Sunday, March 11, 2012

Mampukah PAS Terengganu manfaatkan ‘mood 99’?


Oleh: Mat Zain Mat Isa

Tidak ramai yang mampu memberikan penjelasan yang baik apakah yang dimaksudkan dengan ‘mood 99’ (senario politik sejurus sebelum Pilihan Raya Umum 1999). Namun, tidak sedikit di kalangan pemerhati dan penggiat politik di Terengganu mutakhir ini semakin gemar menuturkan istilah itu.

Di sana-sini kedengaran cakap-cakap yang seakan memberi gambaran kononnya rakyat Terengganu sudah benar-benar ingin mengubah senario politik negeri itu. Walau pun mungkin bual bicara itu tidak melibatkan khalayak atasan, ia bagaikan suatu yang semakin menyerlah di kalangan masyarakat terutama khalayak pertengahan.

Disedari atau tidak, itu sebenarnya salah satu sifat atau petanda penting yang ada pada ‘mood 99’ dulu. Bahawa golongan yang paling menunjukkan sikap inginkan perubahan politik ketika itu ialah khalayak pertengahan. Selaku ‘penghubung’ tidak rasmi antara khalayak atasan dengan bawahan, peranan dimainkan golongan pertengahan ini amat signifikan. Perubahan sikap dan pendirian politik mereka ini telah membuahkan hasil amat mengejutkan pada 1999 lalu.

Golongan bawahan, terutama dalam konteks Terengganu, lebih cenderung memilih untuk berpihak kepada parti pemerintah. Status ekonomi dan pendidikan mereka memudahkan parti kerajaan memanipulasi umpan kebendaan bagi memautkan kesetiaan mereka. Sejak sekian lama, mereka ini membentuk halangan utama terhadap kemaraan PAS menguasai tampuk pemerintahan.

Ada pun khalayak atasan dalam masyarakat dari kedua-dua belah pihak yang berseteru dalam politik sememangnya peneraju pihak masing-masing. Mereka tidak mudah, bahkan hampir pasti tidak akan, mengubah pendirian politik. Sama ada PAS mahu pun Barisan Nasional (BN), bual bicara dan sikap mereka tidak mudah terliuk oleh isu-isu semasa yang melanda. Justeru, cakap-cakap mereka akan tetap mempertahankan apa juga pendirian dan kepentingan parti masing-masing.

Sebab itu, jika mahu melihat dan menilai sebarang kemungkinan perubahan dalam masyarakat, maka kelompok paling sesuai ditinjau ialah khalayak pertengahan. Dalam perkembangan terkini di Terengganu, rasa dan sikap golongan ini untuk melihat perubahan kepimpinan negeri semakin terzahir.

“Kalau dengarkan cakap-cakap di pejabat, di sekolah, di masjid-surau, rakyat macam dah nak kan perubahan, rasa macam masa 99 dulu la. Hampir tak ada (orang) yang bercakap tu nakkan (sokong) Umno. Ada yang memang kita kenal dia (sebagai penyokong) Umno pun, tak berani nak bercakap (menyokong) Umno. Begitu sekali. Macam 99 dulu lah!”, demikian ulas seorang rakan yang juga seorang guru di Besut.

Kebanyakan bual bicara itu bermula dengan rasa tidak senang dengan corak pemerintahan BN-Umno sekarang. Mereka ini dulu-dulunya tidak pernah pun terkesan oleh pengkhianatan Umno terhadap kerajaan pimpinan PAS.

Mereka tidak peduli dengan taktik kotor BN ‘membeli’ rakyat menerusi berbagai dana dan bantuan kebendaan. Bahkan, sebahagian mereka yang kini bernada ‘sumbang’ terhadap BN itu sendiri adalah dari kalangan para penerima “manfaat” curahan kebendaan itu.

Mereka suatu ketika dulu bagaikan buta mata dan hati untuk melihat kekejaman BN merampas tanah-tanah rakyat. Kejadian demi kejadian rumah dan bangunan separuh siap, bahkan ada yang telah didiami, yang dipaksa roboh oleh BN tidak memalingkan mereka dari menyokong parti itu.

Begitu juga dengan pemecatan dan penamatan khidmat sebilangan penjawat awam negeri, yang secara jelas dibuat kerana balas dendam politik. Walau pun di antara yang menjadi mangsa tindakan rakus itu adalah sanak-saudara atau kenalan mereka, golongan ini tetap mewajarkan tindakan itu.

Berbuih mulut dan bagaikan nak pecah anak tekak para pemidato PAS menyampaikan berbagai isu melanda masyarakat, nasional mahu pun tempatan, namun semua itu diterima mereka hanya sebagai retorik politik. Kesetiaan dan kepercayaan mereka terhadap kebaikan serta keikhlasan BN menjaga kebajikan rakyat amat sukar digugah.

Namun, kini senario masyarakat di Terengganu sudah jauh berubah. Barangkali keegoan BN yang tidak pernah menyesali laku-musnah dibuatnya terhadap perpaduan dan kedamaian masyarakat telah sedikit demi sedikit mewujudkan rasa kesal dan bersalah di hati rakyat yang sebelum ini menyokong parti itu.

Mereka mula merasakan seolah-olah sama-sama ada ‘saham’ menggalakkan BN terus dengan sikap bongkak sehingga mengenepikan kepentingan umum. Kemenangan dan kekuasaan telah membuatkan BN merasa boleh melakukan apa sahaja yang dirasakannya betul.

Memetik kata seorang kawan, “kesedaran tu dah ada, rasa ‘sesal’ sokong Umno dan ada. Cuma tak pasti sejauh mana ia mampu mencipta perubahan politik. Apakah mood perubahan dalam masyarakat kini mampu mencapai tahap ‘99, itu tak boleh nak kata”.

Kesedaran dan ‘mood’ itulah yang wajar dimanfaat dan dimanipulasikan sebaiknya oleh PAS Terengganu! Mampukah ia dilakukan? (bersambung...)

(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1724, 12 Mac 2012 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment