KEUPAYAAN Saidina Abu Bakar as-Siddiq menelah atau membaca sesuatu secara lebih jauh daripada apa yang difahami orang lain memang terserlah. Dua kes disebutkan dalam edisi lepas, iaitu detik turunnya ayat mengesahkan kesempurnaan agama Islam dan kewafatan Rasulullah saw yang telah pun lebih awal dibayangkan oleh ayat-ayat al-Quran, mengesahkan keistimewaan dimiliki peribadi luhur dan agung ini. Abu Bakar ternyata dianugerahkan Allah dengan daya pemikiran di luar jangkauan sahabat-sahabat lain.
Apa yang berlaku di sebalik Perjanjian Hudaibiah menyajikan satu lagi kes serupa. Abu Bakar telah memainkan peranan amat signifikan menjayakan peristiwa itu, terutama bilamana para sahabat lain hampir menentangnya. Mereka menilai butir-butir perjanjian damai yang dirangka oleh orang-orang musyrikin itu tidak menguntungkan kaum muslimin, bahkan menghina mereka.
Jiwa dan pemikiran serasi dengan Rasulullah
Sedangkan Abu Bakar as-Siddiq menanggapi implikasi sebaliknya. Sepertimana pendirian Baginda saw yang melihatnya sebagai satu perakuan rasmi terhadap kedudukan kaum muslimin, maka begitulah juga sikap Abu Bakar. Beliau menganggap Perjanjian Hudaibiah suatu pengiktirafan terhadap kekuatan dan kemuliaan kaum muslimin oleh puak musyrikin yang menguasai Mekah.
Sememangnya di kalangan para sahabat utama ketika itu kedengaran pertikaian. Bahkan, Saidina Umar bin Al-Khattab ra sendiri antara yang paling lantang mempersoalkan sikap yang diambil oleh Rasulullah saw terhadap syarat-syarat perjanjian itu.
Diriwayatkan Umar menerjah Baginda saw, “bukankah engkau Nabi Allah yang sebenarnya?” Nabi menjawab, “benar”. Umar menambah, “bukankah kita di atas kebenaran, sedangkan musuh kita di atas kebatilan?” Nabi menjawab, “benar”.
Umar menyambung, “lalu mengapa kita menerima penghinaan (perjanjian) ini terhadap agama kita?” Nabi saw menjawab, “sesungguhnya aku adalah utusan Allah, aku tidak durhaka kepadaNya. Dia yang akan menolongku”.
Kata-kata itu bagaimana pun gagal memuaskan hati Umar. Dia lantas berkata, “bukankah engkau telah mengatakan kepada kami bahawa kami akan masuk ke Mekah dan mengerjakan tawaf?” Nabi menjawab, “benar, tetapi apakah aku mengatakan kepadamu tahun ini?” Umar menjawab, “tidak”. Lalu Nabi menyimpulkan, “engkau pasti akan datang (ke Mekah) dan melakukan tawaf”.
Umar kemudiannya mendekati Abu Bakar pula, seraya mengulangi soalan-soalan sama. Katanya, “bukankah beliau (Rasulullah saw) adalah Nabi Allah yang sebenarnya?” Abu Bakar menjawab, “benar”. Umar menyambung, “bukankah kita di atas kebenaran, sedangkan musuh kita di atas kebatilan?” Abu Bakar menjawab, “benar”.
Umar lantas menerjah, “lalu mengapa kita menerima kehinaan ini dalam agama kita?” Abu Bakar menjawab, “wahai Umar! Sesungguhnya beliau (Nabi saw) adalah utusan Allah, beliau tidak durhaka kepadaNya, Dia yang akan menolong beliau, peganglah ikatannya yang kuat (yakni, ikuti saja kata-kata dan perbuatan Baginda saw).”
Umar berkata, “bukankah beliau telah mengatakan kepada kita bahawa kita akan masuk ke Mekah dan mengerjakan tawaf?” Abu Bakar menjawab, “betul, tetapi apakah Baginda mengatakan kepadamu tahun ini?” Umar menjawab, “tidak. Beliau hanya mengatakan, ‘engkau akan datang dan tawaf’.”
Begitulah betapa serasinya jiwa dan sealirannya pemikiran Abu Bakar ra dengan Rasulullah saw. Sesiapa juga yang mengamati jawaban dan penjelasan beliau terhadap terjahan Umar tadi, maka tentu tergambar jelas betapa ungkapan-ungkapan yang disebut Abu Bakar bagaikan mengulangi bait-bait sama yang diucapkan Baginda saw.
Apakah keserasian jiwa itu berlaku hanya secara kebetulan? Tentu sekali tidak. Bahkan, ia sebenarnya manifestasi keakraban persahabatan serta kehebatan perkongsian perasaan dan perjalanan hidup antara dua jiwa agung itu. Keserasian itulah akhirnya membuahkan sikap dan tindakan Abu Bakar ra yang sukar ditandingi mana-mana insan lain, termasuk dari kalangan sahabat terdekat Baginda saw.
Sebab itu tidak menghairankan apabila setiap seruan atau permintaan yang terpacul dari mulut Rasulullah saw, maka orang pertama yang tampil menyahut atau merealisasikannya ialah tidak lain daripada sahabatnya yang paling akrab itu.
Menginfak harta pada jalan Allah
Di antara keunggulan peribadi Saidina Abu Bakar As-Siddiq ialah kesungguhannya menginfakkan hartanya pada jalan Allah. Insan yang telah diberi jaminan syurga oleh Rasulullah saw ini sentiasa di hadapan pada setiap masa dan perkara di dalam menafkahkan apa jua yang dimilikinya untuk Baginda saw. Pantang diminta atau disarankan oleh Baginda, maka orang paling bersegera menyahutnya, tanpa teragak-agak atau bertangguh, ialah Abu Bakar.
Dikatakan itulah persis apa yang dibuatnya tatkala mendengar Baginda saw menyuarakan perihal penderitaan dialami Saidina Bilal bin Rabah ra dan beberapa penganut Islam lain yang sedang diseksa oleh musyrikin Mekah.
Dari Hisyam bin Urwah dari ayahnya, ia berkata, “sewaktu Abu Bakar memeluk Islam dia mempunyai 40 ribu dinar. Dia menginfakkannya di jalan Allah, memerdekakan tujuh orang hamba sahaya yang diseksa kerana Allah (oleh musyrikin Quraisy). Dia memerdekakan Bilal, Amir bin Fuhairah, Zunairah, an-Nahdiyah dan anak perempuannya, hamba sahaya Bani Muammal dan Ummu Ubais.” (HR at-Tabarani)
Umar al-Khattab ra pula meriwayatkan, “Rasulullah saw memerintahkan kami bersedekah. Ketika itu aku agak berharta. Maka aku berkata kepada diriku, ‘hari ini aku akan mengatasi Abu Bakar (kerana Umar tidak pernah mengatasinya dalam membuat kebaikan). Maka aku datang membawa setengah dari hartaku. Rasulullah saw bertanya kepadaku, “apa yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?” Aku menjawab, ‘sebanyak ini juga (jumlah yang sama)’.”
Cerita Umar lagi, “kemudian datang Abu Bakar membawa seluruh hartanya. Rasulullah saw bertanya kepadanya, “apa yang engkau tinggalkan untuk keluargamu?” Abu Bakar menjawab, “aku tinggalkan untuk mereka Allah dan RasulNya”. Mendengarkan penjelasan itu Umar berkata, “sesungguhnya aku tidak akan mampu mengalahkanmu (Abu Bakar) dalam segala hal selamanya.” (HR Abu Daud, no. 1678 dan at-Tirmizi, no. 3675. At-Tirmizi berkata, “ini adalah hadith hasan sahih”)
Mengambilkira hakikat sedemikianlah maka Nabi saw bersabda, “tidak seorang pun yang lebih besar jasanya kepadaku daripada Abu Bakar. Dia telah membantuku dengan jiwa dan hartanya. Dia juga telah menikahkan ku dengan puterinya.” (HR at-Tabarani dalam al-Kabiir dari Ibnu Abbas ra. Dihasankan oleh Syaikh al-Albani dalam Shahiihul Jaami’)
Dipanggil berbilang pintu syurga
Rasulullah saw turut mendoakan agar Abu Bakar akan dipanggil dari sekalian pintu syurga, berdasarkan amal ibadat dilakukannya. Abu Hurairah ra meriwayatkan Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa menginfakkan sepasang harta (menurut As-Sindi, sepasang harta dimaksudkan ialah “dua dirham atau dua dinar atau dua mudd makanan”) dari segala sesuatu di jalan Allah, dia dipanggil dari pintu-pintu syurga, ‘wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan’.”
“Barangsiapa termasuk orang-orang yang mendirikan solat, dia dipanggil dari pintu solat. Barangsiapa termasuk orang-orang yang berjihad, dia dipanggil dari pintu jihad. Barangsiapa termasuk orang-orang yang bersedekah, dia dipanggil dari pintu sedekah. Barangsiapa termasuk orang-orang yang berpuasa, dia dipanggil dari pintu puasa, iaitu pintu ar-Rayyan.”
Maka berkata Abu Bakar, “seseorang itu dipanggil dari satu pintu dari pintu-pintu tersebut tidaklah menjadi masalah (sebab satu pintu saja sudah merupakan kenikmatan), namun apakah ada seseorang yang dipanggil dari semua pintu tersebut, wahai Rasulullah?” Nabi saw menjawab, “ya dan aku berharap engkaulah seorang di antara mereka, wahai Abu Bakar.” (HR al-Bukhari, no. 3666 dan Muslim, no. 1027).
Menyimpan rahsia Rasulullah
Dari Abdullah bin Umar ra bahawa ketika Hafsah binti Umar ra menjanda kerana ditinggalkan suaminya, Khunais bin Hudzafah as-Sahmi (salah seorang sahabat Nabi saw yang wafat di Madinah), Umar bin al-Khattab ra berkata, “aku datang kepada Uthman bin Affan. Aku menawarkan kepadanya untuk menikahi Hafsah, lalu dia menjawab, “aku akan fikirkan”. Beberapa malam setelah itu Uthman menemuiku, lalu dia berkata, “saat ini aku belum berniat untuk menikah.”
Umar berkata, “selanjutnya aku bertemu Abu Bakar as-Siddiq, lalu aku berkata padanya, “jika engkau berkenan, aku akan menikahkan mu dengan Hafsah bintu Umar. Namun Abu Bakar diam, tidak menjawab walau pun sepatah. Diamnya Abu Bakar ini lebih menyakitkan hatiku daripada jawaban Uthman.”
“Beberapa malam kemudian Rasulullah saw datang melamar Hafsah dan aku menikahkannya dengan beliau. Maka selepas itu Abu Bakar menemuiku, lalu berkata, “mungkin engkau meluat denganku ketika engkau memintaku menikahi Hafsah, tetapi aku tidak menjawab sepatah pun?” Aku menjawab, “benar”.
Abu Bakar lantas menjelaskan, “sebetulnya yang menghalangi aku daripada memberikan jawaban kepada permintaanmu itu ialah kerana aku mengetahui bahawa Rasulullah saw telah menyebut-nyebut nama Hafsah. Maka tidak sayugia bagiku membuka rahsia Rasulullah saw itu. Seandainya Baginda saw tidak berkenan, nescaya aku menerima tawaranmu.” (HR al-Bukhari, no. 5122 dan Imam Ahmad dalam al-Musnad (I/12))
Demikianlah sebahagian lagi sifat terpuji dan teladan mulia dipamerkan Abu Bakar as-Siddiq. Bicara lanjut mengenai insan paling mirip dengan Rasulullah saw ini akan disambung pada siri akan datang, insya Allah. – Mohd Nasir Awang
(Rujukan: Syaikh Mahmud al-Mishri, 2010. Sahabat-Sahabat Rasulullah saw. Hal. 118- 151. Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta; Abdurrahman Asy-Syarqawi, 2011. Abu Bakar Al-Siddiq The Successor, Yamani Angle Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.)
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya As-Sunnah Edisi 3 (Mac 2012) di ruangan KENALI SAHABAT RASULULLAH dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment