Thursday, July 19, 2012

Apabila Umno iktiraf kepemimpinan tokoh PAS


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui apa faktor utama mendorong para pemimpin Barisan Nasional (BN) Terengganu begitu “berlapang dada” memberikan anugerah kepada seorang pemimpin veteran PAS negeri itu minggu lalu. Lebih menjadi tanda tanya ialah apabila parti itu memilih untuk memanfaatkan kehadiran pemimpin nombor satunya untuk menyampaikan sendiri anugerah itu kepada tokoh tersebut.

Itulah persoalan yang timbul ekoran majlis Perdana Menteri bersama warga UiTM di Dungun, Jumaat (13 Julai) lalu. Salah satu aturcara di majlis itu ialah penyampaian Anugerah Tokoh Terbilang kepada bekas Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Abdul Wahab Yunus.

Cerita bergambar mengenainya dilaporkan akhbar-akhbar harian edisi Terengganu pada Sabtu dan Ahad. Mungkin ada “strategi politik” di sebalik tindakan BN memberikan anugerah sebegitu besar kepada tokoh dari parti lawannya itu. Wallahu a’lam.

Apa pun niat sebenar BN, anugerah itu memang suatu yang agak luar biasa dan istimewa untuk seorang tokoh parti lawannya. Sanjungan diterima Abdul Wahab itu turut dipanjangkan media cetak.

Salah satu akhbar itu menamakan beliau sebagai “tokoh pemimpin cemerlang”. Gambar Dato’ Seri Najib Razak sedang memakaikan setanjak/tengkolok ke kepala Abdul Wahab yang berkerusi roda dipaparkan. Bersamanya tertulis: “Najib memakaikan tanjak kepada Abdul Wahab Yunus penerima tokoh pemimpin cemerlang sambil diperhatikan Ahmad Said...”

Sebuah harian lain keesokannya memanfaatkan dua halamannya memuatkan 11 gambar di bawah tajuk “Lawatan PM ke Dungun”. Dua gambar itu bercerita mengenai anugerah diterima Abdul Wahab. Beliau disifatkan sebagai “tokoh masyarakat yang banyak berjasa”.

Baca keterangan salah satu gambar itu, “ANUGERAH... Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sedang memakaikan tengkolok kepada Wahab Yunus sebagai simbolik penganugerahan Tokoh Terbilang oleh Barisan Nasional (BN) Dungun kepada tokoh masyarakat yang banyak berjasa itu.”

Itulah ironisnya. Jika mahu dikatakan tokoh tersebut telah banyak berjasa kepada BN, terutama parti Umno di negeri itu, fakta perjuangan politik dan sosial beliau sama sekali tidak membantu memperkukuhkan dakwaan tersebut.

Sebaliknya, meneliti sejarah penglibatan aktif tokoh itu akan hanya menyebabkan orang mengiktiraf peranan terbaik dimainkannya sepanjang bersama saf kepimpinan PAS di semua peringkat suatu ketika dulu.

Abdul Wahab yang menyertai PAS pada 9 Ogos 1956 pernah memegang berbagai jawatan, di hampir semua peringkat organisasi parti. Di kawasan Dungun, beliau pernah menjadi Setiausaha Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan (1957-1960), Ketua DPP Dungun (1960-1961), Setiausaha PAS Kawasan Dungun (1960-1975) dan Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun (1979-1983).

Kepimpinannya di peringkat negeri terakam menerusi jawatan Ketua DPP Negeri Terengganu (1965-1969), diikuti jawatan-jawatan Bendahari, Setiausaha dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu (1968-1975), sebelum menjawat Pesuruhjaya PAS Terengganu (1975-1982).

Di peringkat Pusat, Abdul Wahab pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1973-1975), Bendahari Agung PAS (1977-1979) dan AJK PAS Pusat (1979-1983).

Abdul Wahab mula bertanding mewakili PAS dalam Pilihan Raya Umum 1964. Walau pun ia tahun paling malang bagi PAS (selepas kehilangan kerajaan Terengganu pada 1961), nasib Abdul Wahab agak baik. Beliau menang di Dun Ulu Dungun dan menjadi salah seorang di antara hanya tiga Adun PAS di Terengganu pada penggal itu.

Pada 1969, beliau memenangi kerusi Parlimen Dungun. Kerusi itu dipertahankannya pada 1974. Walau pun bertanding atas tiket BN, beliau mewakili kuota untuk PAS. Dengan kemenangan itu juga, beserta jawatannya yang kanan di peringkat PAS Pusat, Abdul Wahab dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan (14 April 1977-17 November 1977).

Inilah satu-satunya tempoh waktu yang boleh ditemui di mana tokoh ini berkhidmat kepada rakyat di bawah sepanduk BN. Selepas PAS diusir keluar dari BN, Abdul Wahab membina semula partinya menentang BN. Bahkan, dalam dua pilihan raya umum selepas itu (1978 dan 1982), beliau menjadi calon PAS di Parlimen Dungun dan Dun Jerangau, tetapi tidak menang.

Selepas berlaku krisis kepimpinan PAS membabitkan bekas Presidennya, Dato’ Mohd Asri Muda, Abdul Wahab menyertai pemimpin itu menubuhkan Hamim. Beliau kemudian dikatakan menubuhkan partinya sendiri yang tidak begitu popular.

Abdul Wahab diketahui terlibat dengan perniagaan. Beliau juga aktif sebagai salah seorang peneraju Persatuan Sejarah Terengganu. Namun, tidak diketahui sepanjang tempoh itu beliau memberikan khidmat kepada masyarakat menerusi mana-mana peringkat organisasi BN.

Justeru, anugerah diberikan BN kepada beliau secara sinikal boleh dianggap sebagai “mengiktiraf” kepemimpinan PAS terhadap masyarakat di daerah atau negeri tersebut. PAS sendiri terlebih awal memberikan pengiktirafan untuk itu. Beliau tersenarai di antara 20 Penerima Anugerah Tokoh Jubli Emas PAS Terengganu, Julai 2006 lalu.

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah, Bil: 1761, 20 Julai 2012, di ruangan KOLUMNIS, F15 dengan tajuk serupa)

No comments:

Post a Comment