Sunday, July 1, 2012

Ambil “insurans” untuk tampung kecacatan puasa

Oleh: Mohd Nasir Awang

Muqoddimah
Amal ibadat untuk taqarrub ilallah merupakan satu tuntutan kepada setiap individu muslim di sepanjang kehidupan. Tuntutan itu tidak dikhususkan pada bulan-bulan tertentu sahaja.

Cuma mungkin apabila datangnya musim atau bulan utama, yang diketahui ada kelebihan yang khusus padanya, umat Islam disaran mempertingkatkan amal ibadat melebihi waktu-waktu lain.

Menjadi tabiat dan naluri semulajadi setiap manusia sukakan kelebihan. Lalu berbekalkan pengetahuan dan pemerhatian terhadap amalan generasi orang tua, umat Islam akan berlumba-lumba mempertingkatkan amal ibadat mereka di sebarang kesempatan yang datang.

Keghairahan merebut peluang mendapatkan kelebihan itu bagaimana pun kerap menjerumuskan umat Islam ke dalam kekeliruan. Semuanya berpunca kerana mereka tidak mendalami ilmu dan maklumat berhubung amal ibadat dimaksudkan secara sahih.

Kebanyakan mereka turut mengamalkan sesuatu hanya berdasarkan tradisi atau ikut-ikutan. Manakala yang lain pula memetik sandaran kelebihan-kelebihan amal itu daripada apa jua sumber yang melintas di hadapan mereka. Hanya sebahagian yang benar-benar memberati aspek kesahihan nas berhubung sesuatu amalan.

Sebab itu, tidak mengejutkan apabila didapati tidak sedikit pemahaman umum mengenai keistimewaan amalan pada sesuatu bulan atau waktu sebenarnya bersalahan dengan saranan sebenar di sisi agama. Pemahaman atau kepercayaan itu malah tidak mempunyai sandaran nas yang kukuh.

Kelebihan Rejab dan Syaaban

Itulah yang terserlah apabila kami mengajukan soalan kepada seorang ilmuan Islam terkenal, Dato’ Dr Johari Mat, mengenai dakwaan sebahagian umat Islam berhubung galakan mengamalkan puasa sunat pada bulan Rejab. Sehinggakan bual bicara mengenai kelebihan amalan itu menjadi bahan perkongsian paling rancak di laman-laman sembang sosial.

“Sebenarnya pada bulan Rejab ini tidak ada suatu arahan atau dalil daripada hadith Rasulullah saw, yang menuntut supaya ada amalan-amalan tertentu. Puasa sunat digalakkan seperti biasa. Tidak ada puasa pada 20 Rejab, contohnya, tidak ada puasa awal Rejab ke. Tidak ada sesuatu yang disyariatkan secara yang khusus. Ia seperti bulan-bulan yang lain juga,” tegasnya.

Bagaimana pun, menurutnya, hakikat berbeza tersurat untuk bulan Syaaban. Sememangnya di bulan ini umat Islam digalakkan berpuasa lebih daripada bulan-bulan lain.

“Berbanding dengan Rejab, Syaaban ada arahan itu. Sehingga diriwayatkan Rasulullah saw berpuasa di kebanyakan Syaaban. Ada sebahagian hadith yang mengatakan Rasulullah berpuasa sunat pada Syaaban ini sepenuhnya, ada yang menyebut tidak sepenuh tapi hampir-hampir penuh,” Dr Johari menerangkan perbezaan itu.

Bagi Ahli Dewan Negara dari Kelantan ini, galakan itu merupakan satu keistimewaan yang ada pada bulan Syaaban. Ia sebenarnya sebagai persediaan untuk menghadapi Ramadhan.

Sehubungan itu, beliau turut menegur satu lagi salah faham masyarakat Islam yang berpegang kononnya selepas separuh Syaaban (Nisfu Syaaban), tidak digalakkan lagi berpuasa sunat.

“Sebenarnya boleh puasa, tapi tidak mula di sini, dengan Nisfu Syaaban. Dia berpuasa sejak dari awal bulan. Puasa yang paling baik ialah puasa sebagaimana yang Nabi saw sebut; puasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa pada “Hari-Hari Putih” – 13, 14, 15 setiap bulan, tak kira hari apa. Kemudian puasa kalau boleh lagi, buka sehari, puasa sehari – selang sehari,” jelasnya, sekaligus menafikan fahaman disebutkan itu.

Keistimewaan puasa
Ibadat puasa semestinya mempunyai keistimewaan tersendiri. Selain dijanjikan pahala yang banyak bagi orang yang mengerjakannya, hakikat puasa itu turut mendorong kebaikan-kebaikan yang lain.

“Puasa ni asal (zahirnya) tak makan-tak minum. Tapi dia pergi lebih lagi, berpuasa anggota, puasa keinginan. Anggota tubuh badan kita tak buat perkara yang Allah larang. Kalau bercakap pun, tidak bercakap yang tidak baik.”

“Begitulah juga keinginan. Apa-apa yang bercanggah dengan agama, kita ketepikan. Sebenarnya, puasa ni nak melatih seseorang itu supaya jiwa dia bersih, dan apabila jiwa dia bersih betul, dia jadi seorang yang solehin. Dan (puasa Ramadhan) ini merupakan latihan, masuk kem lah... setahun sekali, kita panggil latihan memartabatkan seseorang muslim. Pada 11 bulan yang lain, kita sentiasa dalam latihan, tapi ini kemuncak latihan, kita masuk kem Ramadhan,” hurainya beranalogi.

Persediaan memasuki Ramadhan
Bekas Ketua Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di Nilam Puri ini selanjutnya menyenaraikan beberapa perkara yang wajar dibuat sebelum dan sepanjang Ramadhan.

Pertama, katanya, bertaubat nasuha. Menurutnya, walau pun taubat dituntut pada setiap waktu, tetapi ia lebih diwajibkan lagi sebelum masuk Ramadhan. Beliau memetik ayat al-Quran, Surah An-Nur ayat 31, sebagai dalil mewajibkan taubat.

“Kedua, berbaik dengan semua orang dan lupakan perseteruan atau perkelahian. Ini juga sebelum kita melangkah masuk ke bulan Ramadhan. Mana-mana perkelahian atau permusuhan, kita kena damaikan dan kita melupakan kesalahan orang lain terhadap kita. Kalau tidak, kita masuk Ramadhan, kita puasa, kita sembahyang, tapi puasa kita, sembahyang kita boleh pahala kat orang, sebab kita buat salah kat orang,” beliau mengingatkan.

Perkara seterusnya yang perlu dibuat, katanya, ialah bertaubat daripada kederhakaan terhadap ibubapa. Orang yang derhaka terhadap ibubapa memang berdosa besar dan boleh membawa seseorang itu tidak masuk syurga. Rasulullah saw bersabda dalam hadith diriwayatkan oleh Hakim (hadith sahih): Tiga golongan yang tidak masuk syurga – orang yang derhaka terhadap ibubapa; orang dayus dan orang lelaki yang menjadi perempuan.

Dr Johari turut menyenaraikan tuntutan belajar memahami puasa (Fiqhus-Siyam) sebagai salah satu perkara yang perlu diberikan perhatian. Dalam ertikata lain, sebelum memasuki Ramadhan, kita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu bagaimana berpuasa, adab-adabnya dan juga perkara yang berkaitan dengan puasa, seperti iktikaf, tarawih, zakat fitrah, sedekah dan sebagainya.

“Kelima, berazam dengan sungguh-sungguh untuk memakmurkan Ramadhan dengan amal soleh. Keenam, memperbanyakkan membaca al-Quran. Baca al-Quran memang sunat yang digalakkan setiap masa, tapi lebih lagi digalakkan pada bulan Ramadhan, berbanding bulan-bulan lain,” hurainya lagi.

Beliau turut menyeru umat Islam mengambil kesempatan kehadiran Ramadhan untuk tidak meninggalkan solat berjamaah, sebagai menyahut jaminan Nabi saw: Siapa yang solat berjamaah 40 hari berturut-turut dengan mendapat takbir pertama bersama imam, mendapat jaminan dua kelepasan; daripada api neraka dan sifat nifak (HR At-Tirmizi).

Kelapan, katanya, sebelum dan dalam Ramadhan juga kita dituntut memperbanyakkan amal-amal sunat, sehingga Allah mengasihi kita. Beliau memetik firman Allah menerusi hadith Qudsi yang bermaksud: “HambaKu sentiasa bertaqarub kepadaKu dengan melakukan amalan sunat, sehingga Aku kasih kepadanya.” Justeru, sesiapa yang ingin mendapat kasih Allah, maka hendaklah dia memperbanyakkan amalan sunat.

“Kesembilan, melakukan umrah di bulan Ramadhan. Pahalanya sangat besar, ia sama seperti mengerjakan haji dan umrah bersama Rasulullah saw,” sambungnya, seraya memetik dua buah hadith muttafaq ‘alaih sebagai sandaran hujahnya itu.

Iktikaf dan “Insurans”
Sebagai menyimpulkan keistimewaan Ramadhan, Dr Johari menyebutkan secara khusus dua amalan paling digalakkan. Pertama, katanya, iktikaf yang dianggap sangat sinonim dengan ibadat puasa Ramadhan. Bahawa Rasulullah saw kebiasaannya menumpukan amalan itu pada 10 terakhir Ramadhan. Bahkan, pada tahun terakhir sebelum kewafatannya, Baginda saw menumpukan 20 hari terakhir untuk iktikaf.

“Yang kedua “insurans”. Puasa ni kalau kita boleh ibarat, serupa kita beli kereta baru, kita ambil insurans nombor satu. Kerana dibimbangi kereta accident (kemalangan) atau apa saja. Begitu juga puasa. Ia mungkin jadi kemek, cedera (cacat). Jadi kita kena ambil “insurans” atau takaful,” lontarnya, sekali lagi beranalogi.

Ada pun “insurans” dimaksudkannya ialah dengan cara kita memberi seseorang berbuka pada setiap hari di bulan Ramadhan. Rasionalnya, apabila kita memberi seseorang berbuka puasa, maka kita akan mendapat pahala puasanya, tanpa dikurangkan pahala untuknya walau sedikit pun. Dengan pahala itu, dapat kita cover (tampung) sebarang kecacatan yang mungkin berlaku ke atas puasa kita.

Ya, menarik bukan lontaran ini? Justeru, mengapa tidak setiap kita merebut peluang ini? Tanamkanlah azam untuk memberi makan orang berbuka puasa, dengan sumbangan makanan pada kadar yang boleh mengenyangkan seseorang itu.

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan ERA Muslimah, Edisi Julai 2012, di ruangan TOPIK dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment