Sunday, July 1, 2012

Huraian dalil sahih sebagai sendi hukum

Oleh: Mohd Nasir Awang

Kitab ini merupakan syarah kepada al-Umdatul-Ahkam, sebuah kitab ditulis Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Majid. Kitab tersohor itu memuatkan himpunan hadith-hadith Nabi saw yang sahih yang dipilih dan disaring dari dua kitab yang agung, iaitu Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Syeikh Abdul Ghani memilih hadith-hadith dari dua kitab ini dan menyusunnya berdasarkan kaedah penyusunan bab-bab yang biasa dibuat para fuqaha dalam kitab-kitab furu’, bermula dengan kitab taharah (bersuci), kitab solat, jenazah, zakat, puasa dan seterusnya, sehingga diakhiri kitab memerdekakan hamba. Penyusunan sedemikian dipercayai membantu memudahkan orang yang berhasrat menghafal dan mendalaminya.

Terdapat 420 hadith menyentuh kesemua bab dimaksudkan, yang mengambil berbagai masalah dari dalil-dalilnya yang sahih, yang merupakan dasar dan sendi utama hukum Islam.

Ada pun usaha dibuat Syeikh Abdullah bin Abdurrahman Ali Bassam melalui kitab syarah ini pula ialah menghuraikan hadith-hadith pilihan tersebut. Setiap hadith itu tidak didatangkan sekadar matan dan terjemahan maksudnya sahaja. Ia bahkan diikuti penghuraian secara agak terperinci.

Ia disampaikan dengan bahasa yang mudah, senang difahami dan dihadam secara menyeluruh, sehingga masalah-masalahnya tidak bercelaru, yang hanya cenderung mendatangkan kebingungan dan kesulitan para pembaca memahaminya.

Bagi maksud itu, pengarang syarah ini memperincikan perbahasan setiap hadith menerusi beberapa pecahan huraian. Antaranya, menerusi penjelasan lafaz setiap perkataan atau kalimah.

Beliau turut memperturunkan makna hadith secara global, mencari penyesuaian dengan zahir lafaz dan menjelaskan apa yang terkandung di balik lafaz-lafaznya, yang berupa hikmah dan ketetapan hukum. Selain itu beliau turut menyelami makna tersirat dalam susunan kalimat dan kata-katanya, agar faedah hadith menjadi lebih sempurna dan pembahasannya lebih lengkap.

Dalam keadaan terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama berhubung intipati hadith dibicarakan, pengarang mengemukakan hanya pendapat-pendapat yang kuat di antara mereka, dengan menyertakan dalil dan sumber pengambilan hujah mereka, tanpa mempedulikan perbezaan pendapat yang lemah dan yang tidak dilandaskan kepada dalil-dalil yang kuat. Hal demikian agar pembaca tidak terseret ke pemikiran yang bersimpang-siur tanpa ada manfaatnya.

Pengarang kemudian turut menyenaraikan kesimpulan, hukum dan faedah dari setiap hadith, dalam bentuk ceraian numerikal yang mudah difahami dan diingati. - Editor

INFO BUKU:
Judul: SYARAH HADITS PILIHAN BUKHARI MUSLIM
Judul Asli: Taisirul Allam Syarh Umdatul Ahkam
Penulis: Abdullah bin Abdurrahman Ali Bassam
Penerbit Edisi Asal: Maktabah As-Sawady Lit-Tauzi’, Jeddah, cet. Vii, 1412/1992
Penterjemah: Kathur Suhardi
Penerbit Edisi Terjemahan: Darul Falah, Jakarta, Indonesia.
Tahun: 1429/2008M, Cetakan Ketujuh (Cetakan Pertama, 1423/2002M).

 (Artikel ini disiarkan majalah DIAN - Ihya As-Sunnah, Edisi 7 (Julai 2012) di bawah kolum RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment