Thursday, March 1, 2012

Mengapa tidak guna “Ihya’ al-Islam”?

Assalamu’alaikum warahmatullah,


Bismillahirrahmanirrahim. Segala puji hanya tertentu buat Allah, Yang telah mengutuskan RasulNya berbekalkan hidayah dan deen yang benar, guna mendesak manusia kepada agama ini secara menyeluruh, meski pun ia mengundang kebencian khalayak penentang.

Alhamdulillah, perjalanan kami kini memasuki Edisi 3. Terimakasih di atas sokongan dan saranan semua pihak yang amat positif, juga amat bermanfaat buat kami mengatur ‘tatihan’ seterusnya.

Sekadar berkongsi bual bicara, ada teman yang melontarkan persoalan, kenapa kami menggunakan cogankata “Ihya’ As-Sunnah”. Kata mereka, bukankah jika digunapakai ‘Ihya’ al-Islam’ ianya lebih menyeluruh?

Ya, sememangnya kami mengambil pendekatan memaut para pembaca menghayati Islam dari perspektif As-Sunnah, yang sudah tentu bersandarkan pertuturan, perlakuan dan perakuan Nabi Muhammad saw. Dialah insan teragung dan termulia.

Dia diutuskan Allah dengan berbagai tujuan. Antaranya, memberi peringatan dan amaran (Al-Muddaththir 74:2; al-Ghaasiyah 88:21); membersihkan iktikad (al-Baqarah 2:129,151; Al-Jumuah 62:2); membawa khabar gembira (al-Baqarah 2:119); menyampaikan hukum Allah (an-Nisa’ 4:105) dan yang paling besar ialah membawa rahmat ke seluruh alam (al-Anbiya’ 21:107).

Sudah tentu bagi menyempurnakan tugasan sebegitu besar, Baginda saw dibekalkan pakej lengkap untuk dijadikan contoh dan ikutan terbaik (baca Al-Ahzab 33:21), sekira-kira umatnya tidak akan berhajat kepada teladan lain dalam memastikan segenap aspek kehidupan ini berbetulan dengan apa yang diredhai Allah SWT.

Dalam ertikata lain, keseluruhan aspek ajaran Islam itu sendiri berpaksikan kepada apa yang dipertutur, diperbuat dan/atau diperakui Baginda saw. Masakan tidak jika Allah SWT sendiri
menegaskan, ‘sesiapa yang taat kepada Rasulullah saw, maka sesungguhnya dia telah taat kepada Allah’ (an-Nisa’ 4:80)?

Begitu juga dengan ‘kata dua’ dari Allah, bahawa jika benar kita mengasihi Allah maka ikutlah Nabi saw (A-li Imran 3:31). Ertinya, menghidupkan As-Sunnah sebenarnya menghidupkan keseluruhan Islam itu sendiri.

Kami percaya pemahaman ini sudah diterima umum. Cuma barangkali teman-teman yang melontarkan persoalan itu juga sekadar mengambil uslub Saidina Jibril as. Dia pura-pura bertanyakan makna iman, Islam dan ihsan sebagai helah membuka ruang kepada Rasulullah saw mengajar para sahabat. Sedangkan Jibril sendiri sudah tahu jawaban kepada persoalan dilontarkannya.

Sekali lagi terimakasih kepada teman-teman di luar sana.

Akhukum fil Islam,
Mohd Nasir Awang

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah Edisi 3 (Mac 2012) di ruangan EDITORIAL dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment