Oleh: Mohd Nasir Awang
Muqoddimah
Tidak syak lagi manusia terbaik yang sewajarnya dijadikan teladan dan contoh ikutan ialah tidak lain daripada Nabi Muhammad saw. Sama ada jika dirujuk kepada nas-nas al-Quran, hadith mahu pun catatan dan syarahan para ulama sejak dulu hingga sekarang, kesemuanya mengiktiraf Rasulullah saw sebagai insan paling istimewa dan paling mulia di sisi Allah SWT.
Dalam banyak keadaan kehadiran Baginda disebut secara berangkai dengan Allah Ta’ala. Di dalam ikrar syahadah umpamanya, selain menyaksikan bahawa ‘tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah’, disyariatkan juga kepada umat Islam untuk turut menyambung bahawa ‘Nabi Muhammad itu pesuruh Allah’. Sekira-kira tidak dianggap lengkap ikrar syahadah tanpa disebut kedua-duanya. Bahkan ungkapan itu juga dikenali sebagai ‘dua kalimah syahadah’.
Kita juga diajar betapa Baginda saw tidak akan memperkatakan sesuatu berdasarkan keinginannya sendiri, melainkan ia wahyu dari Tuhan. Sebab itu pembuktian kecintaan terhadap Allah Ta’ala adalah dengan mengasihi Rasul-Nya saw. Bahkan, barangsiapa yang mentaati Rasulullah bererti dia mentaati Allah Taala.
Begitu juga dalam memastikan hidup manusia, khususnya umat Islam, tidak terpesong dari landasan diredhai Allah, maka kita diingatkan agar sentiasa berpegang kepada dua perkara yang ditinggalkan oleh Baginda saw. Dua perkara itu ialah kitabullah yang mengandungi firman Tuhan dan Sunnah Nabi Muhammad saw.
Kepentingan Sunnah Sahabat
Namun, tidak dianggap lengkap mendalami dan menghayati Sunnah Nabi tanpa disertakan sama penghayatan terhadap khalayak yang pernah hidup bersama Baginda. Sebab itu, selain berpegang dengan Sunnah Nabi, umat Islam juga diwajibkan berpegang dengan sunnah para sahabat ridwanullahu Taala anhum.
Dari Imran bin Husain ra, ia berkata, “Rasulullah saw bersabda: Sebaik-baik umatku adalah generasiku, kemudian yang setelahnya, kemudian yang setelahnya – Imran berkata, “aku tidak tahu apakah Nabi saw menyebutkan dua atau tiga generasi setelah generasi beliau” – kemudian setelah kamu akan datang suatu kaum yang bersaksi padahal tidak diminta untuk bersaksi, berkhianat dan tidak mempunyai amanat, bernazar namun tidak memenuhinya, dan kegemukan terlihat pada mereka.” (Riwayat Bukhari no. 3650 dan Muslim no. 2535).
Sabdanya lagi saw: “Bintang-bintang adalah penjaga bagi langit, jika bintang lenyap maka akan datang kepada langit apa yang dijanjikan. Aku adalah penjaga bagi para sahabatku. Jika aku pergi (wafat) maka akan datang kepada para sahabatku apa yang dijanjikan kepada mereka. Sahabat-sahabatku adalah penjaga bagi umatku. Jika sahabat-sahabatku telah pergi (wafat) maka akan datang kepada umatku apa yang dijanjikan kepada mereka.” (Riwayat Muslim no. 2531 dan Ahmad (IV/398-399)).
Penegasan Rasulullah saw dalam hadith-hadith di atas merupakan pengiktirafan Baginda terhadap para sahabatnya, para tabien dan tabie tabien sebagai kelompok terbaik yang harus dicontohi oleh sesiapa sahaja yang datang selepas mereka, terutama sekali dari aspek aqidah, ibadah, akhlak dan lain-lain.
Dalam hal ini Abdullah ibn Mas’ud pernah menyebut, “barangsiapa ingin meneladani maka hendaklah dia meneladani orang yang sudah wafat, kerana orang yang masih hidup tidak dijamin terhindar dari fitnah. Mereka itulah para sahabat Muhammad saw, umat ini yang paling mulia hatinya, paling mendalam ilmunya dan paling sedikit memaksa diri. Allah Taala telah memilih mereka untuk menjadi sahabat-sahabat Nabi-Nya saw dan menegakkan agama-Nya. Maka kenalilah kelebihan mereka dan ikutilah jejak langkah mereka kerana mereka telah berada di atas landasan yang betul.” (Jami‘e Bayan al-‘Ilm, jilid 2 m.s. 97)
Para sahabat adalah jenis teristimewa dari manusia. Mereka adalah pundak dalam ketaqwaan dan kebersihan hati, pelopor dalam ketulusan dan keikhlasan, obor dalam ilmu dan amal, serta cahaya dalam dakwah dan pergerakan.
Seorang yang berakal, yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat tidak akan memendam keraguan sedikit pun bahawa para sahabat Nabi saw adalah generasi terbaik setelah para Nabi dan Rasul. Segala yang mereka terima adalah secara terus daripada Rasulullah saw. Ibaratnya mereka menimba air dari mata air kehidupan dalam keadaan bersih, jernih dan segar dari sumbernya yang asli.
Menyelami Kualiti Hidup Sahabat
Seruan supaya berpegang dengan sunnah para sahabat tidak bermakna mereka tidak melakukan kesalahan dan kesilapan. Namun umat secara keseluruhannya terpelihara daripada melakukan kesalahan dan tidak akan bersatu atas kesesatan sebagaimana jaminan Rasulullah saw, “sesungguhnya Allah SWT tidak akan mengumpulkan umatku atas kesesatan.”
Ertinya kesilapan dan kesalahan yang mereka lakukan tidak berkekalan. Apatah lagi sunnah para sahabat yang wajib diamalkan itu bersyarat, iaitu selagi mana tidak bertentangan dengan Sunnah Nabi saw. Rahsia kejayaan dan kecemerlangan para sahabat dan tabien adalah kerana pegangan mereka yang kuat kepada ajaran al-Quran dan Sunnah Nabi tanpa mereka merubah, menambah atau menyelewengkannya daripada maksud yang sebenar.
Para sahabat adalah pembawa Islam dan penjaganya selepas Rasulullah saw. Allah Taala memilih dan menunjuk mereka untuk menyertai Nabi saw dan menyebarkan risalah Islam sepeninggalan Baginda. Mereka menyaksikan turunnya wahyu dan mengamalkan isinya dengan penuh ketaatan.
Mereka mendapat tempat di sisi Allah sehinggakan sifat dan keperibadian mereka disebut secara langsung di dalam banyak ayat Al-Quran. Antaranya, menerusi surah Al-Ahzab 33:23; An-Nur 24:37; At-Taubah 9:100; Al-Fath 48:29; Al-Hasyr 59:8-9 dan A-li Imran 3:172-174.
Allah Taala juga memberikan pengiktirafan paling istimewa yang dicita-citakan setiap mukmin, tetapi hanya mereka yang terpilih mendapatnya, iaitu “Allah Taala redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah”. Anugerah ini tiada bandingan dengan sebarang pingat atau kebesaran di kalangan manusia. Ia merupakan sijil kemuliaan yang paling berharga, khususnya bagi menghadapi kehidupan kekal abadi di alam akhirat.
Di kalangan para sahabat terserlah kualiti hidup yang sukar ditandingi. Hati, jasad, darah dan harta mereka hanya untuk Allah. Cita-cita hidup mereka bukan mengisi perut, bukan memakai sutera dan bukan mengejar kenikmatan. Mereka menjaga syariat dari hawa nafsu orang-orang yang menyimpang dan melindungi agama dari serangan para konspirator.
Sebilangan mereka adalah pemimpin atau kalangan bangsawan kaum masing-masing. Mereka menerima ajaran dan agama Nabi Muhammad saw sekaligus rela melepaskan kemuliaan dan kemegahan yang ada pada mereka dan bersedia menghadapi kehidupan yang penuh gejolak, kesulitan dan penderitaan.
Sebilangan lagi sahabat dari khalayak bawahan dan rakyat marhaen yang membuat pilihan dianggap pelik. Mereka sanggup bernaung di bawah panji-panji dakwah Rasulullah saw, padahal mereka tahu Baginda tidak mempunyai harta mahu pun senjata serta tidak terlepas daripada kacau-ganggu dan ancaman musuh-musuh jahiliyyah yang terkenal amat ganas dan kejam dalam tindakan mereka.
Sebilangan lagi adalah dari kaum yang sudah berada pada kedudukan selesa dan mampu mengelakkan pertembungan dengan kaum musyrik Mekah, tetapi memilih untuk berjanji setia mempertahankan Rasulullah saw, sekaligus mengundang kemarahan puak Quraisy.
Kepercayaan dan keyakinan para sahabat kepada janji Baginda amat tinggi. Biar pun mereka hidup dalam suasana terpaksa membaca al-Quran secara sembunyi dan berahsia, mereka yakin akan datang suatu ketika bilamana ayat-ayat suci itu akan dilaungkan secara terbuka di seluruh penjuru alam. Mereka yakin panji-panji yang mereka julang itu akan menguasai kekayaan dan kekuasaan sebahagian dunia, walau pun di zaman mereka Islam menjadi buruan seluruh kuasa besar dan masyarakat umum.
Kesimpulan
Keseluruhan sahabat tidak terlepas kisah hidup mereka daripada peranan sejarah yang berlaku di zaman Rasulullah saw. Banyak atau sedikit, besar atau kecil peranan itu, bergantung kepada sejauh mana keakraban atau kebersamaan mereka dengan Baginda. Namun suatu yang pasti mereka adalah generasi yang terpilih dan terbaik.
Kejahilan sebahagian umat Islam tentang kedudukan para sahabat Nabi menyebabkan keadaan menjadi kabur dalam banyak perkara berkaitan agama Islam, sedangkan mengikut petunjuk mereka juga menjadi sebahagian daripada perintah agama Islam kepada umatnya.
Sunnah para sahabat juga termasuk di bawah sunnah yang perlu diikuti dan dicontohi kerana para sahabat merupakan golongan yang dipuji dan diredai oleh Allah SWT dan mereka sama sekali tidak merubah atau menambah apa yang diajar dan diamalkan oleh Nabi saw.
Justeru, mengetahui keadaan, akhlak dan kehidupan mereka benar-benar dapat menerangi jalan di depan orang mukmin yang ingin hidup dengan meneladani Nabi Muhammad saw.
(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 1 (Januari 2012) di kolum 'KENALI SAHABAT RASULULLAH' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment