Sunday, January 1, 2012

Al-Ibanah ‘an Usul ad-Diyanah, kitab pencetus polemik aqidah

Oleh: Mohd Nasir Awang


Sesiapa juga yang meneliti senarai para ulama muktabar di zaman silam pasti akan bertemu nama Imam Abul Hassan Al-Asyaari. Nama beliau terpahat sebagai salah seorang yang banyak menyumbang kepada pembangunan ummah.

Nama sebenarnya ialah Ali bin Ismail bin Abu Bisyr Ishak bin Salim bin Ismail bin Abdullah bin Musa bin Bilal bin Abu Bardah bin Abu Musa al-Asyaari r.a., yang merupakan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. Ada pun Abul Hassan adalah gelaran beliau.

Menurut riwayat paling diterima, beliau dilahirkan di Basrah pada 260H. Seorang yang terkenal dengan sifat zuhud dan warak. Kehidupan beliau sangat sederhana dan jauh sekali dari mengejar kemewahan dunia.

Imam Abul Hassan banyak menulis kitab dalam berbagai bidang ilmu. Jumlah kitab karangannya dikatakan melebihi tiga ratus buah. Kitab-kitab tersebut membuktikan keilmuan beliau. Namun sebahagian besar kitab-kitab itu tidak sampai ke pengetahuan ummah zaman ini. Hanya sebahagian kecil sahaja yang sampai dan dapat dibaca serta dikaji.

Antara kitab-kitabnya yang masyhur dan dijadikan rujukan serta sumber perbahasan ialah Maqalat al-Islamuyyin wa Ikhtilaf al-Musallin, Rusalatuhu Ila at-Tharghi, Istihsan al-Khud fi al-Ilm al-Kalam, al-Luma’ fi ar-Rad ‘ala Ahl az-Zaig wa al-Bida’ dan Al-Ibanah ‘an Usul ad-Diyanah.

Al-Ibanah adalah kitab berisi penjelasan aqidah Salaf Ahlul Hadith yang ditulis oleh Imam Abul Hasan Al-Asyaari setelah beliau bertaubat dari pemikiran Muktazilah dan Kullabiyah yang telah beliau anut selama empat puluh tahun. Selepas peristiwa mengejutkan di Masjid Jamek Kota Basrah, saat beliau melepas jubah sambil berkata: “Aku melepaskan seluruh aqidah yang ku yakini dahulu seperti aku melepas jubahku ini”, beliau terus aktif menulis bantahan terhadap pemikiran dan aqidah kaum Muktazilah.

Salah satu di antara karya penting beliau di dalam memutihkan pegangan beliau adalah buku Al-Ibanah ‘an Usul ad-Diyanah ini. Kitab ini membuktikan kebenaran taubat Imam Abul Hasan Al-Asyaari dari pemikiran Muktazilah dan bukti bahawa beliau adalah seorang pengikut manhaj salaf sejati. Ia bagaimana pun sempat mengundang polemik apabila ada pihak yang tidak dapat menerima Al-Ibanah sebagai kitab karangan beliau yang terakhir. Bahkan ada yang berpandangan segala pegangan beliau di dalam Al-Ibanah dibuat kerana taqiyah dan tidak mewakili pegangan beliau yang sebenar.

Justeru, sebilangan ulama tampil menjelaskan. Antara mereka, Abul Qasim Abdul Malik bin Isa bin Darbas Asy-Syafie dalam kitabnya Adz-Dzab ‘an Anbil Hasan Al-Asyaari menulis: “Wahai saudara-saudara sekalian! Ketahuilah bahawa Al-Ibanah ‘an Usulud Diyaanah adalah kitab yang ditulis oleh al-Imam Abul Hasan ali bin Ismail Al-Asyaari yang merupakan keyakinan beliau yang terakhir berkat kurnia dan rahmat Allah.”

Walau pun kitab ini agak sederhana dari sudut saiznya, ia merupakan sebuah karya yang amat penting kerana isi kandungannya yang cukup bernilai. Pada masa yang sama ia menjelaskan pegangan terakhir Imam Abul Hassan Al-Asyaari. Di dalamnya banyak dimuatkan ayat-ayat al-Quran bertujuan menjelaskan persoalan aqidah sebagaimana yang dipegangi oleh Ahli al-Sunnah wa al-Jamaah, sekaligus menolak pandangan golongan Muktazilah yang banyak menyelewengkan maksud ayat-ayat al-Quran.

Menerusi kitab ini beliau banyak mengambil pendekatan tafsir yang mantap iaitu mengutamakan kaedah tafsir bil-ma’thur, iaitu kaedah pentafsiran al-Quran berpandukan al-Quran itu sendiri, al-Hadith, athar para sabahat dan tabien, di samping pendekatan tafsir bi ar-raie yang positif.

Memandangkan kitab ini berisikan kepercayaan beliau dalam agama Allah SWT setelah beliau bertaubat dari keyakinan Muktazilah, maka beliau mohon dibebaskan tanggungjawab di depan Allah terhadap semua kitab yang dinisbatkan kepada beliau sebelum itu yang bertentangan dengan yang beliau tulis dalam kitab ini. Dengan tegas beliau menyatakan bahawa kitab ini mengungkapkan kepercayaan beliau dalam agama Allah SWT. Beliau menetapkan bahawa kitab ini berisi keyakinan para sahabat, tabien, imam-imam hadith yang terdahulu dan perkataan Imam Ahmad bin Hanbal radhiallahu ‘anhum ajmain.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 1 (Januari 2012) di kolum 'RAK BUKU DIAN' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment