Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.
Kita sekarang
sudah berada di bulan Ramadhan al-Mubarak. Boleh jadi ketika edisi kali ini
hadir ke pasaran, para pembaca sedang asyik dengan usaha masing-masing mencari
rahmat Allah, sepertimana dijanjikan Baginda saw, di permulaan bulan mulia ini.
Atau mungkin ia
menemui pembaca pada sepertiga kedua, yang dijanjikan keampunan dari sisi Allah
untuk mereka yang taat mengerjakan ibadat puasa. Di mana pun kita pada ketika
ini, diharapkan kita semua sedang giat mengoptimakan manfaat kehadiran bulan
penuh berkat ini.
Amat rugi
seandainya kita membiarkannya berlalu begitu sahaja, tanpa direbut
peluang-peluang dihidangkan di sisi Allah menerusi berbagai amal ibadat yang
sukar ditemui di bulan-bulan lain.
Sewaktu coretan
ini ditaip, pihak kami sebetulnya di dalam proses terakhir untuk merealisasikan
hasrat memanfaatkan teknologi multimedia untuk penyebaran ilmu dan dakwah Islam.
Alhamdulillah, ada ruang sangat selesa untuk kami persembahkan kandungan
majalah kami kepada para pembaca menerusi pasaran maya, App Store.
Barang diizin
Allah, bermula edisi ini dan seterusnya, majalah Dian – Ihya’ as-Sunnah akan
dapat dilanggan menerusi i-Pad dan i-Phone. Maklumat lanjut mengenainya ada
kami paparkan di halaman khusus majalah ini. Andai hasrat itu dapat
direalisasikan, kami bakal menjadi pihak pertama di kalangan majalah agama di
negara ini, bahkan mungkin di rantau ini, yang berbuat demikian.
Ia bukan
bermaksud untuk berbangga, tetapi sekadar berkongsi kegembiraan dengan para
pembaca sekalian atas pencapaian bermakna ini. Mudah-mudahan ia bakal memberi
peluang lebih selesa buat sebilangan pembaca, terutama mereka yang mungkin
berdepan kesulitan tersendiri mendapatkan naskhah majalah kami selama ini.
Selamat
menyempurnakan ibadat puasa, dan tidak terlalu awal juga untuk kami ucapkan
Selamat Hari Raya Idulfitri. Wassalam.
Akhukum fil
Islam,
Mohd Nasir Awang
(Artikel ini adalah catatan EDITORIAL majalah DIAN - Ihya' as-Sunnah, Bil: 8 (Ogos 2012) dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment