Oleh: Mat Zain Mat Isa
Nampak sangat Menteri
Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said tidak menemui hujah lebih baik untuk
menjustifikasikan kekalahan Barisan Nasional (BN) di beberapa kerusi dalam
pilihan raya umum lalu, selain mengambil jalan mudah meletakkan kesalahan ke
atas pemimpin sebelumnya. Kononnya disebabkan kegagalan pemimpin terbabit
membuat penentuan lebih awal mengenai calon menyebabkan parti itu kehilangan
empat kerusi kepada PAS.
Sehubungan itu, katanya,
BN negeri cuba mengelak daripada mengemukakan calon yang disifatkan sebagai
‘payung terjun’ pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti agar kekalahan
serupa tidak berulang kali kedua.
“Saya sudah
tunjuk kepada Perdana Menteri sebab kita kalah pada PRU-12 kerana calon luar
yang tidak terlibat dalam pergerakan parti di peringkat bahagian. Seminggu
sebelum pilihan raya baru cuba untuk memperkenalkan diri mereka, ia sukar,”
media minggu lalu memetik katanya.
Walau pun tidak
menamakan empat kerusi terbabit, dapat difahami bahawa yang beliau maksudkan
ialah Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Tunggal, Sura, Ladang dan Bukit Payung
yang terlepas ke tangan PAS pada 2008.
Pada pilihan raya
lalu PAS memenangi lapan kerusi. Selain Dun-Dun disebutkan itu, empat lagi
merupakan kerusi yang telah dimenangi PAS pada 2004. Keempat-empat kerusi
tersebut, iaitu Batu Buruk, Rhu Rendang, Wakaf Mempelam dan Manir, malah sejak
sekian lama menjadi milik PAS dan dianggap kubu parti itu yang gagal ditawan
BN.
Tidak pasti
apakah perincian kelemahan dalam pemilihan calon BN yang disebutkan Ahmad itu
dimaksudkan kepada keempat-empat Dun terbabit, atau hanya sebahagian
daripadanya. Namun, jika diteliti senarai calon-calon yang kalah di situ, tidak
semuanya boleh diistilah sebagai calon ‘payung terjun’.
Sebilangan mereka
malah turut aktif bersama Umno bahagian buat beberapa ketika sebelum tibanya
musim pilihan raya. Ertinya, sebab disebutkan Ahmad itu bukanlah satu-satunya faktor
penentu kekalahan mereka.
Lagi pun, di
kalangan calon yang gagal menawan empat lagi kerusi tradisi PAS itu pun, bukan
kesemua mereka juga calon ‘payung terjun’. Malah ada yang telah mencubanya
berkali-kali, dan tidak timbul soal mereka muka yang baru cuba memperkenalkan
diri di saat pilihan raya.
Begitu juga, ada
calon yang memang muka baru, tetapi boleh memberi kemenangan kepada BN.
Contohnya, ada calon BN yang tidak lazim berada di dalam kawasan, tidak
terlibat secara aktif dengan Umno bahagian sebelumnya, tetapi Dun berkenaan
tetap dimenangi BN.
Ertinya, faktor
kemenangan BN bukan semata-mata bergantung kepada calonnya. Apatah lagi BN
terkenal sebagai parti yang mampu “mengubat” sebarang kelemahan dan kesilapan
dengan “santau” yang sangat efektif. BN ada “ubat penyembuh” yang sangat
mujarab yang mampu memesongkan pendirian rakyat dalam amsa yang singkat.
Sebab itu apabila
Ahmad memilih untuk menyalahkan kaedah pemilihan calon sebagai faktor kekalahan
BN empat tahun lalu, beliau dianggap sengaja mengkambinghitamkan bekas
penyandang Pengerusi BN Negeri sebelumnya. Taktik atau tabiat itu tidak sukar
ditelah, memandang itulah juga contoh dibuat pemimpin lebih tinggi daripadanya.
Presiden Umno
selaku Pengerusi BN dalam jelajahnya ke negeri-negeri turut menuturkan
permainan politik serupa. Dalam ucapannya, terutama di negeri-negeri diperintah
pembangkang, Dato Seri Najib Razak kerap memohon maaf kepada rakyat. Antaranya,
beliau mengaitkan sebab BN ditolak rakyat negeri-negeri terbabit ialah kerana
parti itu dinilai melakukan kesilapan atau gagal menyelesaikan kelemahan
tertentu.
Sama ada
diucapkan secara terbuka atau diselami secara tersiratnya, mesej jelas daripada
permohonan maaf Najib itu secara tidak langsung merupakan dakwaan kononnya kekalahan
BN itu adalah kesilapan pemimpin sebelumnya.
Maka begitulah
juga dalam kes Ahmad di Terengganu. Beliau seakan menyatakan bahawa pemimpin BN
negeri sebelumnya, yang juga seteru utamanya di dalam parti, telah melakukan kesilapan
besar sehingga terlepas empat Dun ke tangan PAS. Ertinya, bara permusuhan dalaman
Umno masih belum terpadam.
Namun, apa pun
pergolakan sesama mereka, biarkanlah ia berterusan begitu. PAS pula secara
positif sepatutnya mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Ahmad itu. Pertama,
ia mengisyaratkan keazaman sangat kuat di pihak BN untuk mengambil kembali
kerusi-kerusi tersebut. Dalam memastikan hasratnya tercapai, kita sedia maklum
BN sanggup melakukan apa saja cara. Justeru, jangan mengambil mudah komitmen BN
dalam hal ini.
Kedua, jika BN
yang ada segala macam ubat dan ramuan memaut rakyat pun masih menganggap
pemilihan calon di saat akhir atau ‘payung terjun’ adalah suatu yang tidak patut
berlaku, maka lebih-lebih lagilah dengan PAS. Calonnya mesti diperkenalkan jauh
lebih awal. Mereka sudah sepatutnya ‘dibisikkan’ agar turun membiasakan diri
dengan masyarakat di kawasan bakal mereka tandingi.
(Artikel ini ditulis untuk siaran Harakah CETAK 23
Mac 2012)
No comments:
Post a Comment