Oleh: Mat Zain Mat Isa
Rencana ini ditulis pada petang Khamis, 19 Januari, kira-kira lima jam sebelum berlangsungnya acara ‘sepak mula’ satu program besar PAS di Dungun. Program sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) itu merupakan himpunan kedua pada skala sama dianjurkan parti itu dalam masa dua minggu.
Awal bulan ini Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu telah menganjurkan program Sambutan 100 Tahun Itqanul Muluk bi Ta’dil as-Suluk, iaitu Perlembagaan Islam Negeri Terengganu. Kebetulan pula, kedua-dua program itu berkongsi banyak persamaan, sama ada pada maudhuk sejarah yang disambut, pengisian aturcara program atau natijah politik dihasratkan.
Paling ketara ialah hasrat penganjur kedua-dua program itu untuk memastikan momentum kebangkitan rakyat Terengganu untuk menolak Barisan Nasional (BN) terus disemarakkan. Momentum itu didakwa telah dipacu menerusi tiga program Himpunan Kebangkitan Rakyat-PAS Ganti Umno (HKR-PGU) sepanjang 2011 lalu.
Untuk itu, PAS Terengganu menganjurkan sambutan jubli intan Itqanul Muluk. Menurut sejarah, Perlembagaan Islam Terengganu itu telah diperkenalkan oleh Sultan Zainal Abidin III pada 1911.
Oleh kerana detik bersejarah itu dipahat di istana, yang diakui lokasinya memang di bandar Kuala Terengganu, maka ramai berpandangan sambutan memperingatinya juga sepatutnya diadakan di sekitar daerah itu.
Namun ada perkiraan lain diambil oleh PAS Terengganu apabila memilih untuk mengadakan sambutan itu di Kuala Berang, Hulu Terengganu. Ia dikatakan mengambil sempena tempat penemuan Batu Bersurat yang masyhur itu, tidak jauh dari situ.
Ertinya, biar pun yang disambut ialah genap usia seabad Perlembagaan Islam Negeri Terengganu, namun titih baris kewujudan perlembagaan itu dianggap bermula dengan apa yang telah dipraktikkan di negeri tersebut seawal kurun ke-13.
Bukti pelaksanaan hukum dan peraturan Islam di Terengganu sejak tarikh itu ialah apa yang terpahat pada tamra prasasti itu. Sebab itu sebarang ingatan dan sanjungan terhadap Itqanul Muluk dianggap tidak lengkap tanpa menghidupkan sama ingatan masyarakat terhadap Batu Bersurat.
Barangkali mengambil pendekatan serupa, DPPNT memilih mengadakan sambutan 50 tahun usianya di Dungun. Sedangkan menurut catatan sejarah, sayap itu ditubuhkan pada 20 Januari 1961, di Kuala Terengganu. Maka, sepatutnya program memperingati detik bersejarah itu juga diadakan di kawasan sekitar ianya terpahat separuh abad lalu itu.
Namun, sepertimana kaitan rapat antara Itqanul Muluk dan Batu Bersurat, begitulah juga pertalian erat antara perjuangan DPPNT dengan PAS negeri itu sendiri. Menurut sejarah paling diterima juga, PAS Terengganu ditubuhkan di Sura Gate, Dungun, pada 1956. Ertinya, kewujudan DPPNT hanya menyusul lima tahun kemudian.
Barangkali pihak penganjur akui betapa sebarang ingatan dan sanjungan terhadap DPPNT tidak lengkap tanpa menghidupkan sama ingatan terhadap sejarah penubuhan PAS Terengganu itu sendiri. Maka mengambil semangat daripada tempat bermulanya titik penting perjuangan Islam di negeri itu, Dungun dipilih untuk sambutan 50 tahun Pemuda PAS Terengganu.
Perkiraan itu bagaimana pun tidak sepenting hasrat pihak penganjur di sebalik terlaksananya perhimpunan besar itu. Apa yang lebih utama ialah memastikan tahap pencapaian sayap parti itu sepadan dengan usia yang telah diharunginya.
Tempoh separuh abad bukan jangka masa yang singkat. Dalam mana-mana perjuangan pun, keupayaan untuk bertahan atau maju hingga ke usia itu bukan suatu yang mudah. Sudah tentu berbagai ranjau dan mehnah sudah ditempuhi para penggalas tugas perjuangan itu.
Begitulah juga dengan DPPNT. Ia antara sayap PAS paling banyak menerima ujian di pentas politik, terutama apabila Terengganu menjadi medan pertembungan paling tegang antara PAS dan parti pemerintah, Umno.
Sepanjang usianya DPPNT telah diterajui oleh 16 pejuang. Bermula dengan Che Da Abdul Jalil Awang (1961-63), diikuti Syed Abdullah Alwi Alkaf (1963-65), Abdul Wahab Yunus (1965-69), Ustaz Mohd @ Harun Jusoh (1969-76) dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang (1976-79).
Selepas itu teraju DPPNT digalas pula oleh Ustaz Abdul Latif Mohamed (1979-83), Ustaz Abu Bakar Chik (1983-85), Ustaz Mahmud Sulaiman (1985-91), Ustaz Abu Bakar Abdullah (1991-93) dan Mohd Abdul Wahid Endut (1993-97).
Menyusul selepas itu ialah Yahaya Ali (1997-99), Ustaz Zakaria Dagang (1999-2001), Muhyiddin Abdul Rashid (2001-03), Ustaz Satiful Bahari Mamat (2003-05) dan Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani (2005-09) sebelum diteruskan oleh Ustaz Mohd Nor Hamzah (2005-kini).
Suatu hakikat terserlah dari nama disenaraikan itu, sebahagian besar bekas Ketua DPPNT kemudiannya memainkan peranan penting menerajui kepimpinan PAS Terengganu pula. DPPNT ibarat kilang melahirkan pelapis kepimpinan PAS negeri itu.
(bersambung di keluaran akan datang...)
(Artikel ini disiarkan tabloid Harakah Bil: 1710, 23 Januari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment