2012 di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment