Pengalaman menerajui dan menggerakkan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) sememangnya menjadi aset dan sandaran utama sebilangan pemimpin muda itu memainkan peranan penting pula di peringkat lebih tinggi. Contohnya, tiga daripada bekas ketua sayap parti itu diangkat sebagai Pesuruhjaya PAS negeri kemudiannya.
Mereka ialah Abdul Wahab Yunus, yang diamanahkan menerajui PAS Terengganu antara 1975 hingga 1982. Pengiktirafan itu diikuti oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang, yang memegang jawatan utama itu sebanyak dua kali, iaitu untuk sesi 1982-89 dan 1997-2005. Manakala Mohd Abdul Wahid Endut pula menjadi pesuruhjaya bermula 2011 hingga kini.
Sebilangan yang lain pula memainkan peranan amat penting, termasuk sebagai timbalan pesuruhjaya dan setiausaha PAS negeri. Bahkan, dua daripada mereka pernah terpilih menerajui Dewan Pemuda PAS Pusat. Mereka ialah Abdul Wahab Yunus (1973-75) dan Ustaz Abu Bakar Chik (1989-99).
Manakala nama-nama seperti Ustaz Mohd @ Harun Jusoh, Ustaz Abu Bakar Abdullah, Ustaz Zakaria Dagang dan Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani adalah aktivis yang tidak asing di peringkat Pusat pada zaman masing-masing.
Ertinya, sebilangan tenaga kepimpinan muda dan berwibawa, sama ada di peringkat negeri Terengganu mahu pun PAS Pusat, adalah ‘produk’ dihasilkan menerusi DPPNT. Hakikat itu sekaligus mengesahkan betapa sayap itu sememangnya medan atau kilang amat produktif dalam melahirkan tenaga pelapis kepimpinan parti.
Kepercayaan diberikan parti kepada mereka dianggap konsisten dengan peranan sebenar dimainkan khalayak pemuda dalam memastikan kesinambungan perjuangan ini. Mereka adalah agen perubahan masyarakat. Tidak lengkap, bahkan dianggap tidak realistik, sebarang perancangan dan maksud yang hendak dicapai PAS sekiranya tidak mengambilkira kepentingan dan peranan golongan mudanya.
Sejarah turut membuktikan betapa setiap kemenangan diraih PAS adalah hasil usaha gigih golongan mudanya. Parti itu pernah dua kali diberikan kemenangan di Terengganu. Dalam kedua-dua detik manis itu, peranan dimainkan golongan muda amat menyerlah.
Pada Pilihan Raya Umum 1959 misalnya, tenaga penggerak utama PAS, sama ada di peringkat Pusat mahu pun negeri, adalah dari kalangan anak-anak muda. Almarhum Dr Zulkiflee Muhammad selaku Timbalan Yang Dipertua Agung misalnya, baru di usia pertengahan 20-an.
Begitu juga dengan sebilangan calon-calon PAS di Terengganu. Mereka inilah kemudiannya berjaya menambat hati pengundi, seterusnya memberi peluang kepada PAS membentuk kerajaan.
Gelombang kebangkitan akidah yang melanda dunia Islam pada sekitar akhir 1970-an dan awal 80-an turut menempias perjuangan politik di negara ini. Sekali lagi golongan utama yang menyahut seruan kebangkitan itu ialah kalangan muda di dalam PAS.
Di Terengganu sendiri, muncul ketika itu seorang ulama muda yang baru pulang dari pengajiannya di Timur Tengah. Suaranya yang lantang, hujahnya yang bernas dan keberaniannya yang luar biasa telah mencetuskan fenomena baru di kalangan pencinta ilmu Islam, khususnya para pendukung PAS.
Beliau tidak lain daripada Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri. Pada usia 30-an ketika itu, kehadirannya di persada politik tanahair menjadi sanjungan dan sebutan masyarakat. Di mana pun beliau berceramah dan apa pun program dihadirinya pasti menggamit kehadiran lautan manusia.
Beliau dianggap ikon masyarakat, terutama golongan muda. Gaya pidatonya yang tegas dan bernas menjadi ikutan sebilangan ulama muda lain dalam penyampaian kuliah dan ceramah mereka. Manakala kaset ceramah dan kuliahnya menjadi bahan sajian telinga paling popular di kalangan mahasiswa berfikrah Islam di kampus-kampus, dalam dan luar negara.
Butir bicaranya banyak mencetuskan isu besar dalam masyarakat. Sebahagian isu itu diperjelakan hingga ke tahap menimbulkan kontroversi dan menjadi bahan perbahasan khalayak ilmuan Islam. Ia sekaligus menjadi perkembangan amat membimbangkan buat parti pemerintah, Umno.
Walau pun tidak sampai ke peringkat mendorong kemenangan besar PAS di Terengganu, ‘Fenomena Haji Hadi’ telah melonjakkan tahap pencapaian parti itu. Kejayaan membutirkan sepuluh kerusi pembangkang lewat Pilihan Raya Umum 1990 dianggap pencapaian paling membanggakan.
Kebangkitan anak-anak muda sekali lagi membuahkan detik manis buat PAS pada 1999. Gelombang reformasi yang tercetus di peringkat nasional pada 1998 sememangnya memaut dukungan golongan ini. Seakan-akan sudah tidak ada kuasa ketika itu yang dapat menghalang mereka daripada keluar ke jalan-jalan raya, berdemonstrasi dan meluah rasa menerusi apa jua saluran media yang mereka temui.
Tema menolak Barisan Nasional (BN) menjadi igauan paling mengerikan buat parti pemerintah itu. Ia bersipongang di serata negara, termasuk di Terengganu. Keadaan itu bagaikan disambut secara amat bertepatan oleh PAS Terengganu apabila menampilkan calon-calon yang sebahagian besarnya dari kalangan muda.
PAS meraih kejayaan besar seterusnya kembali memerintah Terengganu, sebahagian besarnya dianggap hasil saham utama dimainkan golongan muda di negeri itu.
(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding versi disiarkan tabloid Harakah Bil:1711, 27 Januari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS', F22 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment