“Terengganu buleh ke PAS balik... tapi 18 kerusi je,”
ujar seorang rakan di Besut, dengan nada dan raut muka penuh yakin, minggu
lalu.
Maksudnya, Terengganu insya Allah akan dapat ditawan
semula oleh PAS dalam pilihan raya umum nanti. Bagaimana pun majoriti
kemenangan itu tidak besar, berbeza hanya empat kerusi. PAS dikatakan akan
menang 18 kerusi berbanding Barisan Nasional (BN) 14 kerusi.
Rakan itu, yang juga seorang pesara tentera, mendakwa
maklumat itu diperolehinya daripada adiknya yang didakwanya sangat rapat dengan
“sumber risikan Umno”. Penjelasannya mengenai sumber berita itu menyebabkan
penulis yang pada awalnya agak mahu percaya, terus menjadi ragu.
Memang sukar dipercayai Umno akan membocorkan hasil
risikannya. Apatah lagi jika maklumat itu sesuatu yang tidak begitu
memberangsangkan buat parti itu. Amat tidak logik, bahkan bertentangan dengan
ego dan kesombongan para pemimpin Umno yang kita ketahui, untuk mereka
membocorkan maklumat berhubung kekalahan yang bakal menimpa parti itu, bukan?
Atau, jika pun betul penyebaran maklumat itu memang
dimulai oleh “sumber risikan Umno”, ia mungkin sengaja disebarkan sedemikian
rupa dengan strategi tersendiri yang tidak sukar difahami. Mereka mungkin
bermaksud mewujudkan suasana selesa dan ‘over-confidence’ di kalangan pendokong
Pakatan Rakyat, khususnya PAS. Dengan itu, mereka berharap para pendokong parti
itu akan ‘terlena dibuai mimpi’.
Pun begitu, agar sukar juga untuk ditolak mentah-mentah
ramalan tadi. Apatah lagi itu bukan kali pertama fakta serupa diperkatakan. Cakap-cakap
mengenai kemungkinan PAS akan menang di Terengganu dengan ‘majoriti tipis’
sudah kedengaran di serata negeri sejak kebelakangan ini.
Ia bukan sahaja diperkatakan di kalangan orang PAS,
tetapi turut menjadi topik perbualan aktivis dan pendokong parti lawan. Begitu
juga khalayak pemerhati dan ‘orang atas pagar’.
Sebelum itu pun penulis sudah dengar dan baca berbagai
pihak menyebutkan perkara itu. Walau pun angka-angkanya sedikit berbeza antara
mereka, namun ia tidak lari daripada andaian bahawa PAS akan menang ‘tipis’ di
Terengganu.
Pernah suatu ketika seorang aktivis Perantau (sebuah
perkumpulan anak-anak Terengganu penyokong PAS di perantauan) melontarkan
perangkaan sama. Katanya, “PAS sudah pasti menang 17 kerusi, tinggal nak tambah
beberapa (kerusi) lagi, nak bagi secure
sikit”.
Seorang rakan dari Kuala Terengganu, yang memang penulis
tahu ada hubungan agak rapat dengan Jabatan Pilihanraya PAS Negeri (JPN), juga
pernah menyebutkan harapan serupa. “Insya Allah kita akan perintah balik. Tipis
pun tak apa, janji memerintah”, katanya, agak optimis.
Alasan dan sandaran kepada keyakinan itu agak pelbagai.
Sepertimana yang penulis sebutkan dalam coretan lalu, antara pemangkin utama
kejatuhan BN/Umno ialah kebangkitan anak muda bersama PAS. Komitmen dan
kesungguhan yang ditunjukkan kelompok ini amat bermakna buat parti Islam itu.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
sangat bijak meraikan semangat dan sentimen anak-anak muda ini. Dalam ucapan
beliau sewaktu merasmikan Himpunan Hijau peringkat negeri itu di Marang dua
minggu lalu, Tuan Guru sempat secara khusus mengusik jiwa membara ribuan pemuda
yang tekun menghayati amanatnya pagi itu.
Dalam menafsirkan persiapan menghadapi musuh, beliau
mengibaratkan “kuda tunggangan” dalam ayat Allah itu menyamai
“motosikal-motosikal” di zaman ini. Apa lagi, bagai diduga penafsiran itu terus
disahut dengan laungan takbir.
Anak-anak muda yang ada di situ merasakan maksud ayat itu
semacam ditujukan kepada mereka. Mereka merasakan kehadiran mereka dihargai,
keterlibatan mereka amat diperlukan. Lebih penting lagi, sumbangan mereka
diyakini bakal membuahkan hasil yang baik untuk parti dan agama.
Inilah kecenderungan yang merata di seluruh negeri.
Kebangkitan anak-anak muda bersama PAS sudah bergelombang dan tidak upaya lagi
diempang oleh BN/Umno, walau pun dengan berbagai pujukan dan tipuan.
“Besut macam mana Zain... boleh menang dak?”, tanya Dr. Syed
Azman Syed Ahmad Nawawi, sewaktu berkunjung ke rumah penulis.
Ahh... mahu saja penulis jawab seperti jawaban diberikan
oleh Rasulullah saw kepada Jibril as: “Tidaklah yang ditanya itu lebih tahu
daripada yang bertanya”.
Ya, Dr. Syed Azman adalah Adun Batu Burok. Tentu banyak
maklumat politik dan pilihan raya peringkat negeri berada dalam koceknya.
Beliau juga Timbalan Setiausaha Agung PAS, yang sudah tentu terdedah dengan
berbagai maklumat perkembangan politik seluruh negara.
Namun, pertanyaan itu juga rupa-rupanya menjadi persoalan
banyak pihak. Saudara Shuhaimi Embong, seorang aktivis Perantau di ibukota,
pernah melontarkan, “apakah Besut akan kekal sebagai ‘Pintu Tawan Terengganu’?
Ataukah gelaran itu akan diambilalih oleh Kemaman pula?”
Maksudnya, dulu gelombang kemenangan dikatakan datang
dari arah Kelantan. Maka dulu dikatakan untuk memenangi Terengganu, PAS perlu
menang banyak kerusi di Besut. Namun, apakah hakikat sama masih relevan dengan
percaturan kini yang melihat gelombang kemenangan datang dari arah Pantai Barat
pula?
Secebis maklumat dari rakan di Besut tadi mungkin
menjawab pertanyaan itu. Katanya, “dalam 18 kerusi (yang didakwanya dimenangi
PAS) itu pun... sa habuk takdak di Besut!”
Alamak... nampak gayanya, kawan-kawan di Besut kena kerja
lebih kuat lagi lah!
(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1760, 16 Julai 2012 di ruangan KOLUMNIS F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment