Oleh: Mohd Nasir Awang
Dihikayatkan pada zaman Imam Abu Hanifah masih kecil, ada seorang bernama Dahari yang gemar mempertikaikan kesempurnaan sifat Allah Ta’ala Yang Maha Wujud. Beliau malah mencabar sekalian ulama berhujah, dengan katanya: “Kata kamu Allah itu ada, tetapi tiada tempatnya. Mana mungkin suatu yang maujud melainkan ada tempatnya?”
Dikatakan sebilangan ulama telah dikalahkan oleh Dahari. Hal itu membuatkannya bertambah angkuh. Lalu dia bertanya, ‘apakah sudah tidak ada daripada ulama kamu yang mampu menjawab hujahku, walau pun seorang?’ Orang ramai menjawab, ‘ada lagi, iaitu Hamad’.
Lalu Dahari dengan megah memohon jasa baik khalifah agar memerintahkan Hamad hadir untuk berhujah dengannya. Hamad adalah juga guru kepada Abu Hanifah. Setelah dipanggil khalifah, Hamad memohon ditangguhkan majlis tersebut hingga keesokannya, agar dapat dia mempersiapkan hujah-hujahnya.
Awal pagi keesokannya, Abu Hanifah datang menemui Hamad. Melihatkan gurunya dalam keadaan berdukacita, Abu Hanifah bertanya apa sebab kedukacitaan itu.
Lalu Hamad menjawab, “mana mungkin aku tidak dukacita apabila khalifah telah memerintahkan aku berhujah dengan Dahari di hadapan sekalian ulama, sedangkan malam tadi aku telah didatangi mimpi yang memberi gambaran yang sangat buruk.”
Abu Hanifah bertanya: “Apakah yang tuan guru mimpikan?”
Hamad menjawab: “Aku melihat sebuah dusun yang sangat luas lagi indah. Ada padanya sepohon kayu yang berbuah. Kemudian keluar dari penjuru kampung itu seekor babi lalu ia memakan buah dari pohon itu hingga habis.
“Ia turut memakan daun dan dahannya, sehingga hanya batang yang tinggal. Tiba-tiba keluar daripada umbi pohon kayu itu seekor harimau yang menangkap dan membunuh babi itu.”
Abu Hanifah lalu berkata: “Bahawa Allah Ta’ala telah mengajar hamba ilmu taabir mimpi. Maka mimpi ini membawa petanda baik bagi kita dan buruk buat seteru kita. Jikalau tuan guru izinkan, nescaya hamba taabirkan ia.”
Berkata Hamad: “Taabirkan oleh mu, ya Nukman (nama sebenar Abu Hanifah)”.
Lalu Abu Hanifah menjelaskan: “Ada pun dusun yang luas lagi indah itu adalah agama Islam. Pohon kayu yang berbuah itu ulama dan batangnya yang tinggal itu ialah diri tuan guru. Manakala babi itu adalah Dahari dan harimau yang membunuh babi itu adalah diri hamba.”
Abu Hanifah lantas meyakinkan tuan gurunya itu agar meneruskan hasrat bersemuka dengan Dahari. Beliau turut menyatakan kesanggupannya berdepan Dahari dan mematahkan hujahnya.
Keyakinan ditunjukkan Abu Hanifah itu amat menggembirakan Hamad. Mereka berdua lantas menuju ke masjid jamek, tempat akan diadakan majlis berhujah itu. Khalifah dan orang ramai telah pun berhimpun. Abu Hanifah mengambil tempat di hadapan pangkin tempat duduk gurunya, sambil berdiri memegang kasut gurunya itu.
Sebaik tiba, Dahari terus naik ke atas mimbar dan berkata: “Siapakah yang akan menjawab soalanku?”
Maka sahut Abu Hanifah: “Nyatakan dahulu apa soalan kamu itu. Maka sesiapa sahaja yang mengetahui jawabannya akan menjawabnya.”
Dahari yang terkejut dengan sahutan Abu Hanifah itu lantas menyergah dengan angkuh: “Siapakah kamu hai kanak-kanak untuk berhujah denganku? Sudah ramai orang yang mempunyai kemegahan dan orang yang berilmu, yang memakai serban besar-besar dan memakai kain berkemegahan beserta lengan baju yang luas-luas telah mengaku kalah dengan aku. Maka bagaimana mungkin engkau mahu berhujah denganku, sedangkan engkau masih mentah dan hina pula?”
Abu Hanifah menjawab: Allah Ta’ala tiada meletakkan ketinggian dan kebesaran itu kepada orang yang mempunyai serban yang besar-besar, kain berkemegahan dan tangan baju yang luas, tetapi kemuliaan di sisi Dia ialah pada ulama, seperti firman Allah Ta’ala: “Dan bagi mereka yang diberikan ilmu itu beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah 58:11)
Maka berkata Dahari: “Jadi, kamulah yang akan menjawab soalanku?
Abu Hanifah: Ya, aku akan jawab soalan kamu dengan taufik Allah.
Dahari: Adakah Allah itu maujud?
Abu Hanifah: Ya, benar.
Dahari: Di mana Ia?
Abu Hanifah: WujudNya tidak bertempat.
Dahari: Mana mungkin sesuatu itu maujud tetapi tiada bertempat?
Abu Hanifah: Dalil bagi menerangkan hal itu ada pada diri kamu.
Dahari: Di mana dalilnya?
Abu Hanifah: Tidakkah pada diri kamu ada nyawa?
Dahari: Memang ada.
Abu Hanifah: Di mana tempat roh (nyawa) kamu itu? Di kepala kamukah, di perut kamukah atau di kaki kamukah?
Maka tercengang Dahari tanpa dapat memberikan jawaban. Para hadirin pula tersenyum, malah ada yang bersorak mendengar terjahan Abu Hanifah itu.
Bagi memperkuatkan hujahnya, Abu Hanifah meminta dibawakan segelas susu, seraya berkata pula kepada Dahari: Tidakkah pada air susu ini ada lemaknya?
Dahari: Ya, memang ada.
Abu Hanifah: Boleh kamu nyatakan di manakah tempatnya (lemak), di bahagian ataskah atau di bawahkah?
Soalan itu sekali lagi membuatkan Dahari tercengang dan gagal menjawabnya. Lalu Abu Hanifah menegaskan: “Sebagaimana tidak dapat ditunjuk tempat roh (nyawa) itu pada tubuh dan tidak juga dapat dikenalpasti tempat lemak pada air susu ini, maka bagaimanakah dapat kita sebut tempat bagi Allah?”
Dahari kemudiannya mengemukakan pertikaian kedua. Katanya, “jika benar Allah itu Ada, maka apa ada dahulu daripada Allah dan apa kemudian daripadaNya?”
Abu Hanifah: Tiada suatu dahulu daripadaNya dan tiada suatu kemudian daripadaNya.
Dahari: Mana mungkin diterima akal ada suatu yang maujud tetapi tiada suatu dahulu daripadanya dan tiada suatu kemudiannya?
Sekali lagi Abu Hanifah mengatakan dalil bagi menerangkan hal itu ada pada dirinya (Dahari) sendiri. Dahari agak terkejut mendengarnya.
Abu Hanifah lantas menyoalnya: Apa yang ada dahulu daripada ibu jari kamu dan apa kemudian daripada jari kelingking kamu?
Jawab Dahari: Tiada suatu dahulu daripada ibu tanganku dan tiada suatu kemudian daripada kelingkingku.
Maka berkata Abu Hanifah: Lebih-lebih lagilah bagi Allah Ta’ala, tiada suatu dahulu daripadaNya dan tiada suatu kemudian daripadaNya.
Dahari sekali lagi terpukul oleh kesimpulan dibuat Abu Hanifah itu. Beliau yang mula terasa malu kerana dipatahkan hujah oleh seorang budak ‘mentah’ lalu mengemukakan soalan terakhirnya.
Katanya: Baiklah, jika benar Allah itu Ada, apakah pula yang sedang dilakukan oleh Allah sekarang ini?
Soalan itu membuatkan sekalian hadirin, yang tadinya bersorak gembira kembali senyap. Masing-masing sukar memikirkan hujah balas. Hal itu membuatkan Dahari tersenyum sendiri dan menyangka pertikaian itu tidak akan dapat dirungkai oleh Abu Hanifah.
“Sebenarnya kamu ini sudah terbalik”, Abu Hanifah bersuara, sekali gus memecah kebuntuan suasana. Orang ramai dan Dahari sendiri tertanya-tanya apa maksud Abu Hanifah.
Dia lantas menyambung, “sepatutnya yang menjawab soalan berada di atas mimbar dan yang bertanya berada di bawah. Maka apa kata jika kamu turun dan aku naik, kemudian aku akan jawab soalan kamu itu.”
Permintaan itu membuatkan Dahari tidak sedap hati. Dia terasa dipermainkan oleh budak kecil yang dianggapnya masih ‘mentah’ itu. Bagaimana pun, mereka berdua bertukar tempat.
Sebaik berada di atas mimbar, Abu Hanifah meminta Dahari mengulangi soalannya tadi. Rasa bengang Dahari semakin menebal dengan gelagat Abu Hanifah itu. Bagaimana pun, beliau mengulangi juga soalannya tadi.
Maka jawab Abu Hanifah: Ada pun apa yang sedang dilakukan Allah sekarang ini ialah menggugurkan yang batil seumpama kamu daripada atas ke bawah dan menaikkan yang benar seumpama aku dari bawah ke atas.
Jawaban itu benar-benar menyebabkan Dahari putus hujah. Dia terasa telah diperbodohkan, lantas berlalu meninggalkan majlis dalam keadaan amat malu. – Mohd Nasir Awang
(Diolah semula daripada cerita asal dalam bahasa kitab jawi lama, Aqidatun Najiin fi Ilm Usuluddin karangan asy-Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani, Matbaah bin Halabi, Pattani, hlm. 7-9).
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah Edisi 3 (Mac 2012) di ruangan SECEBIS KISAH dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment