Sunday, July 22, 2012

Besut komited sumbang kerusi menangkan Terengganu


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Bagai diduga, artikel penulis bertajuk “PAS tawan Terengganu  tanpa Besut?” yang tersiar dalam Edisi Isnin, 16 Julai mendapat perhatian agak luar biasa daripada pembaca Harakah, termasuk sebilangan pemimpin dan pendukung PAS khususnya di negeri itu sendiri. Penulis katakan luar biasa kerana reaksi atau komentar balas terhadapnya daripada pelbagai pihak diterima agak cepat, berbanding tulisan-tulisan sebelum ini.

Reaksi spontan yang penulis terima daripada sebilangan pemimpin PAS dan beberapa pemerhati politik sekitar negeri itu agak pelbagai. Sebahagian besarnya, alhamdulillah memberikan komen balas amat rasional dan positif. Mereka mampu mengambil coretan itu sebagai bahan koreksi diri ke arah mempertingkatkan mutu gerakerja dalaman parti.

Namun, ada juga yang tidak begitu gemar, sedari awal membaca tajuk artikel itu lagi. Lalu komentar dan andaian mereka yang menyusul selepas itu banyak menjurus ke arah negatif, sehinggakan ada yang menganggap penulis sengaja meremehkan keupayaan PAS Besut.

Astaghfirullah al-Azim, agak mendukacitakan apabila masih ada di kalangan aktivis parti di zaman ledakan maklumat ini yang gemar ‘menilai buku berdasarkan judul’. Lalu mereka sebegitu mudah melompat kepada kesimpulan hanya dengan membaca tajuk, tanpa peduli untuk memahami apa sebenarnya yang dibahaskan dalam sesuatu tulisan.

“Memang ada sahabat-sahabat (pendukung PAS di Besut) yang berpandangan begitu (negatif terhadap tulisan itu). Saya nasihatkan mereka membaca dengan betul (artikel tersebut) dan cuba fahami maksud penulis. Tidak ada apa yang salah... ia sebenarnya minta kita buat kerja lebih kuat kalau betul-betul nak menang macam kawasan-kawasan lain,” ujar Setiausaha PAS Kawasan Besut, Aminuddin Muhammad Ali.

Reaksi tersebut sedikit melegakan penulis. Sebagai ‘orang lama’ yang terlibat dalam kepimpinan kawasan tersebut dan sayap pemudanya sejak lebih dua dekad lalu, Aminuddin terbukti lebih mudah menyelami arah tuju lontaran idea penulis berbanding sebilangan teman lain.

Sepertimana yang penuliskan sebutkan dalam artikel tersebut, Besut sebelum ini memang diberikan jolokan ‘Pintu Tawan Terengganu’. Nama itu sudah lama kedengaran, sejurus selepas kemenangan PAS di Kelantan pada 1990 lalu. Antara yang mula melontarkan jolokan itu ialah Anuwa Jamalullail, seorang penulis politik kelahiran Besut juga.

Artikel-artikel oleh para penulis politik ketika itu juga banyak mendesak PAS memanfaatkan momentum kemenangan negeri Cik Siti Wan Kembang itu bagi menjadikan Terengganu sebagai ‘Kelantan Kedua’. Maka bagi merealisasikan hasrat itu, secara logiknya ‘pintu’ masuk kemenangan dari Kelantan ke Terengganu ialah melalui Besut.

Jolokan itu semakin dijulang untuk dijadikan kenyataan apabila Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu melancarkan kempen 3T, iaitu ‘Tahun Tawan Terengganu’. Sasaran mereka ialah merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) lewat Pilihan Raya Umum (PRU) 1995.

Walau pun sasaran itu gagal direalisasikan, kemenangan diimpikan datang juga sepenggal kemudian. Terbukti apabila PAS berjaya menawan Terengganu pada 1999, Besut menjadi antara penyumbang utama. Kesemua lima kerusi di kawasan itu (empat Dun, satu Parlimen) disapu bersih oleh PAS.

Dengan kemenangan mutlak itu, tidak ada pihak yang boleh menafikan jika dikatakan bahawa jolokan ‘Besut Pintu Tawan Terengganu’ telah berjaya direalisasikan oleh teman-teman pejuang di daerah itu.

Malangnya, keadaan tidak lagi serupa setelah BN merampas semula negeri itu daripada PAS pada 2004. Besut menerima tamparan paling hebat, terutama apabila kepimpinan utama BN Terengganu diterajui orang daerah itu. Kekuatan BN negeri bagaikan berpusat di Besut.

Begitu juga, kezaliman dan kejahatan BN Terengganu dilihat hasil cetusan para pemimpin Umno Besut. Dalam istilah tempatan, boleh dikatakan bahawa ‘kepala-kepala pengat’ Umno Terengganu majoritinya berada di Besut.

Taktik dan strategi politik dilaksanakan BN menyebabkan Besut menjadi antara kawasan paling sukar dimenangi PAS. Anggapan itu selalunya mengambilkira majoriti kekalahan dalam pilihan raya sebelumnya.

Berdasarkan keputusan PRU 2008, kesemua kerusi di kawasan itu berada di bawah sasaran 20 kerusi yang mesti dimenangi PAS untuk merampas negeri. Kerusi terbaik di Besut hanya berada di tangga ke-21, iaitu Hulu Besut, yang calonnya tewas kepada BN dengan majoriti 2,453. Senarai terdekat pula ialah kerusi Kuala Besut, pada tangga ke-24.

“Memang kita (PAS Besut) akui kita tak masuk senarai 20 (kerusi) target (PAS) negeri (yang mesti dimenangi untuk tawan Terengganu). Apatah lagi bila disebut hanya 18 kerusi tu (sepertimana dalam artikel penulis lalu), makin lah tak masuk senarai. Tapi kami bertegas tidak mahu ketinggalan memberikan sumbangan (kerusi) untuk merampas semula negeri ini dalam pilihan raya nanti,” ujar Aminuddin penuh yakin.

Beliau menaruh harapan dan keyakinan agak tinggi PAS Besut mampu menyumbang dua, atau paling kurang satu kerusi, untuk memenangkan partinya di Terengganu. Kerusi manakah dimaksudkan beliau, dan apakah sandaran keyakinan beliau itu, insya Allah akan kita bicarakan kemudian

(Artikel ini disiarkan akhbar Harakah Bil: 1762, 23 Julai 2012 di ruangan KOLUMNIS F22 dengan tajuk serupa)

No comments:

Post a Comment