Tidak syak lagi setiap individu muslim perlu melengkap dirinya dengan tingkahlaku dan budi pekerti yang luhur. Demi sesungguhnya hanya dengan segala budi pekerti yang mulia itu seseorang Islam dapat mencapai kesentosaan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Justeru, penulis buku ini mengambil insiatif yang sangat
baik menyusun sebilangan ayat suci al-Quran dan hadith Nabawi yang
bersangkut-paut dengan perbicaraan akhlak muslim. Beliau turut menyertakan
kupasan dan ulasan ringkas yang difikirkannya sesuai mengenai apa yang dialami
oleh umat Islam di zaman ini, terutama mengambilkira keruntuhan moral,
penyelewengan dan kemerosotan akhlak mereka yang semakin hari semakin tenat.
Segala kebobrokan itu perlu ditangani. Bagi seorang
muslim, ubat atau penyelesaiannya sudah tentu dengan kembali meneliti
sifat-sifat akhlak mulia sebagaimana yang dihayati dan dianjurkan sendiri oleh
Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Rasulullah saw telah membuktikan dengan
pameran akhlak terpuji itu, Baginda berjaya menyelamatkan alam dari kesesatan dan
gelap-gelita kepada petunjuk yang membawa kebahagiaan.
Bahkan, Baginda sendiri pernah menjelaskan betapa antara
tujuan utama perutusannya sebagai Rasul ialah untuk melengkapkan budi pekerti
yang mulia. Begitu juga, menurut penulis, bahawa keutamaan ajaran agama Islam
sendiri mendahulukan agenda pembentukan jiwa kemanusiaan mengatasi segala yang
lain. Baginya, iman yang teguh itu memerlukan budi pekerti yang teguh dan
kemerosotan akhlak puncanya ialah kelemahan iman.
Kata penulis lagi, segala pengajaran dan prinsip agama
yang ditanam ke dalam jiwa manusia hingga sebati akan “menimbulkan di dalamnya
suatu tenaga yang mengawal segala penyelewengan tabiat manusia, sambil memegang
teraju dan membetulkan haluannya”.
Bagi memudahkan pembicaraan dan pemahaman mengenai
sifat-sifat akhlak Baginda saw, penulis mengasingkan seluruh perbincangan
kepada lebih 20 subtopik. Setiap topik dikhususkan pembicaraan mengenai hanya
satu sifat atau segandingan sifat-sifat akhlak mulia. Sorotan turut dibuat
terhadap setiap sifat itu dari perspektif atau konteks yang berbeza.
Manakala di dalam mengulas sifat positif itu, turut
dibawa kupasan mengenai kecelaan sifat-sifat negatif atau yang berlawanan
dengannya, yang disarankan agar seseorang muslim menjauhinya. Contohnya, di
dalam membicarakan soal keutamaan memupuk persaudaraan, dilontarkan juga
kupasan mengenai peri buruknya sifat tamak dan mementingkan diri sendiri. - Editor
INFO BUKU:
Tajuk: AKHLAK MUSLIM
Pengarang: Muhammad al-Ghazali
Penterjemah: Ismail Mohd Hassan
Penerbit: Yayasan Islam Terengganu (Cetakan Kedua, 1998)
(Artikel ini disiarkan majalah bulanan Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 4, terbitan April 2012 di ruangan RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment