Sunday, July 1, 2012

Khalifah terpaut kejujuran anak penjual susu


Amirul Mukminin Saidina Umar bin al-Khattab ra memang dikenali sebagai seorang pemimpin yang tegas dan teliti dalam melaksanakan pemerintahannya. Bagi memastikan rakyatnya menjalani kehidupan bertepatan dengan hukum dan ajaran Islam, beliau sendiri turut melibatkan diri dalam banyak urusan kehidupan mereka.

Kisah-kisah bagaimana Umar ra berada di berbagai tempat meninjau keadaan masyarakat, sama ada siang mahu pun malam, amat banyak diceritakan. Sebilangannya malah menjadi kisah teladan yang kerap dipetik para pendakwah Islam, sama ada menerusi tulisan mahu pun ucapan mereka.

Di antara kisah yang secara jelas menggambarkan keprihatinan Umar ra terhadap kebajikan rakyatnya serta ketaatan mereka kepada ajaran Islam ialah dalam aspek penguatkuasaan peraturan jual-beli yang ketat dan bebas daripada sebarang penipuan serta penindasan. Umar ra misalnya sangat keras menentang amalan monopoli dalam perniagaan. Beliau juga amat tidak senang dengan sebarang bentuk manipulasi, penindasan atau penipuan.

Bagi memastikan hukum dan peraturan jual-beli menurut Islam benar-benar dihayati dan digunapakai dalam masyarakat, Umar ra kerap turun sendiri ke pasar-pasar sekitar Madinah. Beliau malah melantik beberapa pegawainya untuk mengawasi keadaan di sana. Antara mereka yang pernah ditugaskan memantau perniagaan di pasar-pasar ialah As-Saib ibnu Yazid dan Abdullah ibn Utbah ibn Mas’ud (As-Sallaabee, 2010).

Diriwayatkan suatu hari, sewaktu sedang meronda sebuah kawasan perniagaan, tidak semena-mena Umar ra terlihat seorang peniaga sedang mencampurkan susu yang hendak dijualnya dengan air. Perbuatan itu dipercayai bagi membanyakkan jumlah ‘susu’ yang boleh dijualnya, dengan hasrat mendapatkan keuntungan yang lebih.

Umar ra sangat terganggu dengan penipuan yang disaksikannya sendiri itu. Beliau yang terkenal sangat tegas dan keras dalam tindakannya lantas mendapatkan peniaga terbabit. Tanpa banyak bersoal-jawab, Umar terus sahaja mendapatkan bekas berisi susu itu lantas mencurahkan kesemuanya ke tanah.

Terkejut dengan tindakan itu, si peniaga itu cuba menghalang, tetapi tidak meneruskan hasratnya apabila menyedari bahawa orang yang sedang memusnahkan susunya itu tidak lain daripada Amirul Mukminin sendiri. Bukan itu sahaja, peniaga yang tidak jujur itu dikenakan hukuman sepadan. Umar ra lantas mengarahkan pegawainya mengumumkan peraturan mengharamkan perbuatan mencampurkan susu yang hendak dijual dengan air.

Ditakdirkan Allah Ta’ala, peraturan itulah juga yang menjadi punca memaut hatinya menjadikan seorang perempuan sebagai menantunya. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid bin Aslam, daripada ayahnya, daripada datuknya, Aslam ra, ia berkata, “ketika itu aku bersama Umar bin al-Khattab meronda sekeliling kota Madinah di malam hari. Menjelang tengah malam, lantaran terlalu kepenatan, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika. Umar bersandar ke dinding sebuah bangunan. Tiba-tiba dia terdengar di sebalik dinding itu suara seorang ibu berbicara kepada anak perempuannya, “wahai puteriku, campurkan susu ini dengan air.”

Ahhh!!! Ungkapan itu memang suatu yang amat membangkitkan rasa tidak senang di hati Umar ra. Apatah lagi beliau sudah pun mengeluarkan arahan agar perbuatan menipu dalam perniagaan itu dihentikan. Rupanya kesungguhan beliau dan pemerintahannya memperbetulkan amalan buruk dalam masyarakat masih belum benar-benar dihayati.

Umar semakin memasang telinganya ke arah suara tersebut. Alhamdulillah, jawaban anak wanita itu bagaikan mengubati kekecewaannya sejurus tadi. Anak perempuannya menjawab, “wahai ibuku, apakah engkau belum mengetahui ketetapan dasar terbaru yang dikeluarkan oleh Amirul Mukminin?”

Ibunya bertanya, “wahai puteriku, apa ketetapannya?”

Kata anak perempuannya, “Amirul Mukminin telah memerintahkan seorang pegawainya  mengumumkan agar jangan sesiapa mencampur susu untuk jualan dengan air.”

Ketegasan sang anak itu ternyata amat menyenangkan hati Umar ra yang mendengar perbualan mereka.

Si ibu itu bagaimanapun terus mengherdik anaknya. “Sudahlah! Campurkan susu itu dengan air. Bukankah kita kini berada di tempat yang tidak dapat dilihat oleh Umar dan pegawainya itu”, si ibu cuba meyakinkan sang anak, sekira-kira bermaksud tidak ada apa yang perlu dibimbangkan, kerana mereka tidak mungkin tertangkap dan dihukum oleh Umar atau pegawainya di atas pelanggaran peraturan itu.

Umar semakin tertunggu-tunggu apa pula reaksi sang anak. Dan apa yang dituturkan anak perempuan itu memang amat memuaskan hatinya. Kata sang anak kepada ibunya, “wahai ibu, demi Allah, tidak patut bagiku mentaati Umar di hadapannya dan mendurhakainya di belakangnya.”

Subhanallah! Perasaan Umar bagai tersentap oleh jawaban sang anak itu. Hatinya segera terpaut oleh kejujuran dan kemurnian akhlak anak perempuan itu. Beliau terdorong mengenali lebih lanjut mengenai mereka berdua, khususnya sang anak itu.

Lalu dia berkata kepada Aslam, “tandai pintu rumah ini dan ingat-ingat tempat ini.” Mereka berdua kemudiannya melanjutkan rondaan ke tempat lain.

Keesokan pagi Umar berkata kepada Aslam, “kamu pergilah ke tempat malam tadi. Dapatkan maklumat siapakah wanita tuan empunya suara yang kita dengar itu dan siapa pula yang menjadi lawan bicaranya. Pastikan juga apakah kedua-dua mereka bersuami atau tidak.”

Aslam lantas mengunjungi semula tempat tersebut. Rumah dimaksudkan itu tidak sukar ditemui, memandangkan beliau telah mengamati sebaiknya tempat tersebut, sebagaimana diarahkan Umar ra.

Kunjungan singkat itu berhasil menemukannya dengan maklumat diperlukan Umar. Ternyata wanita itu seorang gadis yang belum bersuami. Manakala lawan bicaranya adalah ibunya yang juga tidak bersuami. Lalu Aslam pulang menyampaikan hal itu kepada Umar.

Khalifah Umar sangat gembira mendengar penerangan Aslam itu. Beliau merasakan sudah menemui seorang calon isteri yang mukminah dan diyakini berupaya melahirkan zuriat yang berakhlak terpuji. Namun, sudah tentu mengambilkira usianya yang sudah lanjut, calon itu bukanlah untuk dirinya sendiri.

Lalu Umar memanggil anak-anak lelakinya. Beliau bertanya kepada mereka, “siapakah di antara kamu yang berhasrat untuk berkahwin? Sesungguhnya ayahanda ada seorang calon isteri yang amat sesuai dinikahi. Demi Allah, seandainya ayahmu ini masih berhasrat kepada wanita, nescaya tidak seorang pun dari kamu mendahului ayahanda untuk menikahi perempuan ini.”

Dua anak lelaki Umar, iaitu Abdullah dan Abdurrahman bagaimana pun masing-masing tidak menerima tawaran ayahanda mereka, memandang kedua-dua mereka sudah pun beristeri.

Lalu berkata pula Ashim, “Ayahanda, aku belum mempunyai isteri. Nikahkanlah aku dengannya.” Umar sangat gembira mendengar kesediaan anaknya itu. Beliau lalu menguruskan rombongan meminang anak perempuan penjual susu itu.

Pinangan itu diterima dengan hati terbuka dan mereka pun bernikah. Hasil perkongsian hidup itu, mereka kemudiannya dikurniakan seorang anak perempuan yang akhirnya menjadi ibu yang melahirkan Umar bin Abdul Aziz, khalifah yang sangat terkenal dengan kewarakan dan kezuhudannya.

Terbukti firasat Umar ra amat tepat, bahawa akhlak mukminah dan keperibadian baik seorang ibu menjadi saham penting menghasilkan zuriat mukmin yang baik pula. Justeru, pemilihan calon isteri bukan suatu perkara yang wajar diambil mudah. – Mohd Nasir Awang

Rujukan:
1.      Dr Ali Muhammad Muhammad As-Sallaabee, 2010; The Biography of Umar Ibn Al-Khattaab ra. Maktaba Dar-us-Salam, Riyadh.
2.      Syaikh Mahmud al-Mishri, 2010; Sahabat-Sahabat Rasulullah saw. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta.
3.       Tuan Guru Haji Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari al-Makky, 2002. Khalifah Zuhur Umar bin Abdul Aziz. Maahad Htahfiz Darul Quran Wal Qira’at Berhad, Repek, Pasir Mas, Kelantan.

(Artikel ini disiarkan majalah DIAN - Ihya' As-Sunnah, Edisi 7 (Julai 2012) di bawah kolum SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment