Selain faktor ketidakadilan politik dan ekonomi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), di antara faktor lain yang turut mendorong perubahan sikap rakyat Terengganu kini ialah kesedaran hidup beragama yang semakin meningkat di dalam masyarakat. Betapa dasar dan perjalanan pemerintahan diterajui Umno gagal memenuhi kedahagaan rakyat terhadap tuntutan perubahan ini menyebabkan rakyat semakin “jinak” kepada PAS.
Perkembangan ini bagai mengesahkan ungkapan yang sejak dulu menjadi pegangan penggiat dan penganalisis politik, iaitu “di mana ada padi dan pondok, di situ ada PAS”. Maksudnya, PAS akan kuat dan bertapak kukuh di kawasan yang ada bendang padi dan pusat pengajian Islam.
Walau pun ungkapan itu pada asalnya dilontarkan sebagai suatu momokan oleh para pemimpin dan pendukung parti lawan, khususnya Umno, ia sebenarnya suatu hakikat yang sukar ditepis. Bahkan, ikatan kuat antara ‘padi-pondok-PAS’ itulah akhirnya yang menyesakkan nafas dan benar-benar memberikan masalah besar buat parti sekular itu.
Umno pada asalnya sengaja mempopularkan ungkapan tersebut bagi menggambarkan PAS sebagai tidak lebih daripada sebuah parti kampungan, parti masyarakat bendang dan tok lebai. Sedangkan, sebagai perbandingan, Umno dipelopori dan didukungi khalayak elit dan masyarakat bandar.
Namun, momokan itu kembali menjadi ‘senjata makan tuan’ buat Umno apabila PAS bijak memanipulasi sentimen yang cuba dipersendakan parti lawannya itu. Bahkan, PAS menyahut momokan Umno itu secara positif dengan mempopularkan satu lagi ungkapan iaitu, “lagi hulu, lagi kuat PAS”.
Hasilnya, PAS berjaya membina kekuatan di kawasan-kawasan dimaksudkan, seterusnya menjadikan ia pangkalan-pangkalan untuk menapak gagah mengembangkan pengaruh ke kawasan-kawasan sekitar. Bukti klasik ialah bagaimana ketika PAS berada dalam keadaan paling merosot di Terengganu, iaitu selepas kerajaannya digulingkan pada 1961, ia masih mampu mengekalkan pengaruh dan penguasaannya di beberapa tempat, khususnya di kawasan ‘hulu’.
Disebabkan terlalu ‘sakit’ akibat direntap dari tampuk kuasa, maka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1964, PAS hanya mampu bertahan di tiga kerusi di seluruh negeri itu. Bagai dibicarakan, selain kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Besut Tengah (sekarang dinamakan Dun Jerteh – kawasan bandar), dua lagi kerusi adalah sumbangan dari kawasan ‘hulu’, iaitu Ulu Besut dan Ulu Dungun.
Ertinya, biar pun diejek sebagai parti orang ‘hulu’, berbekalkan penguasaan di kerusi-kerusi inilah PAS berupaya menyambung nafas, seterusnya mengorak pencapaian amat cemerlang dalam pilihan raya seterusnya. PAS berjaya merampas 11 daripada 24 kerusi dalam PRU 1969 sekaligus membenam keegoan Umno. Undi popular diperolehinya di seluruh Terengganu pula jauh mengatasi peratus dipungut Perikatan.
Dari penelitian berbeza, ungkapan ‘padi-pondok-PAS’ tadi sebenarnya menyimpan makna lebih luas. ‘Padi’ di situ tidak terbatas hanya kepada pesawah. Ia lebih bermaksud menggambarkan jayadiri penduduk setempat di sudut ekonomi. Bahawa pekerjaan mereka tidak sepenuhnya bergantung harap kepada kerajaan.
Hal itu membentuk jiwa yang berfikiran dan berpendirian bebas, terutama dalam menentukan pendirian politik. Bukankah itulah latarbelakang pergantungan ekonomi majoriti rakyat di beberapa negeri pangkalan kekuatan PAS?
Maka dalam konteks sekarang, dengan perkembangan jatidiri rakyat yang semakin positif, tahap kebergantungan mereka kepada kerajaan juga semakin menipis, termasuk di kalangan para penjawat awam sendiri. Ertinya, dari segi semangat dan keberanian menyatakan sikap politik, rakyat kini sudah tidak lagi terkongkong oleh mitos ‘penjawat awam mesti sokong kerajaan’.
Dengan pengertian itu, boleh kita katakan bahawa semangat dari perkataan ‘padi’ tadi tidak lagi terbatas pengertiannya hanya kepada kelompok rakyat yang bekerja sendiri atau swasta. Ia telah menjadi dukungan anggota masyarakat secara menyeluruh.
Begitu juga dengan pengertian ‘pondok’ itu. Walau pun secara tradisi ia bermaksud pusat pengajian berinstitusi yang mengkhususkan pengajian kepada ilmu-ilmu tertentu mengikut silabus kitab-kitab pilihan para gurunya, konsep ‘pondok’ itu sudah semakin berkembang. Ia tidak lagi terbatas kepada ruang lingkup pendidikan berinstitusi, tetapi dijelmakan dalam bentuk kuliah dan ceramah agama walau di mana pun ia diadakan.
Sememangnya di Terengganu sendiri dari pembuktian sejarahnya, PAS mempunyai kelebihan berbanding Umno di mana-mana kawasan yang masyhur dengan kegiatan pengajian agama. Apatah lagi pusat aktiviti dan perancangan kegiatan PAS adalah sinonim dengan pusat tarbiyah atau madrasah pengajian Islam. Manakala para pelopor kepimpinannya pula kebanyakan mereka adalah juga peneraju pusat-pusat pengajian.
Bahkan, suatu hakikat yang terbukti kini, kesemua lapan kerusi dimiliki PAS adalah dari kawasan yang ada pusat pengajian Islam atau markas tarbiyah yang terisi dengan kuliah-kuliah berjadual.
Kini, kebanyakan masjid utama di daerah-daerah terisi dengan majlis-majlis ilmu. Suratan atau kebetulan, sebilangan ustaz atau pengkuliah yang masyhur dan diminati masyarakat setempat pula adalah mereka yang tidak cenderung mendukung aspirasi perjuangan Umno.
Hal itu memang disedari parti itu, tetapi amat sukar diatasi, memandangkan Umno memang tidak mampu mengetengahkan tokoh agama yang berupaya memenuhi citarasa rakyat. Sedangkan arus kesedaran rakyat yang semakin dahagakan ilmu-ilmu Islam tidak lagi dapat diempang. Itulah hakikat yang sedang menyesakkan nafas Umno Terengganu!
(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding artikel disiarkan tabloid Harakah Bil: 1725, 16 Mac 2012 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk 'Jelmaan baru semangat 3P')
No comments:
Post a Comment