“AKU tidak pernah ketinggalan takbir pertama dalam solat (bersama imam) selama 50 tahun. Aku juga tidak pernah melihat punggung para jamaah, kerana aku selalu berada di saf terdepan selama 50 tahun itu.”
Demikian pengakuan Said bin Al-Musayyib (Hilyah Al-Auliya 2/162) yang sekaligus menggambarkan keteguhan ibadahnya, terutama di dalam menjaga solat berjamaah. Bahkan di dalam riwayat yang lain, beliau dilaporkan berkata, “selama 30 tahun, setiap kali muazzin melaungkan azan, pasti aku telah berada di dalam masjid”, yakni telah bersiap-sedia untuk menyertai solat berjamaah.
Ketekunannya dalam ibadat turut diperakui mereka yang sezaman dengannya. Antaranya, sepertimana diterangkan Abdul Muin bin Idris yang meriwayatkan daripada ayahnya, dengan katanya, “selama 50 tahun Said bin Al-Musayyib melakukan solat Subuh dengan wuduk solat Isyak.”
Dari Ashim bin Al-Abbas Al-Asadi, dia berkata, “Said bin Al-Musayyib sering berzikir dan merasa takut kepada Allah. Aku juga mendengar dia banyak membaca ayat-ayat al-Quran di atas kenderaannya, dia sering membaca dengan suara nyaring “Bismillahirrahmanirrahim” dan tidak suka banyak tertawa.”
Nama penuhnya ialah Said bin Al-Musayyib bin Hazn bin Abi Wahb Ibnu Amr bin A’id bin Imran bin Makhzum Al-Qurasy Al-Makhzumi Al-Madani. Beliau dipanggil dengan nama Abu Muhammad.
Terdapat berbagai riwayat mengenai tarikh kelahirannya. Ada pendapat mengatakan Said bin Al-Musayyib dilahirkan setelah pemerintahan Umar bin Al-Khattab r.a. berjalan selama dua tahun. Ada yang menyebut tarikh itu setelah empat tahun pemerintahan Umar. Manakala ada juga yang mendakwa beliau lahir dua tahun sebelum Umar menjadi khalifah.
Ini bermakna beliau tidak sempat hidup di zaman Rasulullah s.a.w. dan tergolong di kalangan tabien, bukannya para sahabat.
Bagaimana pun beliau sempat berguru dengan sebilangan sahabat Nabi s.a.w. yang terbilang. Antara mereka yang disenaraikan sebagai guru kepada Said bin Al-Musayyib ialah Saidina Umar bin al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Saad bin Abi Waqqas, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Ibnu Amr bin Al-Ash, ayahnya Al-Musayyib, Abu Dzar Al-Ghifari, Abu Darda, Hasan bin Tsabit, Zaid bin Tsabit, Abu Qatadah, Abu Musa Al-Asyaari, Abu Said, Abu Hurairah, Sayyidah Aishah, Asma binti Umais, Ummu Sulaim, Fatimah binti Qais dan Khaulah binti Hukaim.
Said juga mendengar hadith-hadith daripada para sahabat Umar bin al-Khattab r.a. dan sahabat Uthman bin Affan r.a. Dia pernah disebut sebagai orang yang paling tahu tentang apa yang pernah diputuskan oleh Umar dan Uthman dalam pengadilan.
Beliau diiktiraf sebagai seorang pembesar di kalangan tabien, terutama disebabkan keilmuannya yang tinggi berhubung hukum-hakam Islam. Wawasan fiqhnya yang paling luas di kalangan generasi tersebut menjadikannya tempat rujukan dan tumpuan menimba ilmu di zamannya.
Berhubung hakikat itu, Ali bin Al-Madini pernah berkata, “aku belum bertemu para tabien yang lebih luas wawasan ilmunya dari Said bin Al-Musayyib. Bagiku, dia adalah tabien yang paling terhormat dan mulia.”
Abu Hatim pula berkata, “tidak ada orang yang lebih mulia di kalangan tabien dari Said bin Al-Musayyib. Dia adalah orang yang paling sahih meriwayatkan hadith-hadith yang berasal dari Abu Hurairah r.a.”
Abu Talib pernah bertanyakan Imam Ahmad bin Hambal, “apakah riwayat Said dari Umar bin Al-Khattab dapat dijadikan hujah. Imam Ahmad menjawab, “dia (Said) adalah hujah bagi kita, dia pernah melihat Umar r.a. dan banyak mendengar hadith darinya. Kalaulah riwayat Said dari Umar r.a. tidak diterima, siapa lagi yang dapat diterima?”
Di sebalik ketinggian ilmunya dan kemuliaan darjatnya di kalangan masyarakat, Said bin Al-Musayyib bagaimana pun terkenal sebagai seorang yang lemah lembut dan mengutamakan rasa persaudaraan dalam pergaulannya. Beliau juga amat bersederhana dalam hidup dan sering berpada dengan apa yang ada.
Mengenai keadaan itu Ashim bin Al-Abbas Al-Asadi pernah berkata, “aku pernah melihatnya (Said) berjalan tanpa alas kaki, mencukur misainya dan berjabat tangan dengan setiap orang yang dijumpainya.”
Dalam riwayat lain dari Imran bin Abdullah, dia berkata Said mempunyai hak ke atas harta yang ada di Baitul Mal sebanyak lebih 30 ribu dinar. Dia dijemput mengambilnya, tetapi menolaknya dan mengatakan dia tidak memerlukan harta itu.
Di sebalik sifatnya yang sebegitu, Said bin Al-Musayyib bagaimana pun turut terkenal sebagai seorang ilmuan yang sangat tegas mempertahankan prinsip dan pendiriannya. Beliau tidak mudah tunduk terhadap apa-apa permintaan yang dirasakannya tidak perlu, walau pun ia datang daripada sang penguasa. Beberapa kes dicatatkan di dalam kisah hidupnya menjelaskan hakikat itu.
Sekali peristiwa, Khalifah Abdul Malik bin Marwan datang ke Madinah dan mengutus pengawalnya untuk menjemput Said bin Al-Musayyib bertemunya. Jemputan itu bagaimana pun tidak dipedulikan Said. Sebaliknya, beliau menegaskan, “Amirul Mukminin tidak mempunyai apa pun urusan denganku dan aku pun tidak mempunyai sebarang urusan dengannya. Kalau benar dia berhajat menemui aku, pastinya itu salah alamat.”
Jawaban sama diberikan Said walau selepas pegawal berkenaan datang buat kali kedua. Kes serupa berulang lagi di zaman Al-Walid bin Abdul Malik menjadi khalifah. Ketika beliau datang ke Madinah, beliau melihat orang ramai sedang mengerumuni Said bin Al-Musayyib di dalam sebuah masjid.
Setelah diberitahu bahawa orang itu ialah Said bin Al-Musayyib yang masyhur itu, Al-Walid mengutuskan pengawalnya untuk memanggil Said mengadapnya. Said bagaimana pun menolak permintaan itu seraya berkata, “mungkin engkau salah menyebut namaku atau mungkin dia (Al-Walid) mengutus engkau kepada orang lain, bukannya aku.”
Jawaban itu disampaikan kepada khalifah dan mengundang rasa marahnya. Al-Walid lantas berhasrat datang sendiri mendapatkan Said.
Melihatkan hal itu, orang ramai yang masih ada di dalam masjid terus mendapatkan khalifah dan berkata, “wahai Amirul Mukminin, dia (Said) adalah ulama fiqh di Madinah, pembesar kaum Quraisy dan juga teman kepada ayahmu (Khalifah Abdul Malik). Tidak ada seorang pun dari para khalifah yang mampu membuatnya memenuhi panggilan mereka.”
Mereka mengatakan begitu berulangkali sehingga akhirnya Al-Walid berlalu dari situ. Sikap dan pendirian serupa turut terpamer ketika pelantikan dua putera kepada Abdul malik sebagai putera mahkota. Abdul Malik mengarah seluruh rakyat berbaiat dan menyatakan ketaatan serta kesetiaan kepada mereka.
Said bin al-Musayyib bagaimana pun menolak untuk berbuat demikian dengan katanya, “aku akan melihat dulu (sikap dan perlakuan mereka berdua).”
Disebabkan keengganannya itu, Said diriwayatkan disebat 60 kali oleh sang penguasa, diarak ke sekeliling kampung dalam keadaan bercawat dan dipenjarakan. Namun cubaan yang ditimpakan ke atasnya itu sedikit pun tidak melunturkan pendirian tegasnya yang tidak bersedia tunduk kepada keangkuhan sang penguasa.
Difahamkan keengganan Said bin Al-Musayyib memenuhi permintaan khalifah-khalifah itu ialah ekoran kebenciannya melihat kezaliman yang mereka lakukan di dalam pemerintahan. Hal itu dapat difahami apabila beliau turut diriwayatkan begitu mudah menerima permintaan serupa dari Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal dengan sifat adil dan zuhud itu.
Ketelitiannya di dalam memilih orang untuk didekati atau dijadikan teman dalam pergaulan seharusnya dinilai sebagai iktibar amat bermakna. Di atas sebab yang sama, biar pun pada adatnya dunia amat menyanjungi kalangan penguasa disebabkan kedudukan tinggi dan mulia mereka di dalam masyarakat, Said bin Al-Musayyib tidak berkongsi pendirian yang sama.
Selain menolak permintaan Khalifah Abdul Malik dan puteranya untuk bertemu dan berbual bicara, Said bin Al-Musayyib juga sebenarnya pernah menolak pinangan sang penguasa itu terhadap puterinya untuk dijadikan isteri puteranya, Al-Walid. Selepas beberapa percubaan dengan berbagai cara tetap gagal memujuk Said, Abdul Malik akhirnya bertindak keras. Said disebat seratus kali di musim dingin dan disiram dengan air sejuk ke tubuhnya sebagai penyeksaan di atas keengganannya menjadi besan sang penguasa itu.
Namun itu sedikit pun tidak menggoyahkan pendiriannya. Sebaliknya, Said bin Al-Musayyib tegas dengan prinsipnya memilih lelaki terbaik untuk puterinya. Dia lalu menjodohkan salah seorang anak buahnya bernama Katsir bin Abdul Muttalib bin Abi Wadaah dengan puterinya itu, walau pun dengan maskahwin hanya dua atau tiga dirham.
Baginya, bermenantukan seorang yang lurus kehidupannya, walau pun tidak berharta adalah jauh lebih mendamaikan hati berbanding bermenantukan seorang yang terkenal dan hartawan tetapi diselubungi sifat angkuh dan zalim. Pendirian beliau ini dapat difahami dari salah satu mutiara katanya, “jangan lah kamu banyak berkawan dengan orang-orang zalim, kecuali dalam hati kamu mesti mengengkari apa yang mereka lakukan, agar amal dan perbuatan kamu yang baik tidak menjadi luntur kerananya.”
[Artikel ini diolah semula secara bebas daripada satu bab di dalam buku 60 Biografi Ulama Salaf karangan Syaikh Ahmad Farid, Pustaka Al-Kautsar, 2009]
(Artikel ini disiarkan majalah Dian - Ihya' As-Sunnah, Edisi 1 (Januari 2012) di kolum 'ULAMA PEWARIS NABI' dengan tajuk sama)
No comments:
Post a Comment