Wednesday, July 25, 2012

RM2,500 sekali ceramah? Uyyo... mana kami ada duit?

Oleh: Mat Zain Mat Isa

“Tiga ratus rial (ringgit)? Tak banyak ke tu?”, terjah ketua sebuah cawangan PAS. Beliau lantas mencadangkan agar jumlah itu dikurangkan kepada hanya separuh (RM150), atau mungkin ditambah sedikit lagi menjadi RM200.

“Tak sampai hati lah nak bagi kat Abang Mat RM200 je. Penat-lelah dia mari jauh-jauh, minyak kereta lagi, belanja makan-minum dia pulak. Kalau ikutkan, RM300 tu pun tak cukup,” sanggah bendahari cawangan tersebut.

Agak berpanjangan juga kira bicara antara mereka dan beberapa yang lain di belakang pentas. Perkara dibahaskan itu ialah soal wang saguhati yang nak diberikan kepada penceramah utama dalam majlis yang sedang berlangsung di cawangan mereka malam itu.

“Alahh... dia mari jauh-jauh pun, bukan untuk ceramah kat kita setempat jah. Malam kelmarin di Kemaman, semalam (malam tadi) kat Tok Guru (di Rusila, Marang), malam esok katanya di Kubang Kerian. Tiga empat malam juga sekaligus... situ sikit, sini sikit (saguhati), jadi banyak la tu...”, bentak salah seorang petugas yang turut berada di situ, sekaligus cuba menjustifikasi angka saguhati RM200 dicadangkan sang ketua tadi.

Di atas pentas, penceramah dimaksudkan sedang menguasai malam itu. Kelantangan suaranya mengemukakan hujah dan fakta, diselang-seli dengan jenaka dan usikan, benar-benar menghidupkan majlis itu. Dari belakang dapat dilihat dengan jelas bajunya lencun dek kesungguhan memberi penerangan kepada hadirin.

Beliau tidak lain daripada Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu. Ya.. siapa tidak kenal personaliti yang lebih mesra dipanggil Abang Mat itu, penceramah tersohor dan malar segar. Beliau antara hanya segelintir pemimpin PAS yang mampu mengekalkan populariti di pentas ceramah menjangkau tiga dekad. Keupayaannya memukau pendengar dalam setiap kesempatan amat sukar ditandingi.

Sedari usia mudanya, bermula sebagai pendukung Dewan Pemuda PAS Pusat pertengahan 80-an, Abang Mat bagaikan tidak pernah ketinggalan mengambil bahagian sangat aktif memberi penerangan kepada masyarakat berkenaan perjuangan dan pendirian partinya. Apa jua isu melanda negara, bual bicara mengenainya tidak akan lengkap tanpa suara dan pandangan Abang Mat. Para peminat ceramah bagaikan tidak akan puas hati selagi tidak mendengar ulasan dan pidato beliau.

Beliau boleh dianggap penceramah paling top sepanjang zaman. Itu semua orang tahu dan rasanya tidak ada masalah bagi sesiapa pun untuk memperakui hakikat itu. Melainkan orang itu benar-benar “ada masalah” dengan Abang Mat.

Namun, yang tidak ramai orang mahu ambil tahu ialah soal pembiayaan perjalanan beliau ke sana ke mari. Boleh jadi mereka beranggapan itu bukan urusan mereka. Boleh jadi juga mereka sudah sedia maklum mengenai “nasib” atau tahap kemampuan parti mereka dalam hal itu.

Sebab itu, dalam tradisi PAS tidak pernah berlaku kes penceramah ambil kesempatan atas popularitinya untuk menentukan harga kemunculannya. Demi Allah, setakat yang penulis kenal Abang Mat dan beberapa pemidato hebat PAS, hal itu tidak berlaku, tidak pernah dan insya Allah tidak akan berlaku.

Jangan dikatakan untuk memastikan bayaran sejumlah ditetapkan, di ketika tertentu bilamana penganjur menghulurkan jumlah terlalu jauh dari mencukupi pun, amat sukar kedengaran sebarang rungutan daripada pihak beliau. Pejuang tulen seperti mereka terbukti tidak pernah meletakkan soal imbuhan sebagai syarat kehadiran beliau ke mana-mana tempat.

Penulis tidak bermaksud menyanjung peribadi pejuang itu secara berlebihan. Kerana, turut layak berkongsi penghargaan serupa, pada pandangan penulis ialah beberapa pejuang mustadhafin lain yang seangkatan dan senasib dengan Abang Mat. Antara mereka termasuklah Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar dan Almarhum Ustaz Buniyamin Yaakob.

Kesemua mereka ini adalah penceramah bertaraf “A” dalam PAS. Tapi kesemua mereka juga penulis tahu ada cerita tersendiri mengenai kes-kes “memilukan”. Contohnya, antara mereka ada yang berbekalkan hanya beberapa ringgit menempuh perjalanan beratus batu semata-mata untuk memenuhi undangan daripada ahli PAS.

Mereka tetap hadir, walau pun tidak ada sebarang jaminan akan diberikan saguhati berbaloi atau sekurang-kurangnya berpadanan dengan kepenatan, keluangan masa dan seumpamanya. Sedangkan mereka adalah penceramah sepenuh masa, dan tidak ada masa terluang lagi untuk melakukan kerja lain untuk kehidupan mereka.

Itulah keadaan menimpa mereka, sekurang-kurangnya untuk belasan tahun, sehingga mereka dianugerahkan kemenangan dalam pilihan raya. Lalu ada yang memikirkan mereka tidak perlu lagi diberikan saguhati perjalanan. Sedangkan elaun wakil rakyat bukan alasan untuk mereka tidak berhak mendapat bayaran saguhati. Biarkanlah elaun itu digunakan untuk kepentingan rakyat yang mereka wakili.

Mendetailkan kes yang berlaku ke atas Abang Mat dan lain-lain itu hanyalah sebagai kes kajian untuk dijadikan contoh. Mudah-mudahan imbauan semula apa yang berlaku ke atas mereka itu memudahkan mereka yang belum faham, memahami keperitan perjuangan PAS. Bahawa parti ini adalah parti yang miskin, parti mustadhafin, yang bergerak sepenuhnya di atas pembiayaan poket-poket ahlinya.

Bahawa soal kewangan amat sensitif dan dititikberatkan dalam PAS. Ibarat kata orang Amerika, “they watch every dime” (mereka meneliti setiap puluh sen) dalam membelanjakan duit parti. Berjimat-cermat adalah tradisi. Berlebihan dalam perbelanjaan adalah perkara yang mesti dielakkan. Jauh sekali untuk membazir.

Sebab itu soal pemberian saguhati kepada penceramah sering menjadi perkara yang diambil beratkan. Apatah lagi kesempatan mengadakan majlis ceramah bertaraf “A” di peringkat cawangan atau kawasan hanya sekali-sekala. Di situlah menjadi antara punca pendapatan utama untuk sesebuah cawangan atau kawasan.

Maka, sekiranya “terlalu banyak” bahagian daripada hasil kutipan dihabiskan untuk belanja “duit minyak” penceramah, ia suatu yang tidak menyenangkan mereka dan sebolehnya cuba dielakkan. Malangnya, itulah yang mula kedengaran mutakhir ini.

“RM2,500 sekali ceramah? Uyyoo... tak mampu lah kami. Nak cari mana duit sebanyak tu? Kalau orang (pendengar) mari 10 ribu pun, belum tentu boleh kutip RM3,000. Belanja lain-lain macamana?”, rengus seorang ketua cawangan yang ditawarkan kehadiran seorang pendatang baru di pentas PAS.

Yang lain pula sempat menambah, “Tu (RM2,500) kalau bagi Mat Sabu RM500 sekali ceramah pun, boleh dah buat panggil lima kali dia mari ceramah...”

Sebab itu penulis tertarik dengan secebis ingatan dari Pak Samad Said kepada pelbagai pihak yang menyertai PAS mutakhir ini. Katanya, “saya senang bahawa apa juga tindakan itu harus jujur, harus tulus, harus ikhlas. Itu asasnya”.

(Artikel ini adalah versi lebih panjang (sebelum potong) kepada artikel disiarkan akhbar Harakah Bil: 1763, 27 Julai 2012 di ruangan 'KOLUMNIS' F22, dengan tajuk serupa. Versi dicetak itu turut dipetik laman http://www.detikdaily.net/ pada 29 Julai)

No comments:

Post a Comment