Thursday, March 1, 2012

Thawus bin Kaisan al-Yamani

Oleh: MOHD NASIR AWANG

“SESUNGGUHNYA aku yakin bahawa Thawus adalah salah seorang penghuni syurga”, demikian luahan Ibnu Abbas ra, salah seorang sahabat Rasulullah saw yang termasyhur serta banyak meriwayatkan hadith-hadith Baginda saw.

Tidak syak lagi pengakuan dan keyakinan oleh personaliti semulia sahabat Rasulullah itu bukan sekadar kata-kata pemanis mulut, atau bertujuan memuji seseorang yang secara kebetulannya juga salah seorang anak muridnya sendiri.

Sudah tentu ia bertitik tolak daripada pemerhatian dan pengamatan Ibnu Abbas sendiri terhadap keluhuran peribadi, kemuliaan akhlak dan kemantapan ibadat Thawus. Sifat dan keperibadian itulah yang selayaknya diperhalusi dan diteladani oleh umat Islam di sepanjang zaman.

Thawus adalah salah seorang murid Ibnu Abbas ra yang tergolong di kalangan kelompok paling istimewa. Hal ini pernah digambarkan Ibnu Uyainah, dengan katanya, “aku pernah bertanya kepada Ubaidillah bin Abi Yazid (salah seorang anak murid Ibnu Abbas), “dengan siapa anda menghadap (mengikuti pengajian) Ibnu Abbas?” Dia menjawab, “bersama dengan Atha’ dan sahabat-sahabatnya.” Aku bertanya lagi, “bagaimana dengan Thawus?” Dia menjawab, “dia bersama dengan orang-orang yang khusus.”

Tidak ‘mesra penguasa’
Dia dikatakan orang paling terkenal kezuhudan dan kewarakannya, tetapi paling berani melawan kezaliman penguasa. Kisah menarik bagaimana Thawus menegur keegoan Khalifah Hisyam bin Abdul Malik secara bersemuka, tanpa gentar mahu pun bimbang, telah dipaparkan menerusi kolum SECEBIS KISAH dalam majalah Dian Edisi 2 (Februari).

Sikap sedemikian turut terpapar di dalam beberapa insiden lain. Ada diriwayatkan, sekali peristiwa anak lelaki Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik datang menemui Thawus, lalu duduk bersebelahannya. Akan tetapi Thawus, yang menyedari kehadirannya itu, tidak menoleh kepadanya walau pun sedikit.

Sikap Thawus itu mengundang rasa bimbang khalayak yang hadir, lantas ada yang membisikkan kepadanya, “Putera Khalifah ada di sebelahmu itu”. Namun Thawus tetap tidak mahu menoleh ke arahnya.

Sebaliknya dia berkata dengan tegas, “aku harap semua orang akan mengerti bahawa Allah mengajarkan kepada hambaNya agar berlaku zuhud terhadap apa yang ada di tangannya.”

Dalam kejadian lain, diriwayatkan daripada An-Nukman bin Az-Zubair Asy-Syafani bahawa Muhammad bin Yusuf, saudara Al-Hajjaj atau Ayub bin Yahya telah diutus oleh khalifah untuk menemui Thawus dengan membawa hadiah berupa wang 700 dinar.

Setiba di rumah Thawus, utusan itu menghulurkan pundi berisi wang itu seraya berkata, “wahai Abu Abdirrahman (nama gelaran Thawus), ini aku bawakan sedikit hadiah daripada Amirul Mukminin untukmu.”

Thawus bagaimana pun enggan menerimanya. Utusan itu berkali-kali mendesaknya menerima hadiah itu, menyebabkan Thawus melemparkan pundi berisi wang itu ke lubang dinding rumahnya seraya berkata, “aku tidak perlukan hadiah ini.”

Utusan itu lantas kembali kepada khalifah dengan keyakinan bahawa Thawus kemudiannya mengambil pundi itu. Dia diberikan ganjaran yang baik oleh khalifah kerana dianggap telah menyempurnakan arahan yang sukar itu.

Namun, setelah berlalu beberapa masa, khafilah mendapat maklumat bahawa hadiah itu sebenarnya tidak pernah diambil oleh Thawus. Lantas utusan tadi dipanggil semula bagi mempastikan hal itu.

Setelah utusan itu kembali ke rumah Thawus dan bertanyakan keadaan pundi hadiah itu, Thawus dengan tegas bertanya kembali kepadanya, “bukankah kamu tahu di mana aku lemparkan hadiah itu dulu? Cari saja di situ.”

Amat memeranjatkan, tatkala utusan itu menghulurkan tangan ke dalam lubang dinding rumah Thawus, dia mendapati pundi berisi wang yang diberikannya kepada Thawus masih berada di situ. Ia telah dipenuhi sarang labah-labah, menandakan Thawus memang tidak pernah menyentuhnya sejak mencampakkannya dulu. Utusan itu lantas mengembalikan hadiah itu kepada khalifah.

Kejadian serupa berulang di suatu pagi yang mendung di musim dingin. Ketika Thawus sedang melakukan solat, kebetulan Muhammad bin Yusuf, saudara al-Hajjaj melintasi dekatnya. Melihatkan Thawus sedang sujud tanpa mengenakan pakaian bersesuaian untuk musim dingin, dia mengarahkan para pengawalnya melemparkan beberapa helai baju tebal dan besar (yang biasa dipakai para ulama), sehingga pakaian itu melonggok di atas Thawus.

Thawus bagaimana pun meneruskan sujudnya sehingga selesai solat. Sebaik selesai, Thawus melihat apa yang menimpanya dan mendapati ianya longgokan baju-baju tebal dan besar. Dia dapat mengerti bahawa itu satu lagi pemberian daripada sang penguasa. Dia lantas menolaknya ke tepi seraya berjalan pulang ke rumahnya, tanpa sedikit pun menoleh ke arah Muhammad bin Yusuf yang masih berada di situ.

Disebabkan sikapnya itu, Ibnu Uyainah menyimpulkan, “ada tiga orang yang selalu menjauhi sang penguasa pada zaman masing-masing, iaitu Abu Zar, Thawus dan Ats-Tsauri.”

Amr bin Dinar pula diriwayatkan berkata, “aku belum pernah melihat seseorang yang lebih mampu menahan dirinya daripada mengambil kepunyaan orang lain selain dari Thawus.”

Kelahiran dan peribadinya
Ada yang mengatakan nama sebenarnya ialah Dzakwan bin Kaisan al-Yamani al-Humairi, berketurunan Parsi di sebelah ibunya, manakala bapanya seorang dari kaum Qasith. Az-Zahabi berkata, dia dilahirkan pada masa kekhalifahan Uthman bin Affan ra atau sebelumnya.

Diriwayatkan Yahya bin Muin, dia berkata, “dia dipanggil Thawus kerana diakui sebagai salah seorang pembesar para Qurra (para pembaca al-Quran yang sangat handal) dan suaranya amat merdu.”

Ibnu Hibban berkata, “dia adalah ahli ibadat di Yaman, ahli fiqh dan salah seorang pembesar tabien.” Diriwayatkan sepanjang hidupnya Thawus sempat mengerjakan ibadat haji sebanyak 40 kali.

Beliau juga seorang yang sangat prihatin terhadap permasalahan semasa dihadapi orang ramai. Kelebihan anugerah Allah ke atasnya yang menjadikannya gemar beribadat kerap dimanfaatkannya bukan sahaja untuk kesejahteraan dirinya, malah juga masyarakatnya. Kisah bagaimana beliau sanggup berjaga malam demi keselamatan satu rombongan haji menjadi contoh yang baik.

Diriwayatkan sekali peristiwa Thawus menyertai satu rombongan mengerjakan haji ke Mekah. Di dalam perjalanan itu, para hujjaj telah dihalangi oleh seekor harimau, yang sebenarnya jelmaan suatu sihir oleh pihak tertentu. Lalu orang ramai berasakan sesama sendiri dan berkumpul dalam keadaan cemas. Hanya setelah sihir itu hilang, mereka mula melangkah ke depan dengan saling bergandingan dan penuh hati-hati.

Tiba di suatu tempat agak jauh, hari sudah pun jauh malam. Rombongan itu lalu berehat. Sementara kebanyakan mereka tertidur, Thawus masih berdiri mengerjakan solat. Melihatkan hal itu, seorang anggota rombongan itu lantas menghampirinya dan bertanya, “kenapa masih berjaga, bukankah kita telah terlepas dari gangguan tadi?” Thawus bertanya kembali kepada lelaki itu, “adakah sesiapa yang boleh menidurkan sihir?”

Ibnu Syihab pula berkata, “jika kamu memandang kepada Thawus, nescaya kamu akan tahu bahawa dia bukan seorang bersifat pendusta.”

Dari Uthman bin Said, dia berkata, “aku pernah bertanya kepada Yahya bin Muin, “mana yang lebih anda sukai antara Thawus dengan Said bin Jubair?” Dia berkata, “kedua-duanya adalah orang yang dapat dipercaya dan tidak upaya dipilih kerana sama baiknya”.

Pesanan dan ajarannya
Terlalu banyak kata-kata nasihat dan pengajaran yang ditinggalkan oleh peribadi mulia ini. Apatah lagi beliau sendiri amat memuliakan seseorang yang mampu memberi nasihat kepada yang lain, berbanding seseorang yang tidak gemar melakukannya.

Abu Nujaih meriwayatkan bahawa Thawus pernah berkata kepadanya, “wahai Abu Nujaih, sesiapa yang bertaqwa dan memberi nasihat kepada yang lain adalah lebih baik daripada seseorang yang bertaqwa tetapi hanya berdiam diri (tidak menuturkan kata-kata nasihat).”

Baginya, kehidupan bermasyarakat tidak akan sempurna sekiranya tidak wujud suasana saling nasihat-menasihati dan saling berkasih-sayang antara para anggotanya. Sikap ini tergambar dalam pesanannya kepada Abdullah Asy-Syami, “takutlah kamu kepada Allah sekira-kira tidak ada yang paling kamu takui melainkan Dia, dan berharaplah kepadaNya sebagaimana ketakutanmu kepadaNya, lalu cintailah sesamamu sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri.”

Anak Thawus sendiri meriwayatkan pesanan ayahnya, “ bahawa ‘Al-Bukhl’ adalah seseorang yang kedekut dengan apa yang dimilikinya, manakala ‘Asy-Syuh’ adalah seseorang yang berhasrat memiliki apa yang ada di tangan orang lain dengan cara haram dan tanpa sifat qanaah (merasa cukup dengan pemberian Allah).”

Thawus turut menitikberatkan soal pernikahan. Sehinggakan beliau pernah berkata, “ibadat seorang pemuda tidak akan sempurna sehinggalah dia menikah.”

Dalam riwayat yang lain, beliau berkata kepada Ibrahim bin Maisarah, “hendaklah kamu segera menikah, atau akan aku katakan kepadamu perkataan Umar al-Khattab kepada Abu Az-Zawaid, ‘yang boleh menghalangi kamu untuk tidak menikah hanyalah kerana lemah (syahwat) dan kezaliman’.”

Sufyan meriwayatkan bahawa beliau pernah mendengar Thawus berkata, “tidak ada yang mampu mengingatkan seseorang kepada agamanya melainkan tanah kuburnya (kematiannya).”

Kematiannya
Dapat dirumuskan berdasarkan berbagai riwayat bahawa tarikh kematian Thawus ialah pada bulan Zulhijjah. Mereka bagaimana pun berselisih pendapat mengenai tahunnya, antara 105 atau 106 Hijriyah. Beliau meninggal di Mekah di saat umat Islam sedang melalui proses mengerjakan haji. – Mohd Nasir Awang

(Rujukan: 60 Biografi Ulama Salaf oleh Syaikh Ahmad Farid, hal. 103-113. Pustaka al-Kautsar, Jakarta, 2009)

(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya'As-Sunnah Edisi 3 (Mac 2012) di ruangan ULAMA PEWARIS NABI dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment