Kes I: “Saya seorang pelakon. Saya perlulah profesional dalam hal ini… Saya bukan nak cari kontroversi tetapi penampilan saya itu kerana menghormati skrip,” komen pelakon lelaki utama filem Puaka Tebing Biru, mengenai adegannya membuka baju dan berasmara dengan pelakon wanita filem tersebut. Adegan itu dikatakan sesuatu yang mengejutkan para peminat dan rakan-rakan artis, memandangkan sebelum itu pelakon tersebut dikenali sebagai seorang yang ‘sopan dan pemalu’.
Kes II: Pengarah filem Embun yang ditegur kerana mengarahkan pelakon lelakinya melondehkan seluar dalam ketika adegan rogol mengulas, “saya masih Melayu dan takkanlah saya membuat sesuatu di luar batasan saya sebagai seorang Melayu”.
Kes III: “Kita kena lebih pragmatik dan percaya bahawa masyarakat sudah cukup terbuka dan tidak mudah terpengaruh dengan filem. Apakah pendirian masyarakat kita terlalu goyah hingga untuk menonton filem pun memerlukan pihak lain yang memilih untuk mereka? Tidak ada masalah menonton apa juga filem, asal saja kita meononton filem tersebut menerusi laras minda yang terbuka dan jernih,” itu pula reaksi seorang pendukung industri perfileman tempatan mengenai polemik pengharaman filem Evan Almighty.
Ketiga-tiga petikan di atas bukannya rekaan, sebaliknya memang benar-benar diucap atau dicatatkan seseorang. Ia sengaja dipetik sedemikian rupa sebagai mewakili tiga watak atau pemain berbeza dalam menjayakan industri perfileman negara.
Kes pertama mewakili pelakon. Jawaban atau reaksi sedemikian agak stereotaip. Hujah yang menyandarkan kepada profesionalisme sebagai pelakon yang perlu mematuhi kehendak skrip menggambarkan betapa seorang pelakon itu sanggup melakukan apa sahaja diarahkan. Matlamat menghalalkan cara. Asal saja untuk menjayakan lakonan, ia perlu disempurnakan, tanpa mengira nilaian pihak-pihak lain.
Bahkan, ada pelakon yang sanggup mengenepikan hukum agama. Arahan pengarah filem seakan lebih utama dan lebih ‘wajib’ dipatuhi, berbanding suruhan atau larangan Tuhan. Itulah yang dapat difahami daripada pengakuan pelakon lelaki filem Embun berhubung adegannya melondehkan seluar dalam.
Beliau yang melakonkan watak seorang leftenan Jepun mengakui berbogel dan melakonkan adegan rogol itu dengan rela setelah diarahkan oleh pengarah filem, atas alasan untuk disesuaikan dengan hasrat menyertai festival filem di luar negara. Semoga Allah mengampunkan keterlanjurannya itu.
Reaksi pengarah filem sama telah dipetik sebagai kes kedua di atas. Beliau mengaku mengarahkan pelakon itu melondehkan seluar dalamnya semasa adegan rogol itu. Antara alasan diberikan ialah agar adegan itu kelihatan lebih realistik. Kononnya hal itu akan menguatkan lagi jalan cerita filem tersebut.
Paling terserlah ialah bagaimana dalam keadaan mengakui mengarahkan pelakon itu berbogel pun, dia masih merasakan belum melakukan sesuatu yang mencemarkan dirinya sebagai seorang Melayu. Apakah menurut fahamannya, berbogel itu tidak bercanggah dengan adat dan adab bangsanya?
Kes ketiga pula mewakili pandangan pihak ketiga, terutama para penonton, penganalisa, penggiat seni dan seumpamanya. Sementara sebilangan mereka menilai sesuatu babak atau adegan dalam mana-mana filem sebagai tidak sesuai atau bercanggah dengan nilai tempatan, sebilangan yang lain pula beranggapan sebaliknya. Pandangan dipetik di atas mewakili kelompok yang mempertahankan sesuatu adegan atau paparan yang dipertikaikan pihak lain.
Tulisan ini tidak bermaksud memberikan penilaian betul-salah kepada mana-mana pihak. Ia cuma mahu mengajak pembaca menilai sendiri corak dan kecenderungan pemikiran para penggiat filem negara. Pandangan atau komen ketiga-tiga individu yang dipetik itu boleh dijadikan asas perbincangan lanjut.
Biar pun memegang peranan berbeza, ketiga-tiga mereka – pelakon, pengarah dan pendukung filem – berkongsi tahap pemahaman hampir sama tentang adat susila bangsa dan hukum agama. Bahawa sesuatu yang dilakukan di dunia perfileman seakan mahu dipisahkan daripada nilaian menurut perspektif agama dan budaya bangsa.
Wajar diakui filem sememangnya satu medium seni popular dan boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat. Mengambilkira hakikat itu, setiap pihak terbabit dalam pembikinan filem, terutama pengarah dan pelakon perlu menyedari tanggungjawab mereka. Bahawa di tangan merekalah penentu ke arah mana penonton hendak dipengaruhi, sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya.
Dalam konteks negara pula, filem menggambarkan inspirasi rakyat sesebuah negara. Sesuatu filem yang dihasilkan dianggap cerminan identiti dan tahap pemikiran kelompok masyarakat yang diwakilinya. Ertinya, masyarakat dunia akan menilai negara kita, sedikit-sebanyak, menerusi paparan dalam filem-filem tempatan.
Sebab itu, apa yang dilakukan oleh karyawan dan penggiat filem tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab memberikan persepsi dan nilaian positif terhadap bangsa dan tanahair. Justeru, ia tidak boleh dibikin sewenang-wenang sehingga melanggar batasan adat budaya rakyat negara ini.
Namun, itulah perkara yang kerap mencetuskan pertikaian. Pertembungan nilai antara para penggiat filem dengan khalayak umum yang mengutamakan nilai agama dan budaya bangsa terbukti menyukarkan mana-mana pihak meletakkan kayu ukur baik-buruk sesebuah filem.
Episod yang melanda filem Gubra boleh dijadikan contoh. Filem itu menjadi bahan kritikan khalayak umum kerana dianggap mencemar nilai dan budaya tempatan, terutama orang Melayu dan Islam.
Bagaimana pun, agak mengejutkan apabila Festival Filem Malaysia 2006 menobatkan filem itu sebagai Filem Terbaik. Pelakonnya turut menggondol anugerah Pelakon Wanita Terbaik. Ertinya, bagi penganjur dan juri festival itu, aspek filem itu yang dipertikaikan khalayak umum bagaikan tidak diambil peduli.
Kontroversi bertambah apabila pelakon terbabit muncul di pentas menerima anugerah dan menyebut, “If the film mencemar budaya, lets do it more often” (jika filem ini (Gubra) mencemar budaya, ayuh kita buatnya lebih kerap).
Ucapan itu dianggap secara terbuka menempelak pihak-pihak yang mempertikaikan beberapa adegan dan jalan cerita filem lakonanya itu yang dianggap gagal menyantuni sensitiviti masyarakat, khususnya orang Melayu dan umat Islam.
Ucapan itu mengundang teguran khalayak yang mengikuti perkembangan dunia seni, terutama golongan veteran, intelek dan tokoh ternama kerana dianggap mempersendakan nilai budaya bangsa.
Namun, sentiasa ada pihak yang membela dan cuba merasionalkan ucapan itu. Selain pengarahnya, turut bersuara menyokong pelakon itu ialah beberapa pihak ketiga. Mereka berhujah kononnya masyarakat perlu berfikir secara praktikal dan tidak memperbesarkan keterlanjuran pelakon berkenaan. Sebaliknya, bakat lakonannya yang hebat yang lebih perlu dititikberatkan, terutama untuk menyegarkan industri filem negara yang semakin suram.
Pandangan sebegitu agak stereotaip. Ia tidak jauh bahkan sealiran dengan pandangan yang dipetik sebagai kes ketiga di atas. Bahawa masyarakat perlu berfikiran terbuka dan praktikal, serta menggunakan pertimbangan sendiri untuk menilai baik-buruk sesuatu filem, bukannya dengan terus mengharamkan penayangan filem tersebut.
Bagi kita pandangan sebegini agak membimbangkan. Terlalu yakin kepada keupayaan diri untuk memilih baik-buruk sebenarnya memudahkan seseorang terjerumus ke arah yang salah. Apatah lagi bukan semua penonton mampu membuat penilaian tersebut. Itu belum lagi dibicarakan soal perbezaan tanggapan dan penilaian seseorang ke atas sesuatu nilai dan budaya. Ertinya, sesuatu yang dianggap baik oleh seseorang itu belum tentu bertepatan dengan nilaian sepatutnya, sama ada dari sudut budaya bangsa mahu pun hukum agama.
Perhatikan saja kes menimpa seorang pemenang Anugerah Bintang Popular kira-kira tujuh tahun lalu. Beliau seorang penyanyi dan diuar-uarkan bakal menjadi pelakon pula. Media melaporkan kenyataannya yang akan menolak sekeras-kerasnya jika diminta berlakon untuk watak romantik, adegan panas atau pun berpegangan tangan dengan wanita
Malangnya, tidak ramai yang berkongsi nilaian hukum mahu pun adat sepertinya itu. Rakan-rakan artis bahkan gagal menghormati prinsip dipegangnya. Kebanyakan mereka sebaliknya menilai ketegasan penyanyi itu mempertahankan nilai sopan tersebut secara sinis.
Beliau dibidas hebat rakan-rakan artis, kononnya cuba berlagak alim. Sehinggakan ada artis lain menyindirnya dengan berkata, “kalau banyak sangat pantang larangnya, lebih baik jangan berlakon. Berlakon ni kita memerlukan feel dan setiap pergerakan ada maksud tersendiri. Kalau itu tak boleh, ini tak boleh, macam-macam hal, rasanya tak usah berlakon.”
Itulah gambaran tahap pemikiran para penggiat filem kita. Bahawa dunia perfileman seolah-olah tidak sesuai diwujudkan pantang-larang. Itulah yang dikatakan faktor menjayakan industri filem dan hiburan dunia, khususnya di negara-negara Barat.
Seakan ada satu ajaran atau fahaman di kalangan penggiat filem kita kononnya hanya dengan mengikuti dan menerapkan nilai budaya Barat itu, industri filem kita akan maju dan mampu bersaing di peringkat dunia.
Apatah lagi dalam keadaan negara kita membuka pintu kepada dunia luar menerusi pelbagai aspek, termasuk pelancongan, pelaburan, teknologi maklumat dan globalisasi, maka sememangnya wujud pihak yang mengharapkan keadaan amat liberal di negara ini.
Lalu ada yang menganggap pendirian mempertahankan hukum agama dan nilai budaya di dunia seni, beserta sebarang teguran terhadap filem berdasarkan pendirian sebegitu, sudah tidak relevan. Ia hanya dibuat oleh mereka yang berpendirian konservatif dan kolot serta tidak peka dengan perkembangan dan kehendak semasa.
Maka apakah sesebuah filem itu akan hanya dianggap moden dan menepati selera semasa apabila para penggiatnya sanggup melakukan perkara di luar batasan etika dan moral sepertimana dikehendaki agama dan budaya bangsa?
Mengapa kita tidak mengambil industri perfileman Iran sebagai contoh? Walau pun dengan para pelakonnya yang berpakaian sopan menutup aurat, dan tiada aksi berpegangan tangan antara pelakon lelaki dan wanitanya, filem-filem mereka masih mampu mendapat tempat di mata dunia. Sebilangannya malah memenangi anugerah di festival filem antarabangsa.
Ertinya, kita tidak perlu mengikut acuan orang lain (Barat), sehingga mengorbankan identiti dan nilai budaya sendiri, semata-mata bagi tujuan memasarkan sesuatu filem yang dihasilkan. Sebarang filem yang tidak mencerminkan budaya dan nilai tempatan, terutama yang boleh membawa kepada wujudnya perangai tidak senonoh dan meruntuhkan akhlak remaja tidak sayugia dihasilkan.
Kita masih mampu menarik peminat jika filem kita lebih berkualiti dan bukannya sensasi. Para penggiat filem haruslah memandang berat perkara ini. Filem dihasilkan bukan hanya sebagai hiburan semata-mata, tetapi sebagai satu saluran mendidik masyarakat.
Soalnya, apakah para penggiat filem kita ada kecenderungan dan pemahaman menitikberatkan perkara itu? Maaf cakap, contoh-contoh dipetik dalam perbincangan di atas nampaknya tidak menunjukkan hasrat sedemikian.
Maka, jika mahu diserahkan tugas atau amanah menapis sendiri filem-filem dihasilkan mereka agar menepati adat budaya Melayu serta hukum Tuhan, apakah mereka ini layak dipercayai? Tepuklah dada, tanyalah iman!
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Era Muslimah Bil: 4, Mac 2012 di ruangan TOPIK dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment