Oleh: Mat Zain Mat Isa
Agak tersinggung nampaknya Menteri Pengajian Tinggi,
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan tindakan sekumpulan pelajar institusi
pengajian tinggi (IPT) menghantar batu nesan ke kementeriannya minggu lalu.
Seraya menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak matang dan hanya bertujuan
mencari publisiti murahan, beliau menegaskan pihaknya tidak terkesan dan tidak
akan turut bertindak sedemikian.
“Pemberian batu nesan kepada KPT (Kementerian Pengajian
Tinggi) itu sebenarnya tidak memberi sebarang kesan kepada pihak
kementerian...saya terima baik perkara itu kerana beranggapan mereka (pelajar)
masih belum matang. Mungkin memang betul mereka tidak matang, namun saya tidak
boleh meletakkan diri saya dalam keadaan tidak matang seperti mereka juga,”
ujarnya.
Kenyataan itu adalah sebagai reaksi beliau terhadap
tindakan sekumpulan mahasiswa berhimpun di depan bangunan KPT di Putrajaya bagi
menyerahkan memorandum kepada beliau menuntut diadakan segera pilihan raya
kampus. Difahamkan tempoh penggal majlis perwakilan mahasiswa (MPP) di beberapa
IPT telah pun berakhir sejak Februari lalu.
Penyerahan memorandum itu bagaimana pun turut disertakan
dengan seketul batu nesan, yang dianggap sebagai tanda berkuburnya demokrasi
mahasiswa. Difahamkan Setiausaha Politik menteri berkenaan menerima memorandum
itu, tetapi enggan menerima batu nesan tersebut.
Sepertimana
lazimnya di setiap kali berlaku bantahan atau demonstrasi yang kerap diikuti
dengan penyerahan memorandum atau tuntutan oleh para pelajar, menteri cenderung
memberikan reaksi awal agak serong. Kerap digambarkan kononnya tindakan
mahasiswa dalam bentuk sedemikian sebagai tidak kena dan menyalahi aturan.
Mereka disifatkan sebagai gopoh, tidak matang, bahkan kekadang dikaitkan
sebagai menjadi alat pihak-pihak lain, khususnya parti politik pembangkang.
Serentak
itu digambarkan juga betapa telus dan terbukanya pihak kementerian dalam
mendengar sebarang suara bantahan atau luahan para pelajar. Seolah-olah
pihaknya telah menyediakan saluran bersesuaian yang sepatutnya dimanfaatkan
oleh pelajar bagi meluahkan tidak puashati mereka. Lalu kumpulan pelajar
berkenaan ditempelak kerana tidak memilih mengadakan sesi dialog dan perbincangan
dengan pihaknya.
Soalnya,
apakah ini kes pertama membabitkan bantahan dan penyerahan memorandum oleh
mahasiswa tempatan kepada kementerian itu? Apakah selama ini tidak pernah ada
kumpulan pelajar menyuarakan sesuatu berhubung proses pilihan raya kampus-kampus?
Dan paling penting, apakah kementerian sangat berpuashati dengan langkah
penyelesaian dikemukakan pihaknya dan meyakini bahawa para pelajar juga
berpuashati dengan langkah itu?
Itulah
beberapa persoalan yang sepatutnya diperhalusi oleh pihak kerajaan, khususnya
KPT dalam menangani kes ini. Kerana, sepertimana sedia dimaklumi, selagi mana
perjalanan pilihan raya kampus dilihat tidak telus dan mencurigakan, selagi
itulah kes-kes seumpama yang berlaku minggu lalu itu akan terus berulang.
Bukan kita tidak tahu bagaimana
perjalanan proses pilihan raya kampus selama ini seolah-olah dipandang remeh
dan mudah. Banyak cerita kita dengar bagaimana proses perjalanannya terdedah
kepada ketidaktelusan dan tindak-laku yang amat dipertikaikan, terutama membabitkan
campurtangan dan tekanan pihak pentadbiran. Bahkan, peranan MPM yang dipilih
oleh mahasiswa pula seakan hanya menjadi pak turut kepada kehendak pihak
pentadbiran.
Itulah antara perkembangan yang
disifatkan sebagai faktor kelesuan mahasiswa dalam soal kepimpinan. Mereka
diletakkan dalam zon selesa agar tidak perlu memperjuangkan apa yang
diperlukan, kerana segalanya mudah diperolehi, asal saja mereka berdampingan
dengan pihak ‘berkuasa’. Jumlah mereka yang mendapat keputusan akademik
cemerlang mungkin semakin meningkat. Namun, di dalam konteks kepimpinan,
mahasiswa dilihat sangat lemah dan tidak berketrampilan.
Hal ini jelas dapat dilihat menerusi
tahap penglibatan mahasiswa yang sangat mendukacitakan di dalam persatuan dan
aktiviti kebajikan. Mereka lebih selesa dengan sindrom 3K iaitu kuliah, kafe
dan kolej. Apa yang dipentingkan hanyalah pencapaian akademik dan aktiviti
sosial. Persekitaran kampus seolah membentuk mereka menjadi individualistik dan
hanya mementingkan diri sendiri.
Sikap tidak mengambil berat
soal kepimpinan dan perkembangan masyarakat adalah suatu yang merugikan. Mahasiswa
tidak seharusnya dikecilkan peranan mereka, sebaliknya mereka perlu dibiasakan
dengan memikul tanggungjawab penting.
Sebab itu sebelum ini sudah ada
desakan dan tuntutan agar kelemahan proses pilihan raya kampus dan peranan MPM
diperbetulkan. Kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin
Abdulllah, dalam hal ini amat disenangi mahasiswa. Beliau mengesyorkan agar
mahasiswa diberikan hak menguruskan sendiri pilihan raya kampus. Sebagai bekas
aktivis kampus, beliau ternyata mampu menyelami hasrat mahasiswa.
Bagi khalayak yang benar-benar menghayati signifikan pilihan raya
kampus, ia dianggap proses mematangkan mahasiswa dengan kefahaman awal mengenai
politik. Pilihan raya kampus adalah medan latihan kepimpinan untuk mereka.
Justeru, biar pun mereka hanya
bertanding dan berkempen di kalangan sesama mereka, peranan proses pemilihan
itu dilihat sangat penting terutama dalam membentuk generasi pelapis kepimpinan
negara suatu hari kelak.
Tempoh pengajian di universiti
ialah ruang untuk mahasiswa mempersiapkan diri bagi menghadapi dunia sebenar.
Maka, tindakan mahasiswa menuntut diwujudkan persekitaran kondusif ke arah itu,
walau pun membabitkan penyerahan batu nesan kepada KPt, sepatutnya dinilai
sebagai bertitik-tolak daripada pemikiran yang matang dan jauh ke depan.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang kepada tulisan yang dihantar untuk siaran Harakah CETAK 30 Mac 2012)
No comments:
Post a Comment