Benar sebagaimana sering disebut-sebut orang bahawa kerja mengisi dan mempertahankan kemenangan adalah jauh lebih payah berbanding usaha mencapainya. Kebimbangan itu akhirnya menjadi kenyataan terhadap kerajaan PAS Terengganu. Ia hanya mampu bertahan sepenggal iaitu antara 1999 hingga 2004.
Barisan Nasional (BN) cepat belajar daripada kekalahannya pada 1999 itu. Antara yang dipelajarinya ialah betapa padah diterimanya itu ialah kerana mengenepikan sentimen dan citarasa anak-anak muda. Bukankah penggerak utama reformasi di serata negara ketika itu adalah khalayak bawah 40-an?
Lalu BN menyusun strategi dengan cukup teratur dan berencana bagi memulihkan semula sokongan anak-anak muda terhadap parti itu. Ia memanipulasi kuasa dimilikinya di peringkat Pusat untuk mengaplikasi taktik jahatnya terhadap kerajaan PAS Terengganu. Selain memfitnah dan merancakkan propaganda media, BN turut mencabut sumber kekuatan kewangan negeri, iaitu dengan merampas hak milik royalti minyak.
Lebih jahat lagi, peruntukan yang ditukar nama kepada wang ehsan itu disalurkan semula ke Terengganu melalui Umno negeri. Parti itu bagaikan memperolehi ‘cek kosong’ untuk membelanjakan semahunya demi meruntuhkan kerajaan PAS, sekaligus mengembalikan kuasa pemerintahan ke tangan BN.
Antara sektor pengundi yang dijamu tanpa had batasan ialah khalayak muda. Berbagai bentuk bantuan ehsan diwujudkan untuk mereka. Ada dinamakan Dana Khas Remaja, ada saguhati atau insentif khas kerana mendaftar sebagai pengundi melalui parti Umno, dan berbagai lagi taburan wang.
Itu belum dihitung berapa ramai kalangan generasi muda yang dipaut dengan berbagai bantuan dalam bentuk perkakasan dan peralatan berkaitan bidang kerjaya mereka, terutama yang menjadi nelayan, petani, peniaga dan sebagainya.
Tidak sedikit golongan ini yang akhirnya ‘mabuk’ dengan jamuan kebendaan dan perang psikologi itu. Bagi yang tidak mempunyai asas kukuh mengenai perjuangan rakyat akhirnya terus hanyut dan semakin sukar menemui jalan berpatah balik. Semangat reformasi yang sebelum itu berkobar-kobar bagaikan mampu meruntuhkan bukit bertukar menjadi air berkarbonat yang hilang ‘gas’nya.
Mereka ini akhirnya menjadi penyokong tegar Umno. Apa pun kepincangan pemerintahan yang disyarahkan pihak pembangkang atau dibual bicara masyarakat tidak lagi diambil peduli. Mereka bagaikan badak pekak atau lembu kenyang. Apa yang mereka pentingkan ialah siapa yang mampu memberi wang atau benda yang diperlukan, pihak itulah yang akan disokong.
Keadaan kemudiannya beransur berubah apabila BN kembali menjadi kerajaan. Umno selaku tunjang pemerintahan akhirnya mengaku keletihan juga menjamu mereka berterusan. Lalu berbagai kaedah diperkenalkan bagi mengelakkan setiap permintaan atau permohonan rakyat dilayan dan disantuni, sepertimana dibuatnya sewaktu PAS memerintah.
Maka dalam masa tidak sampai sepenggal pemerintahan BN, sudah ada rungutan di sana-sini betapa sudah semakin ramai khalayak yang sebelum itu diberikan berbagai bantuan di bawah Dana Khas telah dicicirkan. Kononnya telah dilakukan pemutihan menyebabkan mereka tiba-tiba hilang kelayakan.
Di masa sama, gelombang baru melanda masyarakat yang semakin sedar akan kepentingan mendaulatkan agama, terutama dalam menghadapi kebobrokan sosial yang semakin parah di bawah BN. Masyarakat semakin tercari-cari peluang kembali menghayati ilmu agama. Mahu tidak mahu, masjid dan surau yang pada zahirnya dikuasai BN terpaksa menyediakan ruang diperlukan masyarakat itu.
Kebetulan pula ruang itu amat sukar diisi kesemuanya oleh ustaz dan tokoh agama yang semata-mata pro-Umno atau pendukung BN. Mahu tidak mahu keperluan mengadakan majlis ilmu itu terpaksa diisi oleh mereka yang sama ada tidak berparti atau memang condong kepada PAS.
Benih kecintaan terhadap ilmu agama itu tidka trehenti setakat itu. Ia sebaliknya membuka minda masyarakat untuk lebih dahagakan ilmu. Mereka mula melangkah keluar dari karyah sendiri dan mencari di mana juga premis ibadat yang mengadakan majlis ilmu.
Ada juga yang menyelongkar berbagai wasilah lain, termasuk membeli kaset, vcd, bahkan melayari youtube di internet. Kesungguhan itu membuka ruang mereka mengenali ustaz-ustaz tersohor. Antaranya yang terbilang sudah tentulah ustaz-ustaz PAS, terutama Ustaz Azhar Idrus.
“Fenomena Ustaz Azhar” kini dikatakan melanda negara, khususnya di Terengganu. Di mana pun beliau berkuliah, dikatakan lautan manusia, terutama anak-anak muda akan hadir. Bukan semua mereka itu penyokong tegar PAS pada asalnya. Ada yang sekadar terdorong mengikuti rakan-rakan. Ada juga yang sekadar meminati butir bicaranya setelah terlebih dahulu terbiasa mendengarnya menerusi wasilah lain.
Tidak kurang juga yang ‘dijinakkan’ oleh ustaz-ustaz mirip PAS di masjid atau surau di kampung masing-masing. Mereka akhirnya sedar dan celik realiti bahawa di dalam menyampaikan ilmu agama ini, ustaz-ustaz Pas lebih ikhlas, lebih berterus-terang dalam menghuraikan sesuatu dan lebih berani memperkatakan sesuatu isu yang walau pun mungkin bercanggah dengan aspirasi parti pemerintah.
Itulah stail atau pendekatan yang nampaknya lebih disukai anak-anak muda. Jiwa remaja yang gemarkan kebebasan, keterbukaan serta keberanian memang serasi dengan corak penyampaian yang berani, tegas dan terus-terang sebegitu. Mereka menemuinya di dalam kuliah dan ceramah ustaz-ustaz PAS, terutama Ustaz Azhar.
Namun persoalannya, sejauh manakah “Fenomena Ustaz Azhar” itu mampu membantu partinya melonjakkan tahap sokongan anak-anak muda di Terengganu? Apakah lonjakan itu pula cukup kuat atau cukup besar sehingga membolehkan PAS kembali menguasai tampuk pemerintahan bumi Darul Iman dalam pilihan raya umum akan datang?
(Artikel ini adalah versi lebih panjang berbanding versi disiarkan tabloid Harakah Bil: 1712, 30 Januari 2012 di ruangan 'KOLUMNIS', F21 dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment