Baru-baru ini tersebar berita yang, bagi kita, agak
menggemparkan. Ia berkenaan seorang artis wanita di Barat. Empat lelaki tampil
mendakwa masing-masing sebagai bapa kepada seorang anak kecil yang ada bersama
artis tersebut. Sedangkan sebelum itu umum menyangka anak itu adalah hasil
perkongsian hidup beliau dengan suaminya.
Hakikat itu bermakna ada lima lelaki, termasuk suaminya, yang
berkemungkinan menjadi bapa biologi atau bapa sebenar kepada anak itu. Keadaan
itu juga bererti kesemua lelaki itu pernah menjalin hubungan seks dengan artis
tersebut, tanpa mengira kekerapan hubungan antara mereka. Begitulah mengikut
pendedahan kesemua lelaki tersebut, sebagai menguatkan dakwaan masing-masing
terhadap nasab keturunan si anak itu.
Di negara Barat, amalan zina atau seks bebas adalah
perkara biasa dan bukan suatu yang dianggap jijik. Jauh sekali untuk diharapkan
mereka mengaitkan perbuatan sedemikian dengan perhitungan dosa atau pahala.
Justeru, walau pun kegemparan kes tersebut bagi kita di
sebelah sini khususnya masyarakat beragama Islam, adalah suatu isu moral yang
sangat meruntuhkan dan berkait rapat dengan tatasusila sosial, ia sebaliknya bukan
suatu yang memalukan bagi mereka di sana. Ia dianggap perkara biasa yang boleh
berlaku kepada sesiapa sahaja.
“Sebenarnya apa yang berlaku itu mengiyakan apa yang
dikatakan para ulama Islam selama ini, bahawa di antara kesan atau musibah
perbuatan zina ialah membunuh perasaan malu. Malu di sisi Islam satu hal yang
amat diambil berat. Di sisi agama kita, ia dianggap perhiasan sangat indah,
khasnya bagi wanita. Tapi bagi seorang penzina ni, malu dah tak ada. Dia boleh “buka”
segala-gala,” demikian komen Dr Abdullah Mohamad, membuka bual bicara kami mengenai
topik “apabila zina lebih mudah dari kahwin”.
Menurutnya, dalam kes itu, bukan sahaja artis wanita itu
tidak malu mengakui pernah ditiduri lima lelaki (atau jumlah sebenar mungkin
bukan sekadar lima itu sahaja?), bahkan suaminya juga tidak malu diketahui
orang memiliki seorang isteri yang pernah menjadi bahan “pakaian” lelaki-lelaki
lain.
Beliau yang merupakan pensyarah di Jabatan Pendidikan
Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu,
selanjutnya menghuraikan selain hilang perasaan malu, perbuatan zina yang
berleluasa juga menghilangkan rasa cemburu, terutama di kalangan pasangan
suami-isteri. Sekali lagi beliau merujuk kepada kes tadi.
“Sebab itu kita lihat di negara-negara Barat, dia boleh
bertukar pasangan, sebabnya masing-masing serupa perangai. Baik yang lelaki,
sama ada yang bergelar teman lelaki atau suami, begitu juga perempuan, sebagai
teman wanita atau isteri. Jadi apabila serupa (perangai lelaki dan perempuan)
tu, hilang perasaan cemburu,” ulasnya.
Tambahnya lagi, kes artis tadi juga menjadi bukti
benarnya kebimbangan Islam tentang kecelaruan nasab keturunan seseorang akibat
perbuatan zina. Apakah lagi yang dapat disimpulkan apabila ada lima orang
lelaki berebut mengaku bapa kepada seorang anak, walau pun artis itu sudah
bersuami?
“Dari perspektif kekeluargaan, apabila zina berleluasa, yang
paling besar sekali akan berlaku ialah hilangnya nasab keturunan. Sebab itu
kita tengok bagaimana di negara-negara Barat hari ini, kita baca dalam media, berlaku
kes bagaimana nak mengesan anak mereka, cara terbaik ialah melalui ujian DNA.
Sebab banyak kes berlaku, tak tahu siapa bapa sebenar. Bapa kepala botak,
tiba-tiba anak comel (contohnya). Jadi masing-masing mengaku, dia ni mengaku
anak dia, dia tu mengaku anak dia. Jadi salah satu cara penentuan (ialah) buat
ujian DNA,” komennya, seraya turut mengaitkannya dengan kes disebutkan di atas.
Baginya, kes tersebut, walau pun berlaku ke atas
sekumpulan individu bukan Islam, ia sewajarnya dijadikan bahan renungan dan
peringatan kepada kita umat Islam. Apatah lagi gejala merosakkan itu sudah
menampakkan tanda-tanda semakin menjadi amalan di kalangan masyarakat Islam,
termasuk di negara kita sendiri.
Perangkaan dan kenyataan yang pernah dikeluarkan pelbagai
pihak berkaitan pendaftaran anak luar nikah adalah satu petunjuk yang tidak
wajar dipandang remeh. Jumlah kelahiran anak yang diistilahkan sebagai ‘tak sah
taraf’ dikatakan semakin meningkat tahun ke tahun.
Dr Abdullah lantas memetik perangkaan yang pernah
disiarkan media, bahawa untuk tahun 2008 sahaja, seramai lebih 28,000 anak luar
nikah didaftarkan di negara ini. Perangkaan untuk tahun sama juga mencatatkan
sejumlah 250,000 sijil kelahiran anak tanpa nama bapa di negara kita.
“Statistik pernah dikeluarkan sebuah stesen TV sebelum
ini, dalam setiap satu jam, enam orang anak luar nikah dilahirkan, di negara
kita. Setiap satu jam, bermakna setiap 10 minit seorang,” terjahnya dalam nada
serius.
Perkembangan itu, katanya, sudah cukup untuk kita
memandang serius kecenderungan seks bebas, terutama di kalangan remaja negara
ini. Lebih-lebih lagi sebahagian besar mereka yang terbabit dengan kelahiran
anak luar nikah itu adalah dari bangsa Melayu beragama Islam sendiri.
Akibat seks bebas atau zina jugalah, katanya, mendorong
kepada perleluasaan kes-kes buang bayi. Secara logiknya, pasangan yang sah
nikah sudah tentu tidak akan mengambil tindakan tersebut. Ertinya, kesemua kes
buang bayi itu dapat disimpulkan adalah hasil hubungan terlarang atau zina.
Lebih membimbangkan, katanya, ialah apabila kecenderungan
di kalangan remaja yang menjadikan budaya seks bebas sebagai jalan hidup
semakin menular kepada kanak-kanak di usia awal belasan tahun.
Beliau menarik perhatian kepada kes yang dilaporkan media
baru-baru ini, di mana wujudnya istilah baru dinamakan “chikaro”, menggantikan
bohsia. Dikatakan kanak-kanak perempuan bawah umur dijadikan sebagai pertaruhan
kepada mat-mat rempit.
“Sekarang ni kita tengok dalam berita baru-baru ini
“chikaro” yang berumur serendah 11 tahun, menjadi rebutan mat-mat rempit yang
menang dalam perlumbaan. Sekiranya memang lumba motor, dia dapat “chikaro”.
Umurnya baru 11 tahun, Darjah Lima, ini keluar dalam berita suratkhabar
baru-baru ini. Kenapa sampai jadi macam tu?”, terjahnya lagi.
Apabila diselidiki, didapati antara puncanya ialah
keluarga yang bermasalah. Keluarga kanak-kanak itu didapati tidak menjadikan
agama sebagai asas dalam kehidupan mereka, menyebabkan anak hidup terbiar. Lalu
anak tadi memilih cara hidup bohsia atau “chikaro” sebagai jalan hidupnya.
“Antara punca berlaku itu dan ini ialah apabila agama
diabaikan. Apabila agama ditinggalkan, maka berlakulah kefasadan, kerosakan,
kerana mereka telah mengabaikan amanah, tanggungjawab. Bapa tidak melaksanakan
tanggungjawab sebagai bapa, ibu abaikan tanggungjawab sebagai ibu.”
“Sebab itulah saya selalu kata: Kalau kambing tak balik
petang, ayah pergi cari sampai malam. Tapi kalau anak dara tak balik sampai
pukul 11 malam, ayah bersusah pergi cari. Apa ayah kata? Nanti balik la tu,
sampai masa dia balik lah!,” ujarnya sinis.
Baginya, inilah bukti betapa ada ibubapa sekarang yang
lebih sayangkan hartanya (ternakan) berbanding anak-anak. Sedangkan, sepatutnya
di situlah tanggungjawab terbesar ibubapa. Di mana, kalau ibubapa betul-betul
memantau pergerakan dan perbuatan anak-anak, nescaya tidak akan ada anak
perempuan yang membonceng motor lelaki selewat pukul 11 atau 12 malam.
Justeru, katanya, dalam keadaan “zina lebih mudah dari
kahwin” seakan-akan sudah menjadi kenyataan, umat Islam mestilah kembali kepada
ajaran agama dan mengambilnya sebagai teras hidup.
“Islam sebenarnya mempunyai pendekatan tersendiri
menangani permasalahan ini (zina). Antaranya apa yang disarankan Nabi saw: “Wahai
Pemuda-Pemuda! Sekiranya kamu mampu untuk berkahwin, kamu kena kahwin!” Itu dalam
konteks Islam. Jadi kahwinlah,” gesa dr Abdullah lagi.
Beliau seterusnya memetik sebuah kisah yang berlaku di
zaman Rasulullah saw. Apabila mendengar Rasulullah menyuruh pemuda berkahwin, datang
seorang pemuda kepadanya seraya berkata: “Ya Rasulullah, aku tak mampu nak
kahwin”. Rasulullah bertanya: Kenapa kamu tak mampu?” Pemuda itu menjawab: “Aku
tidak ada harta.”
“Lalu Rasulullah saw berkata: An-Nisa’ ya’ti bil-maal. Perempuan (isteri) akan bawa harta kepada
kamu. Jadi lelaki tadi termenung, macamana perempuan bawa harta? Rasulullah saw
lantas menerangkan, kalau kamu tidak kahwin, kamu tidak akan ada rasa
tanggungjawab. Tak ada rasa nak buat apa, nak kerja rajin-rajin, tak perlu.
Boleh RM3 sehari pun rasa dah cukup. Tapi bila kamu kahwin, mari rasa tanggungjawab,
mula-mula tanggungjawab nak bela isteri, lepas tu tanggungjawab nak bela anak, nak
besarkan keluarga dan sebagainya.”
“Sebab itu Rasulullah kata: Perempuan akan bawa harta kepada
kamu. Perempuan itu tidak bekerja (untuk kamu), tetapi dia akan bahawa harta, (dalam)
maknanya suami itu akan rajin (mencari harta),” ulasnya.
Malangnya, galakan Rasulullah saw kepada remaja-remaja
supaya kahwin di usia muda ini bukan sahaja tidak dipandang berat oleh umat
Islam mutakhir ini, malah dianggap suatu perkara yang tidak tepat. Sehinggakan
dalam amsyarakat kita sekarang ini kalau berlaku perkahwinan di usia 16 tahun
dikira kahwin bawah umur. Sedangkan
itulah usia yang disebut Rasulullah paling sesuai bagi perempuan melangsungkan
perkahwinan.
Beliau turut meluahkan rasa kurang senang dengan
kecenderungan masyarakat kita menyukarkan proses perkahwinan. Antaranya dengan
mengenakan maskahwin atau mahar yang tinggi. Masing-masing seakan
berlumba-lumba menaikkan mahar. Sehinggakan jika seorang lelaki memiliki kurang
daripada RM10 ribu, dia tidak akan berani masuk meminang anak orang.
“Kedua, berlakunya perbezaan status antara lelaki dan perempuan.
Hari ini kalau kita tengok dalam masyarakat kita, golongan perempuan
mendominasi kerjaya yang agak tinggi, sedangkan kaum lelaki bekerja biasa. Sebab
itu kita tengok bagaimana berlakunya andartu, yang agak dah berleluasa. Antara
puncanya, mereka ini nak cari orang yang sama level dengan mereka. Dalam masa
sama, level yang sama dengan mereka itu dah lama kahwin. Jadi umur mereka semakin
lanjut, semakin tua,” katanya.
Manakala faktor ketiga, menurutnya, ialah kerjaya. Hari ini
ramai yang mengejar kerjaya, baik lelaki mahu pun perempuan. Akibat terlalu
asyik dengan kerja, sebilangan mereka lupa untuk kahwin, atau hilang keinginan dan
keghairahan untuk berumahtangga, lupa kepada hidup berkeluarga. Gejala ini juga
bukan suatu yang baik di sisi agama.
Kesemua itu tidak patut berlaku, terutama apabila kehidupan
kita kembali kepada Islam. Agama kita menggalakkan perkahwinan, terutama dalam
usia yang muda. Bahkan, Nabi saw ada berkata, “kahwinlah kamu, aku sangat suka
umat aku ramai di akhirat nanti”.
“Di ketika lain, Nabi saw bersabda: “Nikah itu sunnah aku.
Siapa-siapa yang meninggalkan sunnah aku dia bukan dari golongan aku.” Sebab itu
kena nikah, antaranya untuk sambung zuriat keturunan,” sambung Dr Abdullah lagi.
Tambahan pula, di masa sama Baginda saw turut
mengingatkan tentang keburukan zina. Sabdanya: “Umatku akan terus berada dalam
kebaikan selama tidak tersebar luasnya anak zina di kalangan mereka. Apabila anak
zina tersebar luas di kalangan mereka, maka hampir saja Allah Azza wa Jalla
akan menurunkan azab seksa kepada mereka seluruhnya.” (HR Imam Ahmad)
Ya, dengan itu dapat disimpulkan bahawa apabila zina
lebih mudah dari kahwin, bererti amalan kehidupan kita sudah tunggang-terbalik.
Keadaan itu sama sekali berlawanan dengan apa yang disuruh dan digalakkan
agama. Yang sepatutnya dipermudahkan ialah kahwin. Yang sepatutnya dihalang dan
dibasmikan ialah zina.
Jika benar zina sudah menjadi lebih mudah dari kahwin,
bermakna kita sudah tidak lagi meletakkan ajaran agama sebagai penentu jalan
hidup!
(Artikel ini disiarkan majalah Era Muslimah, Edisi Jun 2012 di ruangan TOPIK dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment