Sunday, January 1, 2012

Selayang pandang perjuangan Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd


Oleh: Mohd Nasir Awang

Sejarah awal Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd bermula pada tanggal 2 Mac 1957 dengan penubuhan PUSTAKA DIAN oleh Allahyarham Dato’ Yusoff Zaky bin Hj Yacob atau Dato’ Sri Setia Raja. Syarikat milikan tunggal yang beroperasi di rumah ini bermula dengan modal awal sebanyak RM5,000. Ia terlibat secara langsung dalam penerbitan bahan-bahan bacaan untuk tatapan masyarakat umum.

Pada 11 April 1969, sesuai dengan perkembangan perniagaan pada waktu itu, sebuah syarikat sendirian berhad telah diperbadankan dengan nama SYARIKAT DIAN SDN BHD (Syarikat Dian) untuk mengambil alih seluruh kepentingan Pustaka Dian. Sejak dari itu syarikat ini mula beroperasi di bangunan kilangnya sendiri di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu.

Dengan hasrat menjadikan Syarikat Dian sebagai sebuah badan percetakan Kerajaan Negeri, maka pada pertengahan tahun 1981 Yayasan Kelantan Darulnaim (YKD) mula menjadi rakan usahasama. Hasilnya, lahirlah sebuah syarikat baru dengan nama DIAN DARULNAIM SDN BHD (DDSB). Motif usahasama tersebut telah mengubah keutamaan aktiviti pengeluaran syarikat kepada aktiviti percetakan, manakala aktiviti penerbitan pula telah menjadi operasi sekunder bagi syarikat.

Pada penghujung tahun 2005, YKD dan Syarikat Dian telah mengambil keputusan melupuskan seluruh kepentingan mereka kepada kakitangan DDSB melalui penubuhan PENERBITAN KONSEP SDN BHD.

Pada penghujung tahun 2010 pula, Badan Pengurusan baru DDSB mula mengorak langkah mengasingkan kedua-dua operasi teras syarikat ini. PENERBITAN DIAN DARULNAIM SDN BHD telah diperbadankan untuk mengambilalih operasi penerbitan, manakala DDSB terus kekal beroperasi sebagai syarikat percetakan.

Sebagai wadah Muslim, Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd diwujudkan di atas kesedaran memajukan ummah dan bukan hanya berorientasikan keuntungan perniagaan semata-mata. Malah dasar penerbitannya adalah digarapkan ke arah menitikberatkan pembangunan nilai-nilai murni insaniyah yang berprinsip serta berteraskan Islam. Ini sekaligus mengenepikan penerbitan-penerbitan yang tidak berprinsip serta mencanggahi dasar-dasar Islamiyah dan ilmiyah.

Matlamat utama penubuhannya ialah untuk menerbitkan al-Quran, terjemahan al-Quran serta bahan-bahan bacaan agama yang berbentuk buku, majalah dan komik. Kami ingin menjadikan syarikat ini sebagai saluran mengembangkan budaya Islamiyah dan ilmiyah selaras dengan aspirasi untuk mewujudkan umat Islam di negara ini yang dapat menggunakan segala usaha dan tenaga mereka ke arah kesejahteraan duniawi dan ukhrawi.

Misi kami adalah untuk menegakkan syarikat yang dapat turut menyumbang kepada pembangunan Islam di samping sebagai wadah rezeki kehidupan keluarga. Dalam mencapai hasrat itu kami berpegang kepada kepercayaan dan keyakinan bahawa kecemerlangan syarikat adalah kecemerlangan kami dan imej baik syarikat adalah imej kami.

Dalam hubungan ini, amalan dan polisi yang diwujudkan mampu mendorong seluruh kakitangan menyumbang bakat, kebolehan dan usaha mereka ke arah peningkatan hasil syarikat di samping menyediakan peluang kerjaya lebih baik dan produktif. Dengan rasa tanggungjawab dan pertanggungjawaban yang tinggi, para pekerja akan bertindak sebagai satu kumpulan yang padu, bahu-membahu, berhemat, menghormati dan prihatin antara satu sama lain untuk merealisasikan objektif syarikat.

PENERBITAN DIAN DARULNAIM SDN BHD sebenarnya telah lama mengukir nama dalam bidang penerbitan dengan mempelopori beberapa penerbitan tabloid, diages dan majalah seperti Mingguan Kota Bharu, Dian Diages, Santajiwa dan Peristiwa. Penerbitan-penerbitan ini pernah menjadi bahan bacaan yang popular suatu ketika dahulu.

Fokus dan produk utama penerbitan kami pada masa ini ialah buku-buku bacaan umum Islam. Setakat ini kami telah menerbitan sebilangan buku, termasuk Indeks al-Quran, beberapa judul dalam Siri Wacana Pemikiran Islam Kontemporari dan lain-lain. Pada masa yang sama, bagi melengkapi operasi kami sebagai sebuah badan penerbitan, kami sedang merintis jalan untuk mempelbagaikan produk syarikat ini. Di antara usaha-usaha yang telah dijalankan ialah penerbitan bahan berkala seperti majalah al-Muslimah.

Sejarah awal penerbitan majalah ini bermula pada tahun 1984. Pada waktu tersebut ia di bawah Jabatan Penerangan PAS Pusat. Bagaimana pun pada tahun 1995 ia telah diambil alih oleh Dewan Muslimat Sdn Bhd dan beroperasi sehingga tahun 2000. Penerbitannya terhenti selama dua tahun apabila berlaku krisis pengurusan yang menyaksikan Dewan Muslimat Sdn Bhd terpaksa ditutup. Pada tahun 2003, DDSB telah mendapat keizinan pemegang permit majalah ini untuk mengambil alih penerbitannya. Maka bermula tahun 2004 Majalah al-Muslimah kembali berada di pasaran.

Walau pun urusan penerbitan majalah ini diserahkan kembali kepada pemegang permitnya pada Disember 2011, legasi penampilannya dalam pasaran insya Allah akan diteruskan dengan kemunculan majalah ERA MUSLIMAH, yang mana permit penerbitannya dimiliki oleh Penerbitan Dian Darulnaim Sdn Bhd sendiri.

Di samping majalah Era Muslimah, kami juga tidak pernah putus asa berusaha menerbitkan semula Majalah Dian atau Dian Diages yang pernah mendapat tempat di hati pembaca suatu ketika dulu. Alhamdulillah, dengan terbitnya majalah yang sedang anda tatapi ini, ia sekaligus bermakna Allah Ta’ala telah memakbulkan doa dan impian kami itu.

Walau pun ia bukan lagi suatu jelmaan semula majalah Dian Diages dalam bentuk dan orientasinya yang asal, kami tetap yakin ia mampu menjadi saham amat bermakna bagi mendedah dan mendidik masyarakat, khususnya umat Islam sendiri ke arah lebih mengenali dan mendalami pelbagai disiplin ilmu Islam.

Produk-produk ini insya Allah akan disusuli pula dengan beberapa penerbitan lain, antaranya komik Islam dan majalah politik yang diharapkan bakal memberikan saingan hebat kepada penerbitan kategori sama yang sudah pun berada di pasaran lebih awal.

(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 1 (Januari 2012) di kolum 'SEJARAH DIAN' dengan tajuk sama)

No comments:

Post a Comment