PERTENGAHAN November lalu, penulis buat kesekian kalinya menerima jemputan untuk menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan 2011daripada pihak sekolah tempat anak-anak sedang belajar. Berdasarkan amalan lazim dalam kalendar tahunan, dapat ditelah bahawa majlis itu diadakan sebagai penutup penggal persekolahan sessi lalu.
Namun bukan semua murid dilibatkan untuk menjayakan program separuh hari itu. Sepertimana nama diberikan kepadanya, majlis itu secara khusus melibatkan hanya murid-murid yang mendapat keputusan terbaik dalam pelbagai kategori penilaian akademik ditentukan pihak sekolah. Dua anak penulis adalah antara lebih 100 murid yang termasuk dalam senarai tersebut.
Selain slot penyampaian anugerah yang merupakan kemuncak majlis itu, seperkara yang turut menarik perhatian hadirin ialah ucapan perasmiannya. Biar pun pengucapnya bukan tokoh dijemput khas, sebaliknya hanya Tuan Guru Besar sekolah tersebut sendiri, butir-butir ucapannya amat memaut tumpuan dan mengusik perasaan para ibu bapa. Beliau antara lain melontarkan takrif kecemerlangan dalam skop pemahaman yang lebih luas.
“Walau pun pada zahirnya majlis anugerah kecemerlangan hari ini adalah untuk merai dan mengiktiraf kejayaan anak-anak kita mencapai tahap cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum sepanjang tahun ini, ia juga sebenarnya secara tersirat merupakan keraian untuk para ibu bapa cemerlang yang hadir pagi ini. Pada saya, anak-anak yang cemerlang adalah hasil asuhdidik ibu bapa yang cemerlang juga. Maka tuan-tuan dan puan-puan yang ada di hadapan saya ini adalah sebenarnya para ibu bapa yang cemerlang”, ujarnya.
Berderau juga darah penulis mendengar penegasan itu. Rasa bangga dan ‘kembang hidung’ pun turut terlintas di benak fikir apabila merasakan pujian itu turut ditujukan kepada diri ini.
Lagi pun, secara logiknya memang dapat kita rasionalkan hujah Tuan Guru Besar itu. Setiap daripada kita khususnya yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak memang tidak sukar mengakui betapa kita sebenarnya telah memainkan peranan signifikan dalam mengasuhdidik anak-anak. Biar pun secara informal, kita sebagai ibu bapa adalah ‘guru pertama’ kepada anak-anak kita sendiri.
Justeru, kita boleh bersetuju dengan tafsiran Tuan Guru Besar tadi, bahawa kecemerlangan seseorang anak itu sebenarnya bertitik-tolak daripada kecemerlangan asuhdidik kedua ibu bapanya. Dalam ertikata lain ibu bapa yang cemerlang telah memulakan pendidikan awal anak-anak mereka di rumah, sekurang-kurangnya buat beberapa tahun sebelum para guru mengambil alih tugas itu di prasekolah dan sekolah.
Mungkin tidak semua antara kita ada kemampuan atau kesempatan mengajar ABC dan alif-ba-ta kepada anak-anak. Namun tidak sedikit antara kita meluang masa mengajar anak-anak mengaji al-Quran sebelum menghantar mereka berguru secara rasmi dengan pihak lain. Kita juga menunjuk ajar tatacara mengerjakan solat pada peringkat asas di rumah sebelum anak-anak menimba pemahaman dan praktik lebih mantap di luar sana. Guru-guru di sekolah pula menyambung dan memperelokkan lagi proses pendidikan tersebut.
Sementara sebahagian ibu bapa selepas itu terus memainkan peranan terbaik mereka memastikan perkembangan positif pendidikan anak-anak, ada juga yang mengambil sikap seakan berlepas tangan. Tidak sedikit kini ibu bapa yang “menswastakan” sepenuhnya proses pendidikan anak-anak kepada pihak sekolah atau pusat asuhan. Kononnya ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya dan tidak mempunyai masa untuk meneruskan asuhdidik anak-anak.
Lebih-lebih lagi ada ibu bapa beranggapan kononnya hanya pihak sekolah atau guru-guru yang lebih arif dan mahir dalam menentukan aspek atau sukatan pendidikan yang bagaimana yang diperlukan anak-anak apabila memasuki alam persekolahan. Pegangan ini diperkukuhkan lagi dengan persepsi bahawa kecemerlangan anak-anak adalah sepenuhnya bergantung kepada prestasi dan pencapaian akademik mereka.
Di sinilah silapnya penilaian kita. Memang boleh dikatakan semua ibu bapa mengharapkan anak-anak menjadi murid yang cemerlang. Namun setiap kali perkataan cemerlang diungkap, yang segera telintas di fikiran dan gambaran ialah kejayaan anak-anak mencapai tahap terbaik dalam akademik dan kokurikulum.
Sedangkan takrif cemerlang itu sepatutnya jauh lebih luas daripada sekadar pencapaian straight-A, umpamanya. Bagi kita orang Islam, ia sudah semestinya turut meliputi kecemerlangan didikan agama terhadap mereka, yang dizahirkan menerusi kecemerlangan akhlak dan adab mereka.
Amat malang, pencapaian positif anak-anak dalam aspek berkaitan agama, termasuk akhlak dan adab tidak pula dijadikan agenda utama di alam persekolahan mereka. Sebab itu kita tidak pernah dengar diadakan majlis anugerah kecemerlangan khusus untuk pencapaian itu di mana-mana pun. Malah untuk melihat anugerah berkaitan akhlak dan adab diselitkan dalam senarai kategori anugerah di sekolah-sekolah pun agar sukar. Yang digembar-gembur dan memaut keprihatinan masyarakat ialah pencapaian akademik anak-anak mereka.
Bahkan, pengkelasan subjek-subjek akademik itu juga secara jelas meminggirkan subjek agama dan moral. Hakikat ini sudah diamalkan di sekolah sejak sekian lama. Sebab itu dalam ucapan Tuan Guru Besar sekolah tadi, beliau tidak teragak untuk berterus-terang mengenai perkara itu.
Beliau menyentuh soal saringan untuk kenaikan kelas. Menurutnya, pihaknya hanya mengambilkira lima subjek teras sebagai asas penilaian prestasi seseorang murid bagi tujuan pemilihan ke tahap seterusnya. Lima kertas teras itu ialah Bahasa Malaysia Kefahaman, Bahasa Malaysia Penulisan, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, iaitu subjek-subjek Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Dalam ertikata lain, hanya markah lima kertas tersebut yang dijumlahkan sebagai ukuran pencapaian murid. Justeru, beliau mengingatkan para ibu bapa agar tidak terkejut atau tertanya-tanya sekiranya mengikut congakan mereka markah keseluruhan diperolehi anak-anak berada di kedudukan baik, tetapi tidak dipromosi untuk kenaikan kelas.
Atau mungkin ada yang berdepan risiko terpaksa diturunkan kelas, contohnya daripada kelas ‘A’ ke kelas ‘B’, walau pun jumlah markah kesemua subjeknya melayakkannya kekal di kelas sama.
Walau pun tidak disebut secara terbuka oleh Tuan Guru Besar, hadirin dapat menyimpulkan dari ucapannya itu bahawa subjek agama Islam tidak dijadikan keutamaan oleh sekolah. Dalam perkataan lebih mudah, subjek itu tidak ada nilai akademik. Pencapaian cemerlang dalam subjek itu tidak membantu melonjakkan penilaian prestasi seseorang murid.
Justeru, jika pun anak-anak kita mendapat markah rendah dalam subjek agama, ia tidak menjadi masalah yang merunsingkan pihak sekolah mahu pun ibu bapa. Ia tidak menjejaskan peluang murid-murid untuk naik kelas, selagi mereka cemerlang dalam lima subjek teras itu. Begitu juga dalam menghadapi UPSR.
Lalu sejajar hasrat melihat kecemerlangan anak-anak dalam akademik, seluruh usaha dan kesungguhan ditumpukan ke arah lima subjek tersebut. Sama ada kelas tuisyen yang dianjurkan pihak sekolah sendiri mahu pun pusat tuisyen dioperasikan pihak swasta hanya menumpukan kepada subjek-subjek dimaksudkan. Tidak ada pihak yang berminat menganjurkan kelas tambahan atau tuisyen untuk subjek agama dan seumpamanya.
Anak-anak dibesarkan dalam kepadatan jadual pembelajaran yang secara jelas meminggirkan subjek agama Islam. Hal itu secara tidak langsung menanamkan persepsi dalam pemikiran mereka kononnya untuk memastikan kejayaan masa depan mereka, kecemerlangan dalam ilmu agama tidak perlu dipentingkan.
Keadaan bertambah buruk sekiranya para ibu bapa juga berpendirian serupa. Demi memastikan anak-anak mencapai keputusan akademik yang terbaik, mereka yang berpegang kepada pemahaman sebegini akan hanya memberikan tumpuan kepada subjek-subjek dimaksudkan, sekali gus mengabaikan subjek agama.
Secara tidak langsung kehidupan anak-anak dibiasakan dengan suasana tidak mementingkan ilmu agama. Apabila pengetahuan asas agama tidak diberati sejak usia awal mereka, maka anak-anak cenderung membesar sebagai insan yang longgar pegangan aqidah dan komitmen ibadah mereka.
Apatah lagi sekiranya amalan seharian ibu bapa mereka sendiri turut tidak membantu anak-anak memahami dan menghayati suruhan agama, termasuk antaranya tidak memberati solat lima waktu. Lalu berlakulah apa yang disebutkan pepatah Melayu, ‘bapa borek, anak rintik’ atau ‘ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi’. Logiknya, apabila ibu bapa tidak solat, bagaimana mungkin anak-anak akan terdorong menegakkan rukun Islam itu?
Sebab itu kita dapati ramai ibubapa begitu bersungguh dan berharap agar anak-anak mereka mendapat 5A dalam UPSR, tetapi ibu bapa sama tidak pula sebegitu bersungguh memastikan anak itu menyempurnakan tuntutan LIMA waktu solat fardhu sehari semalam.
Jelas sekali konsep cemerlang itu telah disalahertikan atau disempitkan skopnya. Kita menilai kecemerlangan anak-anak hanya berdasarkan pencapaian akademik mereka, sedangkan di sisi agama ukuran kecemerlangan mereka bukan sekadar pada kemampuan memperolehi straight-A dalam peperiksaan. Mereka mestilah juga cemerlang dalam menjunjung suruhan dan larangan Tuhan.
(Artikel ini disiarkan majalah ERA Muslimah, Edisi 2 (Januari 2012) di ruangan 'TOPIK' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment