Assalamu’alaikum warahmatullah,
Bismillahirrahmanirrahim.
Ramadhan
al-Mubarak bakal menjelma lagi. Sepertimana namanya, bulan ini memang diberkati
Allah dan Dia memenuhinya dengan berbagai keberkatan. Di antara gambaran luaran
paling menyerlahkan keberkatan itu ialah betapa bersemarak dan makmurnya
Ramadhan dengan segala kelainannya berbanding bulan-bulan lain.
Keghairahan dan
ketekunan umat Islam menyempurnakan bermacam amal ibadat bagaikan mencapai
tahap puncak di bulan mulia ini. Walhal semua tahu betapa amal ibadat untuk
taqarrub ilallah merupakan satu tuntutan kepada kita di sepanjang kehidupan, tanpa
dikhususkan pada bulan-bulan tertentu.
Pun begitu, kita turut diajar bahawa setiap amal ibadat itu ada tingkatan
ganjaran berbeza mengikut masa dan tempat ia dilaksanakan. Solat di rumah
umpamanya, tidak sama darjah ganjaran berbanding solat di masjid. Begitulah
juga apabila solat sama dilaksanakan di Masjidil Haram Mekah, ganjarannya tidak
sama. Lebih tidak sama lagi sekiranya ia dilakukan di bulan Ramadhan.
Begitulah tingkatan ganjaran berbeza yang kita fahami, bagi setiap amal
ibadat. Walau pun ia suatu tuntutan sepanjang hayat, dan setiap kali
melaksanakannya kita diberi jaminan ganjaran, “keuntungannya” menjadi lebih berganda
apabila datangnya musim-musim utama seperti Ramadhan. Ada kelebihan dan
keistimewaan tersendiri yang telah dijamin Allah dan Rasul-Nya bagi setiap amal
pada bulan penuh berkat ini.
Sebab itu Islam menggalakkan umatnya mempertingkatkan amal ibadat di
sepanjang Ramadhan. Ia datang hanya sekali setahun. Peluang ini tidak wajar
dibiarkan berlalu tanpa kita mengambil segala daya usaha mengoptimakan manfaat
kehadirannya.
Selain menyempurnakan amalan puasa yang wajib, perbanyakkanlah
amalan-amalan sunat, terutama yang kerap disenaraikan para ulama bersandarkan
apa yang pernah dicontohkan oleh Baginda saw terlebih dahulu. Antaranya seperti
beriktikaf di masjid, memberi makan orang berbuka, bersolat tarawih,
bersedekah, membaca al-Quran, menunaikan umrah, mentadarus al-Quran,
qiyamullail, berzikir dan beristighfar, memohon syurga serta menjauhi neraka.
Maka ucapkanlah
selamat datang kepada Ramadhan al-Mubarak. Semoga kehadirannya benar-benar
memberi keberkatan kepada kita semua. Wassalam.
Al-faqir
illallah,
Mohd Nasir Awang
(Artikel ini disiarkan majalah DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 7 (Julai 2012) di bawah kolum EDITORIAL dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment