Thursday, March 1, 2012

Penentang penjajah bukan penderhaka

Oleh: Mohd Nasir Awang

Bahawa kemungkinan wujudnya kelemahan dalam penulisan sejarah negara, sama ada secara tidak sengaja atau memang disengajakan oleh para penulis Barat bagi menyembunyikan fakta sebenar, adalah suatu hakikat yang tidak sepatutnya ditolak mentah-mentah.

Sudah tentu mana-mana bangsa penjajah pun berhasrat menjaga maruah dan kepentingan bangsa mereka. Justeru apa-apa fakta yang boleh mencemar ego atau merendahkan martabat bangsa mereka besar kemungkinan tidak dicatatkan. Manakala sebarang keistimewaan dan kebaikan bangsa dijajah juga dipadamkan dari pengetahuan umum.

Sejarah negara ditulis mengikut acuan penjajah, sekaligus bagi menggambarkan keagungan dan kehebatan bangsa mereka. Penulisan sejarah tanahair kita turut menimbus peranan Islam sebagai kuasa pendorong di sebalik gerakan penentangan orang-orang Melayu terhadap kehadiran penjajah di negara ini.

Ciri-ciri penyelewengan fakta itu agak terserlah di dalam kes perjuangan Tok Janggut. Sehingga sekarang penulisan sejarah pahlawan Melayu dari Kampung Jeram, Pasir Puteh, Kelantan itu lebih kepada menggambarkan beliau sebagai seorang yang derhaka. Manakala penduduk Kampung Jeram yang bangkit bersamanya dianggap perusuh. Kononnya mereka tidak berpuas hati terhadap cukai yang dikenakan kepada mereka.

Samalah juga gambaran yang diberikan oleh penulisan sejarah mengenai perjuangan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu. Kumpulan itu juga digambarkan sebagai pemberontak atau perusuh yang engkar kepada arahan membayar cukai.

Sedangkan sejarah yang diperhalusi semula jelas menunjukkan perjuangan Tok Janggut adalah sealiran dan semaksud dengan rakan-rakan penentang British lain, seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah (Imam Perang Rasul) dan Mat Seman (Mat Kelantan).

Hubungan antara mereka juga dikatakan sangat rapat. Malah, sewaktu diburu British, para pejuang Melayu Pahang ini telah bersembunyi di Jeram, Pasir Puteh, kampung Tok Janggut.

Aspirasi perjuangan Islam didukung mereka ini tidak wajar dipertikaikan. Apatah lagi tatkala berundur dari Pahang dan mengelak dari ditangkap penjajah itu, mereka telah mendapatkan kata-kata semangat dan pemantapan jiwa jihad daripada para ulama di Kelantan dan Terengganu.

Dikatakan salah seorang ulama tersebut ialah Sayyid Abdul Rahman al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh, seorang tok guru tersohor di Terengganu. Dengan tiupan semangat jihad olehnya, para pejuang Melayu Pahang kembali menggempur British.

Buku ini memaparkan tiga makalah dihasil oleh tiga sarjana tempatan. Ketiga-tiga mereka sepakat merumuskan bahawa Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya bukan penderhaka tetapi pejuang kemerdekaan.

Mereka mengangkat senjata bukan untuk menentang sultan, tetapi untuk membebaskan Kelantan daripada cengkaman penjajah British, bersesuaian dengan perisytiharan jihad yang dikeluarkan oleh Kerajaan Islam Uthmaniyah Turki terhadap British pada 11 November 1914. Dalam lain-lain perkataan, kebangkitan Tok Janggut adalah salah satu mata rantai kebangkitan ummah menentang peluasan kuasa kolonial Barat ke atas dunia Islam.

Selain memaparkan detik-detik kebangkitan Tok Janggut menentang British dari perspektif budaya politik Melayu Kelantan, buku ini turut menghidangkan gambar dan dokumen-dokumen bersejarah berhubung kebangkitan tersebut.

Dengan terbitnya buku ini diharapkan kekeliruan masyarakat terhadap perjuangan Tok Janggut akan dapat diperbetulkan. Dengan itu Haji Mat Hassan bin Panglima Munas (nama sebenar Tok Janggut), serta para pejuang lain hendaklah diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan dan bukan lagi sebagai penderhaka. – Mohd Nasir Awang

INFO BUKU

Tajuk: TOK JANGGUT – Pejuang atau Penderhaka?
Penyusun: Nik Anuar Nik Mahmud
Penerbit: Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi (1999)
Penyumbang: Prof. Dr. Abdullah Zakaria, Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya; Prof. Madya Dr. Hanapi Dollah, Jabatan Persuratan Melayu, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia; Prof. Madya Dr. Nik Anuar Nik Mahmud, Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah Edisi 3 (Mac 2012) di ruangan RAK BUKU DIAN dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment